kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan kerja mudah

PEMASANGAN telefon awam secara umum melibatkan beberapa proses dari segi permohonan dan kerja-kerja teknikal.

Kontraktor Pendawaian Telefon Bumi Service, Raja Saifulnizam Raja Jaafar, berkata, pada peringkat permulaan, sesebuah syarikat yang hendak memasang telefon awam di satu lokasi terlebih dahulu perlu mengemukakan permohonan.

"Permohonan perlu dikemukakan kepada Telekom Malaysia Berhad (TM). Setelah itu, TM menerusi satu sistem akan mengeluarkan satu nombor sebelum kerja-kerja teknikal dilakukan.

"Beberapa digit di dalam nombor berkenaan mewakili kod tertentu. Dua digit pertama melambangkan negeri dan dua digit seterusnya mewakili kawasan tertentu.

"Sebagai contoh pelan nombor untuk Selangor ialah 03, diikuti kod kawasan misalnya Kajang 87, Bangi (89) dan Keramat (42). Dua digit terakhir telefon awam selalunya berakhir dengan 83, iaitu apabila dicampur menjadi 11" katanya yang pernah bertugas di TM sebagai Pembantu Pegawai Teknik.

Sebelum kerja-kerja teknikal dimulakan menurutnya, sekumpulan petugas TM akan melakukan kajian dari segi penentuan tiang telefon dan kabinet yang sesuai untuk penyambungan kabel ke lokasi berkenaan.

"Sekiranya pemasangan hendak di lakukan di satu lokasi, petugas berkenaan akan mengenal pasti terlebih dahulu kawasan tersebut, tiang telefon yang berhampiran dan nombor tiang berkenaan.

"Di bahagian atas tiang ada ditulis nombor tiang itu, di bahagian bawah pula ditulis nombor kabinet yang terletak di tepi jalan.

"Mereka akan catat dan masukkan segala butiran berkaitan ke dalam satu borang sebelum dimasukkan di dalam sebuah sistem bagi membolehkan kerja-kerja teknikal seterusnya dilakukan," katanya.

Permohonan untuk pemasangan telefon awam akan diluluskan selepas hasil kajian itu menunjukkan tidak terdapat sebarang masalah dan bahaya.

Katanya, proses seterusnya akan melibatkan kerja-kerja menyambungkan rangkaian telefon dari ibu sawat tempatan ke lokasi telefon awam yang hendak dipasang.

Katanya, jika membabitkan telefon awam, bacaan 'pair' ditanda secara spesifikasi dengan menyatakan daripada syarikat mana yang memasang telefon awam tersebut.

"Hal ini memandangkan di dalam kabinet, terdapat banyak kabel yang terdiri daripada bacaan 'pair' mewakili pelbagai premis seperti bank, balai polis, hospital dan pejabat kerajaan.

"Dengan ini, proses penyelenggaraan dan pembaikan dapat dilakukan dengan mudah sekiranya berlaku masalah teknikal," katanya.

Menurutnya, juruteknik akan melakukan proses penyambungan 'jumper' kabel dari bacaan 'pair' pada ibu sawat ke bacaan 'pair' yang terdapat pada lokasi tiang setiap premis mengikut senarai yang ditetapkan dalam borang.

"Setelah bacaan 'pair' ditandakan, juruteknik akan melakukan pemeriksaan di atas tiang dengan menggunakan telefon bagi memastikan nombor tersebut telah sampai atau tidak," katanya.

Setelah selesai, barulah pemasangan telefon awam boleh dilakukan.

"Biasanya syarikat yang memohon untuk menyediakan telefon awam akan menyediakan peralatan berkenaan," katanya.

Tambahnya, duit syiling yang diperolehi daripada hasil pengguna membuat panggilan menggunakan telefon awam akan dikutip oleh kakitangan syarikat berkenaan pada setiap bulan.

"Syarikat itu kemudian akan membayar sewa talian kepada TM mengikut kadar yang ditetapkan dalam tempoh tertentu," katanya.

Kini, tidak banyak syarikat menyediakan kemudahan telefon awam memandangkan perniagaan tersebut berdepan dengan pelbagai risiko khususnya vandalisme.



Utusan Malaysia Rencana 15/02/2014
Tags: telefon
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments