kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaya pengalaman dan kejayaan

SEBAGAIMANA sinonimnya Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan kejayaan politik dan pembangunan Malaysia, begitulah juga sinonimnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam dua aspek itu di Sarawak.

Perbandingan itu mungkin dipertikaikan kerana bagi penduduk Semenanjung, kehebatan Abdul Taib sukar dihayati secara mendalam. Namun bagi anak Sarawak, majoriti daripada mereka terhutang budi kepada Ketua Menteri selama 33 tahun itu.

Bagaimanapun, sudah menjadi lumrah bagi ahli politik untuk dibenci musuhnya. Abdul Taib tidak terkecuali dicaci maki dengan pelbagai gelaran. Serangan terhadap beliau tidak sekadar dibuat dari dalam bahkan turut dilancar dari luar negara.

Namun, siri serangan sedemikian tidak berjaya menjatuhkan anak kelahiran Kampung Sungai Merbau, Miri itu. Malah, jika beliau mahu terus bergelar Ketua Menteri untuk satu penggal lagi sekalipun, Abdul Taib dilihat tidak bermasalah untuk berbuat demikian.

Kaya pengalaman dan kejayaan



ABDUL TAIB MAHMUD cuba menggunakan senjata mesingan semasa melakukan tinjauan Latihan Kakar Malindo (Malaysia-Indonesia) di Sempadi, Sarawak pada tahun 1988.

Kehebatan sedemikian rupa pastinya disumbang oleh pelbagai pengalaman, bukan sahaja dalam aspek pentadbiran bahkan seni berpolitik.

Pengalaman awal Abdul Taib dalam pentadbiran Sarawak bermula pada 1961 sejurus menamatkan ijazah undang-undang di Adelaide University, Australia dengan jawatan pertama sebagai ahli Crown Council.

Pada 1963, beliau menganggotai Kabinet pertama Sarawak dengan portfolio Menteri Komunikasi dan Kerja Raya di bawah kepimpinan Ketua Menteri pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

Pada 1969 pula, beliau menganggotai Kabinet Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kekal di dalam Kabinet sehingga era Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dengan jawatan terakhir sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada awal 1981.

Pada 26 Mac tahun yang sama, Abdul Taib dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak ketiga. Pada peringkat awal pentadbiran, beliau berusaha keras menyatupadukan rakyat Sarawak yang berbilang bangsa dan etnik dan apabila perkara itu berjaya dicapai, fasa pembangunan dirancang dan dimulakan. Apa yang berlaku selepas itu adalah satu sejarah.

Pencapaian terbesar beliau ialah perkembangan luar biasa ekonomi Sarawak berbanding 50 tahun lalu apabila berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM71.6 bilion pada 2012. Jumlah itu mewakili 10 peratus daripada KDNK negara sekali gus menjadikan Sarawak sebagai kuasa ekonomi ketiga terbesar di negara ini. KDNK per kapita pula meningkat lebih 57 kali ganda iaitu daripada RM688 pada 1963 kepada RM40,414 pada 2012.

Trend pertumbuhan positif itu turut menyumbang kepada pengurangan kadar kemiskinan daripada 56.5 peratus pada 1970 kepada 2.4 peratus tahun lalu.

Menjadi pelonjak kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak itu ialah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang pelaburannya setakat pertengahan tahun lalu sudah mencecah RM24 bilion. Pada peringkat operasi penuh nanti, SCORE yang dilancarkan pada 2008 akan mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan.

SCORE merupakan pet project Abdul Taib dan kerana itu, perkataan SCORE ibarat 'zikir' dalam ucapan beliau dalam mana-mana majlis. Bagi Abdul Taib, projek berkenaan adalah sumber kekayaan baharu Sarawak berbanding balak dan minyak yang satu hari nanti pastinya susut.

Pada tahun lalu, beliau pernah mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak dan pegawai kanan kerajaan menyertai 'lawatan sambil belajar' ke wilayah SCORE di sekitar Bintulu bagi memastikan mereka memiliki kefahaman yang mendalam tentang projek berkenaan.

Beliau khuatir rakyat tidak memahami signifikan SCORE sekali gus menyebabkan mereka tidak bersedia menghadapi ledakan peluang ekonomi baharu yang bakal terhidang.

Seorang pemuda Iban yang penulis temui di Bintulu pada tahun lalu memberitahu dia kerap mendengar Abdul Taib bercakap tentang SCORE di radio tetapi perkara itu tidak difahami.

"Dulu saya kerja toreh getah, pendapatan tak tentu. Apabila kilang-kilang SCORE nak dibina, saya pun kerja kontrak di tapak projek.

"Pendapatan boleh tahan, sampai mampu pakai Perodua Kancil second hand, kalau kilang (SCORE) siap nanti, saya nak kerja di sana pula sebab nak beli kereta baharu," katanya.

Justeru, pengunduran Abdul Taib boleh dijadikan petunjuk beliau sudah berpuas hati selepas berjaya meletakkan 'batu asas' peluang ekonomi yang luas melalui SCORE bukan sahaja untuk masa depan negara dan negeri bahkan rakyat Sarawak di setiap peringkat.

Cuma yang menjadi teka-teki, siapakah yang bakal meneruskan legasi beliau terutamanya dalam pembangunan SCORE yang telah pun memulakan operasi walaupun belum dalam skala yang penuh.

Tiga nama yang disebut-sebut iaitu Tan Sri Adenan Satem, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga bukanlah satu rahsia. Nama itu telah lama disebut-sebut namun Abdul Taib sebagai seorang ahli politik berpengalaman tidak pernah memberi petunjuk yang jelas.

Adakalanya, beliau seperti mahukan Adenan, selepas itu berubah kepada Abang Johari, kemudian Awang Tengah dan putaran itu sering berulang.

Para penyokong pula memberikan pelbagai hujah. Bagi yang pro Adenan, mereka berkata bekas adik ipar Abdul Taib itu ada kemampuan, lebih dipercayai dan tajam fikiran walaupun sedikit keuzuran.

Abang Johari pula dihujahkan sebagai pemimpin yang setia, berpengalaman, memiliki sokongan padu dalam parti dan cemerlang di semua jawatan Kabinet Sarawak walaupun tidak diberikan portfolio kanan.

Awang Tengah dianggap penyokongnya sebagai blue-eyed boy Abdul Taib kerana sentiasa diberi portfolio kanan seperti Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Kemudahan Awam dan Pembangunan Industri walaupun lebih junior dalam politik.

Kata mereka, jika masa depan SCORE dijadikan indikator, Awang Tengah dilihat memiliki peluang yang lebih cerah kerana beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan projek itu.

Namun, mencari jawapan kepada teka-teki ini bukanlah mudah kerana seni politik Abdul Taib amat halus dan berlapis-lapis seperti kulit bawang. Walaupun sudah banyak lapisan kulit dikopek, empulurnya masih belum ditemui dan jika dikopek secara kasar, kulit tadi akan terkoyak.

Seni politik itu jugalah yang telah menyelamatkan Abdul Taib dalam pelbagai badai politik terutamanya Peristiwa Ming Court pada 1987. Pemberontakan dari dalam itu menyebabkan beliau terpaksa menggunakan jentera pilihan raya yang terpisah daripada parti untuk memastikan tiada musuh dalam lipatan.

Kelicikan politik sedemikian rupa juga dipamerkan beliau dalam menamakan bakal pengganti sehingga para penganalisis politik Sarawak sekadar mampu berkata: "Semua calon ada peluang" manakala Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah pula jika tidak menjawab "no comment", mereka hanya mengunci mulut.

Itu jawapan selamat kerana mereka sedar, percaturan Abdul Taib sukar diramal walaupun oleh orang yang berada di sekelilingnya.



SAIFUL HAIZAN HASAM pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140210
Tags: kejayaan, km, pengalaman, sarawak, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments