kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Semua pihak dapat manfaat cuti Jumaat-Sabtu

KETIKA Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan hari cuti rehat bagi negeri ini diubah kepada Jumaat-Sabtu berbanding Sabtu-Ahad pada majlis sambutan hari keputeraan baginda pada November tahun lalu, pelbagai reaksi diterima daripada masyarakat.

Bukan sahaja orang Johor yang heboh, malah rakyat negeri lain turut 'menumpang' sama memperkatakannya. Ada yang berpendapat keputusan itu memberi kebaikan, malah tidak kurang juga yang meraguinya.

Namun, selepas lebih sebulan dilaksanakan, nyata niat murni Sultan Ibrahim itu nyata membuahkan hasil. Nyata harapan baginda supaya masjid-masjid di negeri ini dipenuhi umat Islam untuk beribadah pada penghulu segala hari ini boleh dikatakan tercapai.

Nah, tengok sahaja pada setiap solat Jumaat, jemaah masjid melimpah ke luar.

Lebih membanggakan, jemaah khususnya kakitangan awam yang bercuti pada hari tersebut tidak lagi perlu berburu-buru untuk menunaikan solat Jumaat kerana perlu kembali menyambung seperti sebelum ini.

Sepanjang pemerhatian sejak minggu pertama solat Jumaat pada 3 Januari lalu, ramai jemaah yang mula membanjiri masjid seawal pukul 12 tengah hari berbanding pukul 1 petang sebelum ini.

Nyata peralihan cuti hujung minggu membantu umat Islam membuat persiapan awal untuk bersolat jemaah.

Lebih menggembirakan mereka ke masjid bersama anak-anak atau kenalan. Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka solat berjemaah bersama anak-anak di masjid, tidak seperti sebelum ini berjemaah bersama rakan-rakan sekerja sahaja.

Usai bersolat, mereka juga tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke pejabat seperti sebelum ini kerana terpaksa meneruskan tugasan yang ditinggalkan.

Apabila sudah bercuti, malah ada antara mereka yang mengambil peluang berurusan dengan pihak swasta yang tetap menjalankan operasi pada hari Jumaat, sama ada pada pagi atau selepas menunaikan solat Jumaat.

Senario itu dapat dilihat apabila ramai jemaah yang berurusan di bank-bank kecuali Bank Simpanan Nasional (BSN) yang turut mengambil keputusan bercuti pada Jumaat dan Sabtu seperti agensi kerajaan.

Keadaan itu juga memudahkan urusan masyarakat kerana tidak perlu tergesa-gesa atau 'lari' sekejap daripada tugas untuk menyelesaikan urusan bayaran pinjaman rumah, kereta dan peribadi seperti sebelum ini.

Bagi pekerja swasta, mereka pula boleh berurusan dengan jabatan kerajaan pada Ahad kerana agensi tersebut beroperasi. Jadi, kedua-dua pihak iaitu kakitangan kerajaan dan swasta ada 'hari eksklusif' untuk berurusan dengan pihak yang berkenaan.

Selain itu, apabila Jumaat diumumkan sebagai cuti hujung minggu, nyata jalan raya utama seperti Jalan Tebrau dan Jalan Skudai yang menjadi laluan utama orang ramai pergi balik dari kerja agak lengang daripada biasa. Begitu juga suasana pada Ahad apabila agensi kerajaan yang beroperasi, tidaklah sesak kerana syarikat swasta pula bercuti.

Dalam pada itu, sektor perniagaan khususnya bidang pelancongan dan perhotelan turut menerima tempias daripada cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu kerana hari 'urusniaga' bertambah satu hari lagi iaitu masyarakat tempatan boleh bercuti dan melancong dalam negeri, manakala Sabtu dan Ahad bagi orang luar yang berkunjung ke negeri ini.

Jadi, tidak berlaku 'kesesakan' bilik hotel seperti sebelum ini apabila sering mengalami kekurangan bilik apabila cuti hujung minggu jatuh pada Sabtu dan Ahad.

Nyata cuti pada Jumaat dan Sabtu memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada rakyat Johor, malah pengunjung luar turut mendapat tempiasnya.

Jadi, mulut-mulut yang kurang bersetuju dengan pertukaran hari cuti berkenaan sebelum ini sudah 'terkunci' dan Sultan Ibrahim berpandangan jauh apabila mengumumkan perubahan berkenaan.

Inilah perubahan untuk kebaikan!



Khabar Dari Johor Bahru Bersama Luqman Haziq Utusan Malaysia Rencana 20140212
Tags: jumaat, kerja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments