kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anak muda dan budaya kamar tidur

SAYA lahir pada tahun 1966. Ahli-ahli sosiologi mentakrifkan orang yang lahir pada era 1960-an hingga awal tahun 1980-an sebagai Generasi X.

Pada tahun saya dilahirkan, dalam pertarungan di London, Cassius Clay dari Amerika Syarikat memenangi dua perlawanan tinju mengalahkan juara British, Henry Cooper.

Cassius Clay kemudian memeluk agama Islam, dan meneruskan karier dalam sukan tinju menggunakan nama Muhammad Ali. Dia kini masih hidup pada usia 72 tahun walaupun bertahun-tahun menghidap penyakit Parkinson.

Pada tahun 1975, ketika Muhammad Ali bertinju merebut kejuaraan heavyweight dunia menentang Joe Frazier di Manila, Filipina, guru-guru sekolah saya di Sekolah Kebangsaan Teruntum, Kuantan, Pahang menghentikan pengajaran untuk memberi peluang kepada mereka, dan semua pelajar sekolah yang lain, menonton perlawanan tinju itu yang disiarkan melalui televisyen hitam putih.

Sekolah saya ketika itu hanya mempunyai sebuah peti televisyen, dan guru-guru memaksa para pelajar berkongsi minat dan keyakinan mereka terhadap Muhammad Ali.

Saya dan beratus-ratus orang kawan sekolah secara beramai-ramai didedahkan kepada Muhammad Ali melalui media televisyen yang dikongsi bersama. Kami tidak mempunyai pilihan; kami dipaksa berhenti belajar seketika semata-mata untuk membolehkan guru-guru menonton pertarungan tinju Muhammad Ali.

Pada zaman itu, Muhammad Ali ialah hero kepada ramai orang. Dia kacak, gagah, berani, selalu menang, tidak mudah menyerah dan beragama Islam.

Muhammad Ali dibingkaikan oleh media Malaysia pada zaman itu sebagai seorang yang penting, hebat, tokoh menentang penindas dan perlu menjadi ikutan rakyat Malaysia. Dia ialah ikon pada zaman itu.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, pembingkaian media dalam konteks kehebatan Muhammad Ali tidak sukar untuk difahami kerana waktu itu hanya ada akhbar, majalah, buku, piring hitam, radio dan televisyen. Ditambah sedikit papan iklan dan sepanduk.

Apa yang telah saya lalui semasa zaman persekolahan dalam era Generasi X tidak dapat dibandingkan dengan pengalaman kumpulan anak muda yang lahir selepas tahun 1983 yang dipanggil Generasi Y.

Generasi Y, yang kohortnya kini berusia 35 tahun ke bawah, ialah kumpulan generasi yang begitu jauh berbeza berbanding dengan generasi sebelumnya, dari segi pendedahan kepada teknologi dan media.

Kelainan itu juga menyentuh segenap aspek termasuk karakter, nilai-nilai hidup, tingkah laku, budaya, ekonomi, pekerjaan, demografi dan pandangan terhadap agama.

Generasi Y tidak sama dengan Generasi X, apatah lagi kalau hendak dibandingkan dengan generasi datuk nenek mereka yang lahir sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua yang pada masa sekarang berusia 60 tahun ke atas.

Pada zaman ini, perbuatan memaksa pelajar menonton perlawanan tinju di televisyen pada waktu persekolahan, seperti yang pernah saya lalui dulu, akan menimbulkan satu skandal yang boleh membawa bantahan ibu bapa dan kumpulan pendesak pendidikan.

Jumlah belia yang berusia antara 15 dan 40 tahun di Malaysia dianggarkan sekitar 12 juta orang daripada 29 juta penduduk negara ini. Kumpulan itu merupakan kira-kira 42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Generasi Y, iaitu kumpulan anak muda yang dikategorikan oleh ahli-ahli sosiologi sebagai mereka yang lahir selepas tahun 1983, sudah pun melebihi 15 juta orang, dan boleh ditakrifkan sebagai kohort generasi yang paling besar dan makin mendominasi Malaysia.

Sonia Livingstone, seorang Profesor Psikologi Sosial di Jabatan Media dan Komunikasi, London School of Economics and Political Science, United Kingdom, beberapa tahun lalu menampilkan suatu trend berkaitan media yang dapat memberikan gambaran tentang kehidupan Generasi Y.

Dalam salah satu eseinya yang berjudul From Family Television to Bedroom Culture: Young People‘s Media at Home, Profesor Livingstone menghuraikan mengenai peralihan model kehidupan berkeluarga di ruang bersama di rumah kepada ruang dalam bilik-bilik yang bertaburan di rumah, khususnya kamar tidur.

Apabila televisyen diperkenalkan pada tahun 1950-an, televisyen menjadi sesuatu yang dikongsi bersama oleh seluruh keluarga.

Dengan perubahan teknologi, ekonomi, nilai-nilai masyarakat dan juga kerana media domestik kini menjadi lebih mudah alih serta lebih murah, kita menyaksikan merosotnya peranan televisyen dan juga berakhirnya ruang bersama di rumah sebagai tempat mengumpulkan ahli keluarga.

Trend ini menggambarkan beberapa perkara iaitu proses individualisasi telah memecahkan nilai dan norma tradisional.

Dalam era baharu ini, di rumah, ibu bapa memberi kebebasan yang lebih luas kepada anak-anak dan menjadi lebih liberal.

Mengapa ibu bapa bertindak demikian, puncanya boleh dikaitkan dengan kemunculan risk society. Ibu bapa menjadikan rumah sebagai pelindung anak-anak mereka daripada risiko di luar rumah.

Ekoran perbuatan ibu bapa itu, ‘budaya kamar tidur’ menjadi lokasi utama dalam penggunaan media dan penghubung kehidupan seharian, dan sebahagian besar pengaruh media berada di luar kawalan ibu bapa.

Dengan kemunculan komputer, Internet dan akses Wi-Fi di rumah, kanak-kanak tidak lagi menghabiskan masa di jalanan dan dalam hutan belukar, sebaliknya terperap di rumah dengan telefon bimbit, iPod, iPad, X-Box dan komputer masing-masing.

Ibu bapa berasa lebih selamat dengan keadaan itu tetapi kehadiran teknologi itu menyebabkan ketua keluarga, khususnya bapa, menjadi jauh dan kurang authoritarian, dan mereka juga kurang menjadi tumpuan anak-anak ketika berada di rumah.

Kajian Profesor Livingstone di Britain kira-kira 11 tahun lalu menemui beberapa angka yang menarik iaitu 68 peratus kanak-kanak berusia 6-17 tahun ada stereo peribadi; 61 peratus ada hi-fi; 59 peratus ada radio; 63 peratus ada televisyen sendiri; 21 peratus ada perakam video; dan 34 peratus ada permainan video yang disambung ke TV.

Beberapa tahun kemudian (2005), Livingstone membuat kajian susulan dan mendapati 19 peratus daripada kanak-kanak di Britain mempunyai akses kepada Internet di kamar tidur mereka.

Beliau memberi amaran tentang kesan ‘budaya kamar tidur’ itu kepada identiti orang muda, hubungan sesama ahli keluarga dan persahabatan dengan kawan-kawan. Tentulah pada tahun 2014 sekarang trend itu bertambah meluas.

‘Budaya kamar tidur’ yang penuh dengan media permainan video, radio, komputer, iPad, iPod, televisyen dan akses Internet membenarkan remaja untuk mengelak daripada penyeliaan orang dewasa ketika masih lagi tinggal bersama keluarga masing-masing.

Kesimpulan daripada trend ‘budaya kamar tidur’ ialah “remaja kini hidup bersama keluarga secara berasingan". Trend itu berlaku di Britain dan ia juga terjadi di Malaysia.

Generasi anak muda di Malaysia sebahagian besarnya juga menjalani hidup dengan trend yang menjadi fokus kajian Profesor Livingstone itu, yang impaknya cukup besar kepada institusi keluarga, falsafah hidup serta pandangan terhadap ekonomi dan politik. Kajian di Eropah mendapati berlaku liberalisasi ke atas pemikiran agama anak-anak muda yang terdedah kepada budaya kamar tidur yang berleluasa.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Facebook, Twitter, Instagram serta pelbagai teknologi media baharu dan Internet, yang dibalut pula segala keanekaragaman saluran televisyen, sedang menghimpit idea-idea konservatif dalam masyarakat tempat anak-anak muda itu tinggal.

Konsep leisure (senggang) sepanjang masa mendapat tempat yang istimewa dalam kehidupan anak-anak muda itu, iaitu dalam hati sanubari Generasi Y, dan ramai yang berfikir mereka bukan hendak membesar, menjadi tua dan mati kaya raya, sebaliknya sekadar ingin mati dengan perasaan gembira.

Jika boleh, mati sambil tangan memegang telefon pintar dan tablet iPad.



Baharom Mahusin baharom@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 09/02/2014
Tags: budaya, gen y
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments