kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaji PBS secara menyeluruh

Putrajaya: Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan pada 2012 berikutan pelbagai aduan daripada guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mengenal pasti rumusan melaksanakan PBS secara lebih berkesan.

Sebelum ini guru mengadu mengenai kesukaran memasukkan maklumat ke dalam pangkalan data dan kita menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga 1 April, tetapi proses PBS diteruskan.



Muhyiddin beramah mesra dengan guru selepas mengadakan perjumpaan
bagi membincangkan Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
di SMK Putrajaya Presint 8 (1) di Putrajaya, semalam.

Kita akan teliti perkara ini dan adakan mesyuarat selepas ini. Kalau fikir perlu dan sesuai, kita tangguhkan seketika sehingga sistem ini dilihat kemas serta boleh beroperasi secara lancar, kita akan putuskan (kemudian).

Sejak memperkenalkan PBS, kita terima pelbagai pandangan daripada guru yang meminta kerajaan teliti semasak-masaknya kaedah terbabit, katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pendidikan, mengadakan perjumpaan lebih sejam dengan pengetua dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1) bagi mendengar sendiri masalah mereka berkaitan pelaksanaan PBS.

PBS dilaksana berdasarkan empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
Dengar pandangan guru

Muhyiddin berkata, sesi itu bagi membolehkan beliau mengetahui lebih dekat pandangan guru, selain cabaran yang mereka hadapi dari segi pelaksanaan di samping kesan pelaksanaan terhadap pelajar serta penerimaan ibu bapa terhadap PBS.

Rumusannya, kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.

Itulah sebabnya saya memutuskan kita tangguh sementara aspek memasukkan maklumat berkaitan pelajar kerana sistem pelayan (server), selain rangkaian perhubungan dan penggunaan alat merekodkan prestasi serta pencapaian pelajar tak dapat dilaksana dengan baik.

Justeru, ada keperluan untuk kita meneliti lebih lanjut. Saya minta pengalaman SMK Presint 8 (1) dijadikan bahan kajian dan minta kerjasama pengetua, selain guru untuk meneliti serta membentang lebih lanjut apa yang mereka alami selama ini untuk diperhalusi oleh kementerian, katanya.


Magendran Rajagopal dan Suhaila Shahrul Annuar Berita Harian Nasional 12/02/2014
Tags: assessment, pbs, pentaksiran, sba
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments