kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cerita bandar Melayu dan bandar Cina

EPISOD 2



Membina rumah untuk rakyat yang dikategorikan kerajaan sebagai "golongan miskin" di bandar mahupun di desa adalah kewajipan kerajaan yang dipilih rakyat. Di kawasan bandar semakin kritikal kerana rumah untuk golongan miskin tak bertambah.

Kerajaan sedar dan prihatin, jadi pelbagai rancangan perumahan diumumkan. Tetapi tidak nampak lagi dibina rumah untuk rakyat miskin seperti 'rumah pangsa' di Cheras, Bangsar, Sentul dan Kampung Kerinchi. Walaupun rumah ini sangat kecil, sekurang-kurang dapatlah rakyat miskin dan bekas setinggan tumpang menetap di bandar. Tidak pasti apakah rancangan kerajaan membina 'kondo rakyat' dua atau tiga bilik, sudah bermula atau tidak.

Kawasan Flat Jalan Pekeliling yang berpuluh tahun dihuni rakyat miskin sudah lama dirobohkan dan akan mengalami keadaan yang sama. Penduduk asalnya, majoriti Melayu, hilang entah ke mana.

Di Pulau Pinang, orang Melayu semakin pupus. Yang tinggal, majoriti pegawai kerajaan. Di Bagan, Seberang Perai, pun setelah pesat membangun, jadi bandar Cina. Pembeli Cina dari Pulau Pinang sudah sampai ke Kulim dan Sungai Petani.

Saya teringat sebuah pantun lama orang Tanjung (Penang):

Pulau Pinang bandar baharu

Captain Light menjadi raja

Kalau dikenang masa dulu

Jatuh mengalir si air mata.

Pantun biasanya menceritakan hubungan kasih sayang dan percintaan teruna-dara. Ada lagi senikata lagu Melayu asli yang berbunyi:

Kain yang buruk berikan kami.

Buat menyapu si air mata."

Bagaimanapun sekarang, orang bercinta tidak lagi menggunakan pantun. Tetapi pantun seperti ini sesuai untuk menggambarkan rintihan pribumi yang tersingkir dari kawasan bandar di tanah air sendiri. Namun saya tidak menyarankan agar kita terus merintih dan berpantun.

Perangai suka sangat menganugerah tanah kepada pemaju swasta seperti di Kampung Kerinchi (yang sudah pun hilang namanya) perlulah diberhentikan segera.

Datuk Harun Idris dan Peneroka Bandar

Kampung Kerinchi ini asalnya, adalah antara tempat setinggan Melayu yang bertawakal mengadu nasib di ibu kota. Mereka datang dari daerah yang miskin. Jadi buruh kilang dan bekerja apa saja. Mereka adalah 'peneroka bandar' generasi kedua yang berani dan berdikari. (Bukan macam peneroka Felda yang sentiasa dapat durian runtuh.) Peneroka Kuala Lumpur generasi pertama tidak ada lagi dan tanah milik mereka pun sudah jadi milik orang.

Peneroka baru ini bergotong-royong mendirikan 'rumah kilat' di mana ada tanah kosong - siap dibina dalam tempoh satu malam dan disapu cat hitam-kelabu. Kalau rumah nampak baru, pasti akan dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka cekal bersatu menghadapi penguat kuasa DBKL (Melayu). Maka untuk bertahan, mereka segera menubuhkan cawangan UMNO.

Penduduk 'rumah kilat dan rumah haram' dan keturunan mereka inilah yang menambah bilangan penduduk Melayu di KL dan di Lembah Klang.

Pada zaman Datuk Harun Idris jadi Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, ramailah orang dari luar Selangor diberi kemudahan , malah digalakkan berhijrah ke Lembah Klang. Salah satu tugas penting UMNO di KL waktu itu ialah mempertahankan "rumah kilat dan rumah haram".

Itulah sebabnya ramai orang kampung dari Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak di Selayang, Batu Cave, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Kerinchi dan di Jalan Klang Lama (sekarang Taman Medan). Sekarang, ketika orang Melayu terhalau dari KL ( kota raya kebanggaan, world class city) di mana pemimpin dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan?

Saya terkenangkan Cikgu Wahab Idris (yang menubuhkan UMNO Bahagian Batu), Zakaria Yahaya, Othman Mawan, Bakhtiar, Saidin Tambi, Hamzah Alang dan Rosden Yaakob dan ramai lagi yang sudah lupa namanya. Bagi yang sudah kembali, Al-Fatihah untuk mereka pembela "rumah kilat dan rumah haram".

Pada Hari Wilayah Persekutuan, kita lupa jasa besar Datuk Harun Idris. Generasi lama tak laku lagi. Meskipun semangat tak pernah mati.



DATUK NOOR AZAM ialah pemerhati sosio-politik. Utusan Malaysia Rencana 20140217
Tags: cina, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments