kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami tahap-tahap kreativiti untuk kebaikan sejagat

KREATIVITI merupakan perkataan yang sangat digemari masa kini. Frasa seperti individu kreatif, hasil kreatif, budaya kreatif, kreativiti dan inovasi, pembelajaran kreatif serta kreativiti dalam organisasi adalah antara frasa yang kerap didengari.

Namun, sejauh mana kita memahami kreativiti itu sendiri sering menimbulkan persoalan. Ini kerana makna kreativiti atau kreatif sering disalah anggap, disalahguna mahupun disalahtafsir. Apatah lagi bila kita membicarakan perkara ini dari sudut keagamaan.

Secara umumnya, menurut pengkaji kreativiti terkenal, Robert J. Sternberg dalam buku bertajuk Handbook of Creativity (1999), kreativiti merupakan kebolehan menghasilkan sesuatu yang baharu dan sesuai. Ini bermakna manusia menggunakan kebolehan kreatifnya untuk menghasilkan sesuatu yang baharu serta bersesuaian.

Namun, satu persoalan yang sering ditimbulkan sama ada manusia benar-benar boleh melaksanakan kreativitinya. Dengan kata lain, adakah manusia sebenarnya boleh berkreativiti atau boleh mereka cipta, sedangkan perkara itu adalah milik Allah SWT, Tuhan yang Maha Mencipta? Seperkara lagi, jika manusia boleh mencipta, maka apakah dia boleh mencipta segala-galanya, tidak kira benda atau perkara itu baik atau sebaliknya?

Hakikatnya, Allah adalah satu-satunya Pencipta yang Maha Sempurna. Lihat sahaja tubuh badan manusia, semuanya dicipta dengan sempurna. Namun, dengan rahmat-Nya juga, Allah menganugerahkan kebolehan mereka cipta kepada manusia. Ini bermakna manusia boleh menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan sesuatu. Namun, ini ada syaratnya.

Syarat yang paling utama ialah manusia boleh mereka cipta tetapi tujuan ciptaannya itu hendaklah untuk kebaikan sejagat. Misalnya menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan ubat-ubatan untuk merawat penyakit manusia.

Dengan itu, sesuatu ciptaan untuk memusnahkan serta merosakkan manusia dan kemanusiaan serta alam keseluruhannya adalah tidak dibenarkan sama sekali. Hasil kreativiti yang baik itu sebenarnya satu lambang kehambaan manusia kepada Maha Pencipta. Ini kerana, anugerah berkreativiti itu telah digunakan sebaik mungkin untuk membawa kebaikan kepada alam.

Oleh itu kreativiti sangat penting. Dalam hal ini, kreativiti penting pada dua tahap iaitu di peringkat individu dan di peringkat masyarakat. Di peringkat individu, kreativiti penting untuk menyelesaikan masalah seharian manusia. Ini kerana, pada setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai masalah dan kreativiti diperlukan untuk menyelesaikan masalah itu. Di peringkat masyarakat pula, kreativiti perlu kerana kebolehan ini akan membawa kepada penemuan-penemuan sains yang diharapkan dapat membantu manusia menjalani hidupnya dengan lebih baik.

Berdasarkan kenyataan ini, memang wajarlah kebolehan kreatif seseorang dipupuk. Hakikatnya, setiap manusia mempunyai kebolehan kreatif tersendiri. Dengan kata lain, setiap orang mempunyai potensi untuk berkreativiti. Namun, potensi yang ada tidak berguna jika tidak dipupuk dengan baik. Dalam hal ini, memupuk budaya kreatif sewajarnya dilaksanakan dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan ini pula tidak hanya terhad dalam dunia sekolah tetapi memerlukan penglibatan ibu bapa di rumah dan juga masyarakat keseluruhannya.

Dalam hal ini, pemupukan boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Namun, dalam konteks ini, penulis hanya ingin menyentuh tiga bentuk usaha.

Pertamanya berkaitan memberi ruang dan peluang untuk setiap individu merealisasikan kebolehan kreativitinya. Setiap individu, sama ada dalam keluarga, organisasi mahupun masyarakat, harus diberi peluang berkreativiti dan seterusnya diharapkan akan dapat menghasilkan idea, barangan mahupun perkhidmatan yang boleh membantu kehidupan manusia.

Keduanya, kebolehan berkreativiti ini juga memerlukan sokongan tertentu. Sokongan meliputi sokongan jiwa mahupun sokongan kebendaan. Misalnya, memberi kata nasihat, tunjuk ajar mahupun menyediakan dana untuk berkreativiti. Ketiganya pula, seperti mana yang disebut di atas, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam usaha membudayakan kreativiti.

Dalam hal ini, setiap individu dalam masyarakat perlu memahami kebolehan kreatif, potensinya serta bagaimana memupuknya. Lebih penting lagi, memahami aspirasi masyarakat tersebut untuk menjadikan kreativiti sebagai budaya penting dalam masyarakat itu sendiri. Justeru segala salah faham berkaitan kreativiti perlulah diperbetulkan.

Contoh salah faham yang lazim adalah anggapan bahawa kreativiti bermakna satu usaha yang pasti menghasilkan sesuatu dalam jangkamasa pendek.

Sedangkan usaha kreatif untuk menghasilkan sesuatu itu akan memakan masa dan mungkin akan berhadapan dengan pelbagai kegagalan sebelum usaha itu menjadi kenyataan. Ini bermakna, satu usaha kreatif tidak boleh menjamin penghasilan sesuatu yang baharu pada cubaan kali pertama.

Salah faham lain adalah berkaitan kefahaman bahawa penghasilan satu hasil kreatif bergantung pada hanya individu tertentu. Sebagai contoh, apabila adanya individu kreatif dalam sesebuah organisasi, dia diharapkan akan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu demi melonjakkan organisasi itu ke satu tahap yang lebih baik.

Hakikatnya, satu hasil kreatif terhasil dengan usaha dan kerjasama banyak pihak. Misalnya, kreativiti individu akan menghasilkan satu hasil kreatif tetapi untuk tujuan pengeluaran dan pemasaran, satu usaha kreatif yang lain turut diperlukan bagi memastikan hasil tersebut dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

Kesimpulannya, kreativiti perlu difahami barulah kebolehan itu boleh dicapai. Paling penting kefahaman di peringkat masyarakat. Jika semua ahli masyarakat memahami kreativiti maka lebih mudahlah kebolehan itu dibudayakan. Paling asas adalah keyakinan bahawa kita manusia ciptaan Ilahi yang paling bertuah kerana dianugerahkan kebolehan kreatif, maka gunakan kebolehan itu ke arah kebaikan sejagat.

AZRINA SOBIAN ialah pegawai penyelidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Pandangan IKIM Utusan Malaysia Rencana 20140210

Tags: kreativiti
Subscribe

  • Ergonomi, Peranti Mudah Alih dan Tempat Kerja

    Sejak Mac 2020, kebanyakan institusi mula dan diarahkan untuk bekerja di rumah. Bagi institusi pendidikan terutamanya kerja mendidik dijalankan…

  • Perjalanan panjang telefon awam

    SEJARAH dan perkembangan telefon awam di negara ini bermula ketika zaman pemerintahan British sekitar tahun 1930-an. Menurut Ketua Muzium Telekom,…

  • Perlu bantuan operator

    A/B Black merupakan telefon awam buatan British yang dilengkapi dengan sebuah telefon lengkap dail bagi memberi kemudahan kepada sesiapa yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments