kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mematahkan spekulasi, membetulkan persepsi

JANGAN membuka ruang kepada spekulasi. Demikianlah yang kita boleh rumuskan daripada kenyataan Pengerusi Panel Penasihat dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Johan Jaaffar dalam akhbar Selasa lalu.

Panel ini pantas membaca pemikiran umum yang akan ada kecenderungan mencambahkan pelbagai spekulasi. Kesannya, ini boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap ketelusan kerajaan.

Isunya pada 14 Januari lalu bekas seorang setiausaha politik telah dibebaskan selepas ditahan reman enam hari. Dia ditahan oleh SPRM kerana dituduh terbabit dengan pecah amanah melebihi RM1.1 juta dan penipuan melibatkan dana RM1 juta. Setiausaha politik dan seorang lagi dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 setiap seorang.

Menurut kenyataan SPRM sebelum ini, mereka akan didakwa pada 29 Januari lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan. Bagaimanapun sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak berbuat demikian. Kegagalan Jabatan Peguam Negara ini mencetuskan pelbagai spekulasi antaranya kononnya campur tangan politik.

Saya secara peribadi tidak percaya perkara itu boleh berlaku. Tetapi pihak yang membuat spekulasi tidak berpijak pada asas ini. Itulah sifat spekulasi, ia ibarat melempar batu sembunyikan tangan. Lama kelamaan spekulasi berjaya membentuk persepsi kepada masyarakat seolah-olah benar berlaku.

Kerana itu panel tersebut dengan tegas mendesak Jabatan Peguam Negara menjelaskan kenapa tidak ada pendakwaan pada 29 Januari. Kegagalan Jabatan Peguam Negara berbuat demikian dilihat memberikan persepsi tidak baik kepada SPRM dan usaha kerajaan membanteras rasuah. Panel itu bagaimanapun tidak percaya sama sekali wujud campur tangan politik dalam kes ini walaupun itulah spekulasi yang bermain di laman sosial.

Kita yang rasional memang sedar isu yang dibahaskan di laman-laman sosial sebahagian besarnya menyimpang dan sengaja membina persepsi dalam kalangan rakyat. Banyak juga mengambil peluang untuk kepentingan politik.

Tindakan panel ini setidak-tidaknya boleh mematahkan spekulasi pihak tertentu untuk memberikan persepsi wujudnya ‘kes terpilih’ dan ketidaktelusan dalam membanteras rasuah.

Sebenarnya ini boleh dijadikan satu kajian kes bagaimana spekulasi yang dicetuskan untuk membina persepsi dalam kalangan rakyat. Pada era Internet ini pelbagai wahana boleh digunakan untuk menyebarluaskan spekulasi bagi tujuan tertentu. Sekiranya ini tidak diuruskan dengan baik, cekap dan penuh strategi sudah tentu memberikan persepsi yang tidak benar kepada rakyat.

Tindakan Jabatan Peguam Negara telah memberikan isyarat yang salah kepada rakyat seolah-olah memang wujud campur tangan politik. Kenapa SPRM kata 29 Januari tetapi Jabatan Peguam Negara kata tidak? Kenapa SPRM kata kertas pertuduhan sudah lengkap tetapi Jabatan Peguam Negara kata belum?

Seksi

Ini kes profil tinggi lagi ‘seksi’. Ia menjadi ‘seksi’ kerana ada elemen ‘politik’ dan ‘orang politik’. Kes ini mempunyai nilai komersial di pasaran politik. Pada era kebebasan memberi dan menerima maklumat, menguruskan perkara-perkara yang boleh menimbulkan spekulasi tidak semudah dekad sebelum ini.

Adalah tidak adil bagi kerajaan dan SPRM yang begitu bersungguh-sungguh membanteras rasuah tiba-tiba membiarkan pihak lain membuat spekulasi untuk mencapai matlamat politik.

Kita tidak harus menyalahkan kehadiran Internet yang dengannya lahir pelbagai wahana perhubungan dan maklumat; blog, twitter, facebook dan banyak lagi. Hakikatnya wahana ini diterajui oleh manusia yang mempunyai pelbagai tujuan. Sudah tentulah yang menggunakan dengan betul akan memudahkan hidup, yang sengaja menyalahgunakan akan menyusahkan manusia lain.

Memanglah kita tidak ada keupayaan menyekat spekulasi yang bertebaran di dunia maya. Tetapi setidak-tidaknya mesti ada usaha untuk tidak terperangkap dalam spekulasi. Salah satu caranya dengan tidak mengambil remeh terhadap sesuatu yang boleh memberi ruang pihak tertentu mengaut keuntungan peribadi terutama dalam politik.

Seperkara lagi, kita harus ingat bahawa masyarakat pada umumnya sedang melalui satu fasa pendemokrasian maklumat yang sangat luar biasa. Semua ini tidak pernah berlaku sebelum meluasnya penggunaan Internet di negara ini. Keadaan menjadi gawat apabila sampai satu peringkat, kebebasan maklumat dicabul untuk tujuan politik.

Pada masa yang sama kita sedang merentasi kawah politik yang menggelegak, yang tidak pernah berlaku sehebat ini pada masa lalu. Perubahan landskap politik pasca 2008 dan penembusan Internet yang tinggi pula telah membuka kesedaran yang luar biasa terhadap peri pentingnya maklumat. Fenomena inilah yang mencorakkan agenda baharu pemikiran politik dalam kalangan generasi muda.

Pada tahun 2008, Internet memberi kesan yang lebih menakutkan dalam dunia politik tempatan walaupun ketika itu kadar penembusan Internet jalur lebar sebanyak 22 peratus. Tetapi bayangkan pada tahun 2013 penembusan Internet meningkat kepada 66.7 peratus. Statistik menunjukkan negara mencatatkan pengguna Internet sebanyak 22.7 juta atau 77.84 peratus daripada populasi 29.1 juta. Sementara itu 50 peratus daripada populasi pula adalah pemilik akaun Facebook dan ini meletakkan Malaysia negara ke 18 pemilik akaun Facebook terbanyak.

Bayangkan berapa banyak saluran yang boleh digunakan untuk melancarkan spekulasi dalam perang mengalih persepsi rakyat. Kerajaan pula telah berjanji pada dunia tidak akan menyekat atau menapis isi kandungan Internet. Inilah yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sebab itulah bagi yang tidak bertanggungjawab, Internet akan menjadi medan menghina, mengecam dan memfitnah. Inilah hakikat yang terpaksa dihadapi.



Ku Seman Ku Hussain kusemankh@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140209
Tags: persepsi, spekulasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments