kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ceritera MAS, tukang masak dan nasi lemak

PERANG menawan hati pengguna bukanlah suatu yang luar biasa. Apabila terdapat persaingan, maknanya tidak ada monopoli pengguna boleh membuat pilihan.

Misalnya ada dua gerai menjual nasi lemak, tapi berbeza antara satu dengan lain. Rasanya, rencahnya dan aksesorinya dan telurnya. Kalau tak ada telur, itu tak tulen.

Bagi Siti semua ini baik kepada pengguna, mereka mendapat harga yang munasabah, khidmat yang baik selain boleh membuat pilihan. Misalnya di Kajang, ada dua gerai nasi lemak 'Kajang', pilihlah yang mana satu boleh dipercayai, awas jangan terpedaya.

Baru-baru ini Siti dengar khabar nasi lemak bernilai tinggi. Seumur hidup Siti rasanya belum pernah nasi lemak diiklan semuka penuh di surat khabar. Yang ada sebelum ini KFC, McDonald dan lain-lain yang berjenama mat salih.

Kedudukan nasi lemak sudah teranjak. Jangan buat main dengan nasi lemak, silap haribulan orang boleh mengamuk kalau nasi lemak bukan sahaja tak berapa lemak tapi tak cukup sifat.

Penerbangan Malaysia (MAS) sudah melalui pengalaman pahit ini. Puncanya seorang tukang masak membebel kerana nasi lemak dalam kapal terbang MAS 'telanjang'. Maksudnya tak sempurna sebagai nasi lemak negara ini.

Siti menaiktarafkan bebelan tukang masak ini kepada teguran ikhlas yang datang daripada orang yang pakar dan juga penumpang.

Tentulah nasi lemak tidak menjadi isu kalau dibebelkan oleh jurutera atau arkitek malah wartawan sekalipun. Sebabnya mereka mungkin bukan orang yang pakar.

Nasi lemak sebenarnya bernilai tinggi kepada MAS. Kalau tidak kerana nasi lemak, pesaingnya sudah tenggelam punca untuk menyaingi kualiti perkhidmatan, harga dan kemesraan krew dalam penerbangan MAS yang melayan penumpang macam orang kenamaan. Biarpun di kelas ekonomi, layanan bertaraf kelas satu.

Tetapi nasi lemak bukanlah penanda aras kualiti perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan sehebat MAS. Siti sekadar memperingatkan pengguna @ penumpang supaya jangan terperangkap dengan perang iklan.

Janganlah kerana mahu nasi lemak yang 'tak telanjang' kita menggadai hak-hak sebagai penumpang. Kena tengok juga perkhidmatan kepada penumpang, ruang budi bicara yang tidak boleh dibuat oleh mesin di kiosk.

Jadi, nasi lemak tidak sepatutnya dijadikan faktor semasa memilih untuk terbang dengan kapal terbang yang mana satu. Siti tak kisah sangat dengan nasi lemak MAS yang 'telanjang'.

Sebab daripada pengalaman Siti naik kapal terbang beberapa syarikat antarabangsa, semuanya tidak setanding dengan khidmat yang diberikan oleh MAS.

Khidmat MAS bukan sahaja semasa dalam kapal terbang malah seawal menempah tiket lagi sama ada menerusi dalam talian atau di kaunter tiket. MAS bukan dengan mudah menafikan hak penumpang kerana banyak menggunakan ruang budi bicara.

Satu lagi kalau kita ada perkara-perkara penting misalnya mesyuarat, naiklah MAS. Siti berani bagi jaminan tidak ada kelewatan kecualilah kalau tayar kapal terbang MAS pancit. Kalau tidak, kata orang MAS sentiasa 'on time'.

Walaupun MAS tidak menjaja tambangnya murah, serendah tambang bas, hakikatnya tambang MAS sekarang ini sangat murah. Kalau hendak pergi ke Kuala Terengganu atau Kota Bahru misalnya, tiket MAS lebih murah daripada tiket bas ekspres. Mana nak cari macam ini? Dahlah murah ikut jadual pula.

Inilah yang membuatkan Siti jatuh cinta dengan MAS. Temu janji tak lewat, layanan pula bagus. Orang selalu kata, masa itu emas. Kerana masa itu emaslah Siti selalu pilih MAS.

Siti juga nak ingatkan bahawa pada era yang dikuasai oleh budaya konsumerisme ini, kuasa iklan menjadi senjata yang menafikan ruang demokrasi kepada pengguna. Pengguna dipengaruhi supaya menafikan cita rasa sendiri dengan mengikut cita rasa pengiklan.

SITI JARUM: Nasi lemak buah bidara, nasi kukus ayam dara, tukang masak punya cerita, ada perang di angkasa raya.



SITI JARUM siti_jarum2009@yahoo.com Utusan Malaysia Rencana 20140216
Tags: mas, nasi, tukang masak
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments