kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bengkulu dan semangat menjaga sesama kita

"AHH jadi malu aku," begitu reaksi seorang pegawai hubungan awam kota Bengkulu, Sumatera. Reaksi itu sebagai respons rumusan seorang editor media Indonesia bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mungkin lebih mengetahui sejarah wilayah yang menghadap Lautan Hindi ini berbanding pegawai kota Bengkulu itu.

Hal itu menjadi perbualan rancak apabila Ahmad Shabery mengimbau kembali Bengkulu dalam perspektif sejarah Malaysia dan penjajahan Inggeris dalam ucapannya pada majlis jamuan malam 'Keakraban Malaysia dan Indonesia' di kota ini minggu lalu. Inggeris pernah menjajah Bengkulu selama 27 tahun dari 1714.

Bengkulu atau dalam sejarah Malaysia disebut Bangkahulu manakala Inggeris pula Bencoolen sangat berkait dengan sejarah negara. Fort Marlborough atau di sini dipanggil Benteng Marlborough (1713) yang dibina oleh East India Company mempunyai ciri sama dengan Kota Cornwallis (1986) di Pulau Pinang mahupun Fort Margherita (1879) di Sarawak.


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, para menteri Indonesia, pimpinan PWI bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
dan delegasi Iswami di pintu masuk Benteng Marlborough sempena acara kemuncak Hari Media Indonesia di Bengkulu, Ahad lalu.

Walau bagaimanapun beberapa orang wartawan yang pernah berkunjung ke kubu-kubu peninggalan Inggeris itu menyimpulkan Benteng Marlborough lebih terjaga rapi. Tidak hairanlah majlis kemuncak hari media Indonesia atau Hari Pers Nasional (HPN) yang dihadiri oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono diadakan di atas bukit benteng ini.

Minggu lalu, dalam sambutan HPN yang mengumpulkan ribuan pemilik media, editor dan wartawan seluruh Indonesia di kota Bengkulu ini, Malaysia turut menjadi perhatian. Ahmad Shabery yang menjadi satu-satunya menteri dari negara luar bersama delegasi Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) diundang khusus dalam beberapa acara HPN.

Selain acara kemuncak, Malaysia turut menjadi hos jamuan malam 'Keakraban Malaysia dan Indonesia' pada hari terakhir HPN. Malam itu kira-kira 400 tetamu dihiburkan oleh penyanyi Amy Seach, sesuai dengan permintaan Iswami Indonesia yang melihat Amy, selain Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan Sheila Majid sebagai idola masyarakat republik ini.

Penyertaan Malaysia dalam HPN adalah istimewa. Ini adalah tahun kedua menteri dari Malaysia dan Iswami diundang dalam sambutan hari media Indonesia. Berbanding tahun lalu di Manado, Sulawesi, delegasi Malaysia kali ini turut menyertai acara kemuncak yang dihadiri oleh Presiden Indonesia.

Perjalanan panjang dengan penerbangan perlu transit di Jakarta, seperti tidak dirasakan. Kehangatan sambutan masyarakat Bengkulu dan wartawan Indonesia menjadikan acara tahunan kali ke-68 ini sentiasa ada kelainan dan keistimewaan.

Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Margiono yang menjadi penganjur HPN dalam ucapan pada majlis Keakraban Malaysia dan Indonesia, menghargai usaha Iswami untuk mendekatkan lagi hubungan sesama wartawan.

Dalam kesempatan itu, beliau malah menyatakan rasa teruja dengan cara Ahmad Shabery melayani tetamunya. Ahmad Shabery telah menunjukkan 'cara Malaysia' dengan pergi dari meja ke meja untuk berkenalan dengan para wartawan yang hadir.

"Di Indonesia, itu bukan budaya pak menteri," katanya yang sentiasa optimis dengan hubungan Malaysia-Indonesia walaupun sering kali terganggu dengan isu-isu kecil yang dicetuskan oleh kelompok tertentu.

Sebenarnya bukan Ahmad Shabery sahaja yang menunjukkan sikap mesranya. Susilo malah melanggar protokol kepresidenan dengan memenuhi permintaan delegasi Malaysia untuk bergambar di pintu masuk Benteng Marlborough selepas acara HPN selesai.

"Sampaikan salam saya kepada Agong (Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah) dan Pak Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) ya," kata Susilo yang diiringi oleh Ibu Negara, Ani Yudhoyono, para menteri dan pimpinan PWI.

Begitulah akrabnya hubungan personal antara pemimpin kedua-dua buah negara ini. Begitu juga halnya dengan wartawan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Iswami Malaysia dan Indonesia telah menunjukkan kesepakatan yang baik untuk menganjurkan majlis secara bersama.

Hubungan akrab itu semakin penting terutama dalam konteks untuk mengukuhkan jalinan satu Nusantara. Melalui hubungan serumpun yang mengikat apa juga kerjasama dapat dijalin dengan lebih mudah.

Yang lebih penting hubungan matang sedemikian akhirnya dapat menghindari konflik yang kadang kala sengaja dicetuskan untuk tujuan-tujuan tertentu. Terlalu banyak pihak yang cemburu dengan ikatan satu rumpun, satu Nusantara ini. Dalam hal ini, Malaysia-Indonesia mempunyai banyak pengalaman.

Tentu sekali media memainkan peranan besar terutama dalam mendidik komponen masyarakat agar tidak mudah terpancing dengan adu domba dan menyelesaikan apa juga masalah kejiranan dengan cara berhemah.

Tentu sekali Melayu Nusantara tidak boleh berbangga hanya kerana kehadiran mereka tersebar luas di selatan Filipina dan Thailand, Brunei, Singapura dan Malaysia.

Hubungan itu mesti disusuli dengan komitmen untuk saling menjaga dan melindungi sesama rumpun walaupun secara fizikal dipisahkan dengan batasan negara.

Antara dua negara besar ini seharusnya terus menggalakkan penganjuran apa juga program dan kerjasama yang dapat mengukuhkan lagi hubungan agar akhirnya "kita dapat saling menjaga dan melindungi sesama kita."



Zulkefli Hamzah warungrakyat.mingguan@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140216
Tags: bangkahulu, bengkulu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments