kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tempat 'bergayut' demi cinta

BERGAYUT jika dirujuk dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud berpegang pada sesuatu dan kaki tidak menjejak tanah.

Namun menariknya, istilah itu cukup popular dan sinonim dengan telefon awam terutama dalam kalangan remaja pada zaman 1990-an.

Nur Hasnaria Sakarija berkata, istilah 'bergayut di telefon awam' sering digunakan bagi menunjukkan seseorang itu menggunakan kemudahan itu dalam tempoh yang lama.

Menurutnya, selalunya mereka yang ingin berkenalan atau bercinta sering 'bergayut' di telefon awam.

"Ketika saya berusia 16 tahun, trend bercinta dan berkenalan melalui telefon awam sangat popular dalam kalangan remaja.

"Saya juga melalui pengalaman seperti itu apabila mengenali seorang lelaki melalui telefon awam, hasil bantuan seorang rakan sekolah.

"Kami tidak pernah bersemuka, justeru telefon awam menjadi perantara untuk kami berkenalan dengan lebih rapat," katanya.

Katanya, gara-gara mahu berbicara dengan lelaki tersebut, pulang sahaja dari sekolah, dia terus ke pondok telefon yang terletak berhampiran rumahnya.

"Terlalu asyik 'bergayut' sampai tidak sedar orang yang berada di belakang sudah lama menunggu sehingga ada yang terpaksa beredar kerana penat beratur.

"Malah saya pernah dimarahi oleh seorang lelaki sebab sudah tidak tahan menunggu lama," katanya.

Tempat bergayut


SITUASI yang menggambarkan suatu ketika dahulu pengguna menunggu giliran apabila seorang pemanggil 'bergayut' di sebuah pondok telefon awam.

Sementara itu, Hatta Hatib pula menganggap telefon awam sebagai penyelamat tatkala dia malu untuk berkenalan dengan seorang gadis.

Menurutnya, dia terpikat dengan seorang gadis ketika bekerja sementara di sebuah kilang papan, namun malu meluahkan perasaan.

"Pada hari terakhir bekerja di kilang itu, barulah saya memberanikan diri mendapatkan nombor telefon rumah gadis tersebut daripada rakannya.

"Bermula daripada itu, saya pun menghubunginya menggunakan telefon awam sehinggalah saya menyambung pengajian di Kolej Komuniti Tawau," katanya.

Menurut Hatta, setiap kali hendak menghubungi gadis itu, dia akan mencari tempat yang menyediakan kemudahan tersebut kerana ketika itu dia tidak mempunyai telefon bimbit.

"Selepas habis waktu kuliah, saya akan menghubunginya dan bertanyakan khabar.

"Tidak dinafikan hubungan kami bertambah rapat setelah mengenali antara satu sama lain melalui telefon awam," katanya.

Menurutnya, duit syiling akan disediakan terlebih dahulu sebelum hendak membuat panggilan jika tidak, pasti perbualan akan menjadi singkat apabila duit syiling tidak mencukupi.

"Jumlah duit syiling yang digunakan tidak tetap, ikut berapa lama masa kami berbual. Adakalanya apabila duit syiling sudah habis, saya terpaksa membuat pertukaran di mana-mana kedai.

"Biasanya, saya akan membeli sesuatu seperti air minuman untuk mendapatkan baki dalam bentuk duit syiling. Sampai begitu sekali," katanya.

Pasangan itu akhirnya mendirikan rumah tangga pada 2 November 2012 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Dalam pada itu, Sheleem Murshid berkata, ketika mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah, dia akan berhubung dengan keluarganya menggunakan telefon awam apabila kehabisan kredit.

"Telefon awam menjadi alat penghubung dan tempat untuk melepaskan rindu dengan keluarga yang berada jauh di kampung halaman," katanya.

Katanya, telefon awam juga sering dijadikan tempat 'bergayut' oleh pelajar asrama untuk menghubungi pasangan masing-masing.

"Walaupun masing-masing sudah mempunyai telefon bimbit sendiri, namun apabila sudah tidak mempunyai kredit, telefon awam menjadi sasaran.

"Pelbagai ragam boleh dilihat, ada yang berselimut dan membawa makanan ringan seperti keropok dan kuaci sambil 'bergayut'. Bukan itu sahaja, ada yang gemar menyimpan duit syiling semata-mata mahu menggunakan telefon awam," katanya.



Utusan Malaysia Rencana 20140215
Tags: gayut, telefon
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments