kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gosip 'penyakit azali' perempuan

BRO terima banyak reaksi berhubung tulisan minggu lalu bertajuk 'Perempuan suka buat perkara memualkan'.

Bro ucapkan terima kasih sebab yang turut memberi reaksi ialah perempuan-perempuan, ertinya masih ramai golongan itu yang matang dan bersedia menerima teguran secara terbuka.

Kali ini, Bro nak ulas pula fasal perempuan yang suka sangat bergosip termasuklah soal-soal peribadi orang lain sehingga kadang kala ia sampai ke tahap menganiaya kaum sejenis mereka.

Bro tak faham sepatutnya perempuan memahami perasaan perempuan lain, tetapi sebaliknya apa yang berlaku mereka pula suka memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Sekarang ni bergosip dalam kalangan perempuan bukan lagi 'bersidai' depan rumah macam mak cik-mak cik buat zaman dulu-dulu. Sambil dukung anak macam-macam gosip mereka perkatakan termasuklah soal jiran, tetapi sekarang laman sosial pula menjadi platform.

Bro tak kisah sama ada gosip itu benar atau tidak ia persoalan kedua, tetapi Bro nak tanya apa faedahnya nak ambil tahu hal orang atau istilah popularnya, 'jaga tepi kain orang'.

Sepatutnya, tumpu perhatian kepada usaha memperbaiki diri sendiri, bermuhasabah dan bermunajat kepada Allah SWT supaya kita menjadi insan yang solehah, bukan dok sibuk mengata hal orang lain. Bro takut nanti kita dok 'tuding kain orang terkoyak, kain kita sendiri dah terlondeh'.

Apa yang Bro kesalkan ada sesetengah gosip sama ada berkaitan jiran, kawan sepejabat mahupun saudara mara menjurus kepada fitnah. Dapat saja maklumat atau dengar cakap-cakap orang terus 'post' dalam Facebook atau WhatsApp.

Bahagia

Bagi sesetengah perempuan yang berperangai 'macam puaka' ini, itulah detik paling bahagia untuk mereka kerana boleh mengumpat hal orang.

Dia tak periksa pun sama ada apa yang hendak digosipkan itu betul atau tidak, fitnah atau satu kebenaran. Bayangkanlah kalau apa yang digosipkan satu fitnah, dah pasti ia menjadi bencana kepada mereka yang menjadi mangsa.

Ada sesetengah gosip itu sampai rumah tangga seseorang lintang pukang, yang bertunang terputus di tengah jalan dan yang bercinta bergaduh sakan.

Bro tahulah perempuan ni memang suka bergosip atau dalam bahasa kasar mengumpat, ia seolah-olah satu 'penyakit azali' kepada kaum hawa. Tak boleh ke, jangan biarkan 'penyakit' itu merebak supaya setiap hari kita tidak mengumpul dosa.

Bro nak tanya kepada perempuan yang berperangai seperti itu, tak faham agama atau memang jahil apabila tidak memahami bahawa dosa kita sesama manusia, hanya manusia yang kita buat salah itu sahaja boleh maafkan, kalau tidak jawablah kat akhirat nanti.

Bro bersimpati dengan perempuan yang kena tohmah atau digosip, dan paling perempuan suka gosip berkaitan hubungan peribadi seseorang. Kalau perempuan tu ada masalah dengan suami, mereka akan kata si suami tu yang salah, kalau perempuan tu ada masalah dengan teman lelaki atau tunang, lelaki juga yang salah.

Bro akui kadang kala lelaki pun buat salah tetapi sama ada siapa pun bersalah, yang kita nak menyibuk tu apa hal? Boleh tambah pahalakah dengan mencampuri urusan peribadi orang lain? Boleh dapat duit ribu-ribu ke macam program Maharaja Lawak Mega apabila gosip kita yang dipaparkan kat Facebook atau WhatsApp mendapat reaksi kawan-kawan. Bro yakin mereka tidak dapat semua tu, yang mereka dapat ialah dosa.

Oleh itu Bro nak minta perempuan-perempuan supaya tinggalkan perangai buruk bergosip melalui laman sosial, buang masa dan tenaga aje.

Kalau dah tak pandai sangat nak guna laman tu untuk tujuan kebaikan tutup aje akaun. Ini tidak, bila ada gosip terus aje nak post dalam FB atau WhatsApp dan ada pula gatal tangan dan gatal mulut nak beri reaksi seolah-olah kalau tak buat macam tu tidur tak lena.

Satu lagi Bro nak nasihatkan perempuan yang kena gosip supaya jangan melatah, kalau perkara yang digosipkan itu tidak betul, serahkan sahaja kepada Allah SWT, kita ada Tuhan jadikan Dia tempat mengadu, jangan dok mengadu kat orang tak tentu hala terutamanya perempuan, silap-silap orang tu pula akan sebarkan.

Bro pernah diberitahu bagaimana niat baik untuk membantu kawan boleh menjadi petaka kepada kawan tersebut kerana tersilap cara. Tahu sajalah, perempuan mana boleh simpan rahsia.

Lagi pun kalau kita dok nafi berkali-kali nanti orang akan kata ia satu kebenaran. Sebab bagi Bro, perempuan yang menafikan berkali-kali ini maknanya perkara itu mungkin betul.

Jadi kalau kita berada di pihak yang benar, biarkan sahaja 'mulut-mulut puaka' terus bergosip sebab perempuan memang ramai tak tahu jaga mulut. - JUMPA LAGI

Bro Tompok. Utusan Malaysia Rencana 16/02/2014
Tags: gosip, mengumpat, perempuan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments