kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Adenan pakar pendamai BN Sarawak

SEJAK Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan pengundurannya pada Sabtu lalu, 'nujum politik' cenderung memilih Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Nama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan juga lebih ke hadapan berbanding Tan Sri Adenan Satem. Walaupun 'nujum politik' mengakui kemampuan Adenan untuk menggalas tugas Ketua Menteri, faktor kesihatan seringkali dijadikan alasan untuk meletakkan Menteri Tugas-Tugas Khas itu sebagai 'calon simpanan'.

Namun hari ini, Abdul Taib yang diberikan mandat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memilih pengganti telah menamakan Adenan yang juga bekas adik iparnya sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima.

Pemilihan itu sebenarnya tidak mengejutkan pemerhati politik Sarawak kerana selain pernah hampir menggantikan Abdul Taib pada 2006, Adenan juga merupakan seorang strategis politik kepada Ketua Menteri selama 33 tahun itu.




Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menyerahkan watikah perlantikan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak kepada Adenan Satem selepas mengangkat sumpah di Astana, Petra Jaya, pada tahun 2011.

Adenan adalah tulang belakang kekuatan politik Abdul Taib sebagaimana timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mendapat bantuan daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bagi yang tidak mengenali Adenan dengan rapat, beliau sering disalah anggap sebagai sombong kerana raut mukanya yang serius. Sedangkan beliau sebenarnya sangat fokus apabila membuat kerja dan wajah yang serius itu menunjukkan otaknya ligat berfikir.

Disifatkan sebagai low profile dan tidak banyak cakap, Adenan bukanlah pemimpin yang menunjuk-nunjuk sehingga ada kalanya beliau seperti keseorangan dalam dunia politik. Walaupun tidak mempunyai penyokong yang ramai sebagaimana Abang Johari dan Awang Tengah, taring politik Adenan amat digeruni pembangkang.

Pada awal 2011, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian dengan angkuh mencabar Abdul Taib atau mana-mana pemimpin BN Sarawak berdebat tentang isu tanah hak adat bumiputera (NCR) yang merupakan antara modal utama pembangkang.

Pantang dicabar, Abdul Taib menamakan Adenan yang pada masa itu Penasihat Khas Ketua Menteri menyahut cabaran itu. Mengetahui kredibiliti Adenan, Baru akhirnya menikus.

Melihatkan Baru menikus, Adenan secara bersahaja menyindir kenapa perlu takut kerana beliau bukannya sesiapa malah seorang yang 'straight', bagi mengusik supremo PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan isu moral.

Cubaan pembangkang untuk mengganyang BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam isu NCR sentiasa menemui jalan buntu kerana beliau yang merupakan pakar undang-undang dan banyak membaca sentiasa bersedia dengan fakta dan angka.

Adenan juga sering turun padang bagi menyelesaikan isu tanah NCR dengan memberi penjelasan di peringkat kampung dan jika masih ada yang tidak berpuas hati, majlis dialog akan diadakan.

Seorang bekas wartawan politik kanan yang berkhidmat dengan beberapa agensi berita di Sarawak sewaktu diminta pandangannya mengenai Adenan, secara spontan menjawab:

"Dia seorang yang fantastik".

Katanya, bakal Ketua Menteri itu seorang yang bijak mengawal emosi malah tetap ceria walaupun berdepan dengan masalah besar.

"Pada 1998, berlaku masalah jerebu yang teruk akibat pembakaran hutan di Kalimantan. Apabila saya minta komen, dia berseloroh apa kata kita buat kipas yang besar dan tiup balik asap ke Indonesia, ini projek besar," katanya.





Abdul Taib Mahmud (kanan), dipeluk oleh Adenan Satem (kiri) selepas mempengerusi Mesyuarat Komponen BN Sarawak di Ibu pejabat parti itu, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


Mengulas lanjut, beliau memberitahu Adenan juga bijak berdiplomasi walaupun hanya dengan wartawan. Sikap itu dikagumi kerana layanan ahli politik kepada wartawan di Sarawak tidak menyamai layanan yang diterima rakan-rakan sejawatan mereka di Semenanjung.

"Masa itu ada isu panas, bila minta reaksi, dia ajak makan dahulu. Selepas makan, dia sambil ketawa beri alasan mengantuk sebab kenyang dan minta datang esok.

"Kalau tunggu di kereta pula, dia dari jauh lagi akan kata, dah lama saya tunggu di pejabat tadi, sekarang kena balik sebab ada hal penting.

"Tanyalah apa sahaja isu, dia tidak akan menengking. Kalau dia kurang gemar, jawapannya bernada sarkastik. Tetapi kalau muka dia masam, itu jangan dikacau," katanya.

Beliau turut berkongsi kisah bagaimana Adenan pernah fobia untuk menaiki helikopter kerana amat terkesan dengan kematian seorang rakan baiknya yang juga banyak membantu dalam mendamaikan konflik dalaman BN Sarawak iaitu Dr. Judson Tagal.

Judson yang merupakan Menteri Muda Sarawak, maut dalam nahas helikopter pada Julai 2004 sewaktu dalam perjalanan ke Ba'Kelalan daripada Bario.

Kebimbangan Adenan berasas apabila pada September tahun yang sama, beliau nyaris menjadi mangsa nahas helikopter di Asajaya yang mengorbankan lima nyawa.

"Dia sepatutnya menaiki helikopter itu tetapi Jabu minta Adenan naik helikopter bersamanya yang lebih besar. Jika tidak, dia mungkin sudah tiada dan tidak berpeluang menjadi Ketua Menteri," katanya.

Dalam aspek politik pula, Adenan diiktiraf ramai sebagai individu belakang tabir yang bekerja keras mendamaikan pergolakan dalaman komponen BN Sarawak seperti krisis Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Lantaran itu, banyak pihak melihat pelantikan Adenan dibuat di atas faktor pendamai yang dimilikinya. Dikhuatiri berlaku pertembungan di antara kem Abang Johari dan Awang Tengah jika salah seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti Abdul Taib.

"Walaupun Adenan tiada penyokong seramai Abang Johari atau Awang Tengah, beliau dihormati oleh mereka. Itu kelebihan Adenan walaupun sedikit uzur.

"Ramai yang beranggapan Adenan adalah 'care taker' bagi meredakan suasana panas sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada salah seorang daripada dua tokoh ini. Bila? Itu terpulang kepada percaturan dan perkembangan politik Sarawak selepas ini," kata seorang pemerhati.

Kebimbangan itu amat relevan kerana masa depan BN di Putrajaya amat bergantung kepada kestabilan politik Sarawak.

Adenan bukan sahaja berdepan tugas berat untuk menjaga perpaduan dalam PBB malah perlu menyelesaikan masalah dalaman parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Justeru, pelantikan Adenan perlu diterima secara positif oleh semua pihak. Kematangan politik dan kerjasama penuh amat diperlukan kerana peralihan kuasa tidak sepatutnya menjadi bom jangka yang akan meranapkan struktur politik nasional.

Hormatilah pengorbanan Adenan yang memikul tanggungjawab besar walaupun beliau sendiri mempunyai masalah kesihatan. Terima kasih Pehin Sri, selamat bersara. Tahniah Tan Sri Denan, selamat bertugas.


SAIFUL HAIZAN HASAM saiful.hasam@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140213
Tags: km, pemimpin, sarawak, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments