kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cerita bandar Melayu, Cina

EPISOD 1

UNGKAPAN "Bandar Melayu" dan "Bandar Cina" dalam situasi sosio-politik sekarang tidak bijaksana digunakan. Ada konotasi perkauman yang akan tambah merangsang suasana permusuhan.

Sebaik-baik timbul berita pilihan raya kecil (PRK) Kajang, tersebarlah berapa jumlah pengundi Melayu dan berapa pengundi Cina. Maka tumpuan perhatian orang: Melayu lawan Cina. Bukan pilihan raya untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ada pula yang mengatakan PRK ini jadi ujian sikap pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN). Mengapa tidak juga jadi ujian sikap pengundi Melayu?

Dalam Utusan Malaysia 7 Februari, ada tulisan Dr. Ahmad Zaki Ismail bertajuk "Kajang kejang, tegang dan bengang". Katanya, dalam PRK Kajang nanti "semua isu dan cara akan dihalalkan walaupun bakal mengundang ketegangan antara kaum dan agama".

Begitulah selalu. Setiap kali ada pilihan raya dan berlaku apa saja yang melibatkan kaum atau agama, cepat sekali jadi isu persaingan politik Melayu-Cina. Sebab itulah, ungkapan "Bandar Melayu-Bandar Cina" dan "usahawan Melayu-usahawan Cina" tidak wajar digunakan, kalau kita benar-benar komited kepada usaha perpaduan.

Bagaimanapun, berita bertajuk besar "Mara bina 'bandar Melayu' di Subang" dan rencana pertama Azman Anuar dalam kolum barunya "Pedas-Pedas Kari" bertajuk "Pertahankan kedudukan Melayu di KL" (Mingguan Malaysia 2.02.2014) menguja saya menggunakan ungkapan "Bandar Melayu dan Bandar Cina".

Membina "Bandar Melayu" adalah cerita baru. Setelah bertahun-tahun kita bercakap tentang pelbagai masalah bangsa Melayu, baru inilah pertama kali timbul ungkapan "Bandar Melayu". Saya rasa nadanya nostalgik dan romantis sekali, kerana kisah orang Melayu tersingkir dari bandar sudah berlaku secara berterusan ratusan tahun lamanya.

Dari segi implilkasi politik - penyingkiran ini sekarang - sudah jadi tragedi yang parah. Namun tiada siapa pun yang bertanggungjawab, menanganinya secara serius. Tiada tindakan pembelaan yang jelas, terancang dan berterusan. Meskipun kuasa dan kemampuan ada. Kita terlalu terpengaruh dengan usaha mencari wang.

Sekitar tahun 1940-an dan 50-an, di tengah-tengah pekan Alor Setar ada dua jalan selari yang popular, disebut Pekan Melayu dan Pekan Cina - tanpa rasa perkauman. Mungkin kerana di jalan Pekan Melayu itu dulunya ada beberapa kedai Melayu. Namun yang saya ingat ada sebuah saja kedai kain Melayu.

Dan apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuka klinik, di sebelah kedai Melayu itulah Maha Klinik bermula. Sekarang tiada lagi kedai Melayu di Pekan Melayu ini. Sebaliknya di Pekan Cina, tetap dipenuhi kedai Cina.

Sekitar tahun 1950-an ada bazar Pasar Yaakob di depan Pekan Rabu - tempat orang Melayu berniaga kecil-kecilan. Tetapi pasar ini pun akhirnya tiada lagi, berganti dengan kedai Cina. Yang masih kekal hanya Pekan Rabu, tempat peniaga kecil Melayu menjual pelbagai barangan untuk pembeli Melayu, termasuk kuih-muih, belacan dan ikan pekasam. Tak pernah nampak orang bukan Melayu membeli di sini. Tun Mahathir hampir setiap kali pulang, masih setia singgah dan berbelanja di pasar ini.

Justeru di kawasan utara negeri Kedah yang tak kurang 80 peratus pribumi Melayu, tidak ada premis perniagaan milik Melayu yang bagus. Pekan Melayu tinggal nama. Pengajarannya: Orang Melayu tak boleh berniaga meskipun di daerah Melayu.

Kiranya "Bandar Melayu" di Subang - di pinggir Kuala Lumpur - boleh hidup bagai dirancang, pastilah satu kejayaan yang luar biasa.

Tidakkah bunyinya romantis sekali! Siapakah pula yang akan jadi 'pemaju' dan 'kontraktor' bandar baharu untuk Melayu dan numiputera ini?

Yang Tinggal Hanya Nama

Tidak pernah ada pengumuman pembangunan "Bandar untuk usahawan dan komuniti Cina". Tetapi di mana saja tumbuh bandar dan kawasan perumahan dan perindustrian baru, jadilah pusat perniagaan dan pemastautin orang Cina. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak - asalnya milik Melayu - tinggal namanya saja "Melayu", penduduk dan peniaganya Cina. Adalah 'Rumah UMNO' lama yang agak usang di sana.

Bukit Bintang jadi milik YTL dan Vincent Tan! Pudu memang dah lama milik Cina. Siapa pemaju tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul? Bekas Penjara Pudu akan jadi milik siapa?

Tragedi seperti ini, sedang berlaku juga di bandar-bandar lain seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Seremban dan Johor Baharu yang kita merasa bangga kerana pesat membangun.

Betullah kesimpulan Azman; "Orang Melayu yang berada sedikit - untuk memiliki rumah yang lebih selesa - terpaksa berpindah jauh dari bandar. Yang tinggal di bandar hanya orang miskin di rumah pangsa yang dibina oleh kerajaan."

Bagaimana nanti enam tahun saja lagi (2020) apabila negara kita mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi? Akan jadikah kita seperti gurindam Emak Si Rendang dalam kisah dongeng Melayu? Mampukah bangsa Melayu menyelesaikan tragedi ini?

Banyaklah sudah diumumkan projek 'perumahan rakyat' besar-besaran di kawasan bandar, tetapi pribumi semakin membawa diri. Sementara masih ada sedikit masa lagi, berhentilah bermusuhan merebut kuasa dan kekayaan. Kembalikan bangsa Melayu ke dalam bandar - bersama rakyat keturunan Cina.

Sebenarnya perkembangan geografi penduduk seperti ini, tidak saja membawa bencana kepada penduduk pribumi, tetapi akhirnya kepada bangsa Malaysia seluruhnya. Inilah salah satu daripada matlamat serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang gagal kita capai dan kita sudah lupa. Sedangkan bencana sudah pun tiba!



Noor Azam noor.azam33@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140216
Tags: cina, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments