kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UEC: Tuntutan berisiko Dong Zong

MASYARAKAT Cina cukup maklum Kajang yang akan menyaksikan satu pilihan raya kecil 23 Mac ini adalah kubu kuat Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Justeru tidak menghairankan apabila sekali lagi isu supaya diiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate (UEC) dibangkitkan oleh Presiden Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian.

Ini terjadi tiga hari lepas semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran pertubuhan itu di Kajang. Sin Tian menyuakan tuntutannya itu. Dan disambut serta-merta pula dengan jaminan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang berjanji akan memberi perhatian terhadapnya.

Sebenarnya sudah tiga dekad Dong Zong mendesak supaya kerajaan mengiktiraf UEC sebagai kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Nampaknya pertubuhan ini tetap tidak berganjak.

Kalau diteliti berkenaan UEC, silibusnya dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V), Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML). Kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek sains dan semua subjek aliran perdagangan.

Hujah Dong Zong bahawa UEC diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi luar negara seperti Taiwan, Hong Kong, China, Singapura, Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom tidak relevan dengan senario di Malaysia. Ia akan mengakibatkan jurang perbezaan kaum melebar.

Apatah lagi, Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan sejak dahulu lagi. Mereka enggan mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan. Sebaliknya menggunakan kurikulum yang kebanyakannya dari Taiwan.

Langkah ‘menghalalkan’ sijil UEC sebagai ‘tiket’ masuk ke universiti tempatan dikhuatiri akan mendatangkan impak jangka panjang kepada kita semua.

Pertama, akan meningkatkan lagi jurang pendidikan. Ini mungkin berlaku apabila ibu bapa yang telah yakin dengan pengiktirafan yang diberikan ke atas UEC, sudah tentu berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke SMPC.

Ini tentunya bercanggah dengan semangat gagasan 1Malaysia yang kerajaan gerakkan. Di mana erti perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?

Kedua, akan muncul persaingan tidak sihat atas padang yang tidak rata. Kita maklum, sekolah Cina memiliki kemudahan jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan (SK).

Ketiga, lepasan SMPC merupakan pelajar yang dilahirkan mengikut acuan Cina dan Taiwan berdasarkan kurikulum yang diajar.

Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaiannya sendiri bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Ini sekali gus bercanggah dengan Falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan pelajar mengikut acuan Malaysia. Untuk melahirkan pelajar yang tinggi jati dirinya, tinggi pekertinya, cintakan negara, bukan hanya tinggi ilmu akademiknya.

Keempat, pada masa ini dasar kemasukan ke IPTA adalah mengikut prinsip meritokrasi. Apa akan terjadi kepada orang lain jika berlaku pertambahan lepasan SMPC dengan sijil UEC sebanyak 20,000 orang setahun ke dalam sistem kemasukan ke IPTA?

Kita bimbang, walaupun sudah diberi hak untuk mengasingkan anak-anak kaum Cina daripada kaum lain melalui sekolah vernakular tetapi Dong Zong masih belum puas hati.

Adakah mereka ingin pergi lebih jauh dalam usaha menjarakkan lagi jurang antara kaum?

Justeru, Dong Zong perlu menghormati ketegasan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Oktober tahun lalu bahawa UEC yang dikeluarkan SMPC masih belum diterima sebagai kelayakan masuk ke IPTA.

Ini kerana, kata beliau yang juga Menteri Pendidikan, sistem pengajaran dan pembelajaran SMPC tidak mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem pendidikan kebangsaan.

Walau bagaimanapun, pihak kementerian beliau telah membuka ruang kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memiliki UEC dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan untuk mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kementerian Pendidikan juga tidak bercadang mengadakan peperiksaan lain untuk kemasukan pelajar ke universiti dan masih meneruskan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi," kata Muhyiddin.

Sistem pendidikan termasuk peperiksaan awam yang dilaksanakan ketika ini seperti SPM dan STPM dilihat sudah cukup baik bagi melahirkan modal insan negara selain memastikan usaha perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dapat diperkukuhkan.

Kita tidak nampak kewajaran untuk satu lagi sistem peperiksaan lain khusus bagi sekolah menengah Cina. Ini lebih-lebih lagi dengan keadaan SJKC yang dikatakan beroperasi dalam `penuh kecinaan’.

Bukan sahaja tuntutan UEC, kita tidak akan lupa bagaimana pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mendapat tentangan hebat daripada Dong Zong yang sehingga kini masih mempertikaikan usaha murni tersebut dengan dakwaan kononnya akan mengancam kewujudan sekolah aliran serta menghapuskan bahasa Mandarin.

Padahal, setelah dikaji dan diteliti cadangan tersebut, tidak ada sekelumit pun niat memartabatkan bahasa kebangsaan untuk menghakis bahasa-bahasa lain.

Tuntutan Dong Zong tidak baik untuk negara. Ia boleh melahirkan generasi baharu Malaysia yang berpecah-belah, penuh syak wasangka dan benci-membenci sesama sendiri.

Kita bimbang seandainya kerajaan PKR Selangor tunduk dengan kehendak Dong Zong semata-mata untuk memenangi kerusi DUN Kajang. Dikhuatiri pengiktirafan terhadap UEC itu hanya akan mewujudkan kemelut yang berterusan pada masa hadapan.

Demi meraih undi, apa pun boleh jadi! Tuntutan kiasu ini perlu dihentikan segera



ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.myUtusan Malaysia Rencana 20140212
Tags: dong zong, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments