kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat: Analisis Mingguan

Cabaran Adenan


AWANG tidak melihat pemilihan Menteri Tugas-Tugas Khas, Adenan Satem, 70, menggantikan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu, sebagai satu kejutan.

Meskipun Adenan bukan dianggap calon utama pada kaca mata banyak pihak, beliau turut dalam senarai spekulasi sejak tahun lalu.

Adenan memang berpengalaman sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Taib percaya Adenan mampu memelihara kesatuan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang ditinggalkan kukuh.

Desas-desus mengaitkan Adenan sebagai pengganti sudah kedengaran apabila kemesraannya dengan Taib ketika mengerjakan umrah bersama di tanah suci Mekah baru-baru ini, menjadi perhatian.

Tentu ada sebab kuat untuk Taib memilih beliau. Lalu isu-isu yang dibangkitkan seperti status kesihatan Adenan kurang baik pada tahun lalu, faktor usia lanjut dan kurang pengaruh di akar umbi, bukan masalah besar kepada Taib.

Apakah ada perjanjian tertentu atau mungkin Adenan sekadar pemimpin peralihan sementara mahu memberi laluan kepada pemimpin lebih muda, adalah tidak pasti. Setakat ini, perkembangan di Sarawak cukup positif termasuk komitmen sokongan dua pemimpin kanan, Abang Johari Tun Openg dan Awang Tengah Ali Hassan. Kedua-duanya yang selama ini disebut-sebut sebagai calon utama Ketua Menteri memperlihatkan semangat muafakat walaupun ramai pengikut mereka kecewa.

Kini cabaran yang menanti Adenan cukup besar. Beliau perlu mencapai tanda aras tinggi kepimpinan yang telah dibuktikan oleh Taib dalam pengurusan kerajaan dan Barisan Nasional (BN) Sarawak sehingga negeri pelbagai etnik itu stabil dan makmur selama tiga dekad. BN Sarawak pula terus menyumbang kepada kekuatan BN peringkat nasional pada setiap kali pilihan raya umum.

Rekod pencapaian Taib memang sukar ditandingi dan sejarah akan merekodkan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak terhebat, walau apa pun tafsiran.

Kedua, Adenan harus bersedia menghadapi situasi luar jangkaan dalam mengurus kekecewaan kelompok tertentu dalam PBB, permasalahan parti komponen lain serta gerakan pembangkang yang sudah tentu mahu menangguk di air keroh semasa peralihan kuasa.

Yang lebih mahu dilihat nanti, apakah Adenan akan mencontohi salah satu kualiti kepimpinan yang ada pada Taib iaitu ketegasan. Daripada awal kepimpinannya lagi pada 1981, Taib bukan sahaja tegas malah kerap kali dilihat keras. Ini termasuk kepada orang yang dekat dengan beliau seperti Tun Abdul Rahman Yaakob, bekas Ketua Menteri yang juga bapa saudaranya, apa lagi kepada pesaing dan musuh politik. Ketegasan dan keberanian mengambil risiko terutama dalam situasi mencabar, membolehkan seseorang pemimpin ada cengkaman.

Dalam landskap politik yang lebih kompleks dan mencabar ini, mampukah Adenan berbuat demikian? Apa pun, Awang doakan yang terbaik untuk beliau. Tahniah dan selamat maju jaya.

Kaji hakim

SEKUMPULAN aktivis termasuk peguam mengambil inisiatif menjalankan kajian atas keghairahan pemimpin pembangkang menggunakan mahkamah untuk menekan media. Mereka menemui Awang baru-baru ini mendapatkan maklum balas.

Awang menyentuh beberapa isu antaranya Akta Fitnah di negara ini yang sudah lapuk. Malaysia mewarisi undang-undang berkaitan fitnah daripada United Kingdom (1952) tetapi banyak pembaharuan telah dibuat di negara berkenaan sedangkan Malaysia masih ketinggalan jauh.

Mahkamah di banyak negara tidak mudah melayan saman fitnah oleh figura awam terutama pemimpin politik ke atas media. Ini atas prinsip undang-undang fitnah memang meletakkan batasan kepada kebebasan bersuara tetapi tidak sampai ke tahap mengekang kebebasan itu apatah lagi mengorbankannya.

Dalam banyak kes seperti di Amerika Syarikat, Canada, Britain, Finland, Sweden, Denmark, Norway, Ireland, Italy, Perancis, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan India, media menikmati pembelaan dalam melapor dan menyiarkan sesuatu isu atau perihal yang melibatkan kepentingan awam.

Hakim Mahkamah Rayuan Kanada, Hakim Robert J. Sharpe pernah menegaskan bahawa undang-undang fitnah tidak wajar terus menerus mengorbankan kebebasan bersuara hanya untuk melindungi reputasi individu atau tokoh.

Di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, pihak perundangan dan orang politik meletakkan tanda aras tinggi dalam mengamalkan keterbukaan. Politikus yang menyaman media dianggap berkelas rendah dan menghina diri sendiri. Berlainan di Malaysia, mahkamah kita kelihatan mudah membenarkan pemimpin politik membuli media, itulah persepsi ramai. Maka janji parti pembangkang untuk mendokong keterbukaan dan kebebasan media, hanyalah sandiwara jijik.

Yang lebih menarik, kajian aktivis itu nanti adalah ke atas hakim-hakim tertentu meliputi keputusan yang dibuat, kecenderungan dan sikap termasuk semasa perbicaraan. Misalnya ada keputusan menolak rayuan tanpa menyatakan sebarang alasan. Kajian itu turut menyentuh soal sentimen anti kerajaan, elemen takutkan tekanan pembangkang dan kurangnya pemahaman berkaitan media. Difahamkan, kajian itu mahu dibukukan. Awang teruja untuk menanti penerbitannya, yang diharap menyaksikan pendedahan berani.

Di Barat dan banyak negara Asia, membahaskan kes mahkamah termasuk keputusan hakim secara terbuka adalah perkara biasa di bawah amalan demokrasi. Lagipun hakim di serata dunia, bukanlah maksum. Hakim juga terdedah kepada kekhilafan, memihak dan juga salah laku. Kerap berlaku di luar negara termasuk Indonesia, hakim dikritik hebat malah diheret ke mahkamah. Hakikatnya, hakim yang tidak bertanggungjawab tidak boleh terlepas begitu sahaja, biar pun selepas bersara. Seperti kata bijak pandai, integriti hakim dinilai sehingga saat kematian. Setidak-tidaknya, sejarah masih boleh menghukum mereka.

‘Ohhh rumah’

ADA tiga cerita tentang isu rumah pada minggu ini. Dua cukup menarik tetapi satu lagi mengganggu fikiran. Pertama, Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengumumkan program MyHome yang membolehkan pembeli yang layak diberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 bagi membeli sebuah rumah pada kos rendah.

Program yang akan dilancarkan pada 1 April ini adalah satu lagi inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Tidak silap Awang, tiada kerajaan negara lain yang berbuat demikian apatah lagi jika mengambil kira langkah-langkah lain berkaitan perumahan untuk rakyat. Syukur, yang baik harus diakui baik.

Kedua, berita gembira diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Khaled Nordin iaitu Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah kepada 20,000 penjawat awamnya.

Melalui skim itu, kadar faedah sebanyak empat peratus bagi pinjaman perumahan golongan tersebut dihapuskan berkuat kuasa 1 Mac ini.

Awang angkat topi kepada Khaled atas inovasi yang diambil bagi membantu kakitangan awam.

Bagaimanapun hati tersentuh dengan isu 20 pembeli rumah di Pulau Pinang yang mengadakan bantahan aman berhubung kenaikan luar biasa harga rumah oleh pemaju projek Centrio Evenue yang gagal ditangani oleh kerajaan negeri DAP Pulau Pinang. Rumah yang asalnya berharga RM72,500 melonjak sehingga RM172,000.

Sampaikan ada pembeli, Mohd. Fairul Illias, 33, melutut merayu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelesaikan isu tersebut. Kasihan. Banyak isu rakyat di negeri itu yang gagal diselesaikan sehingga terpaksa mengadakan demonstrasi, lebih-lebih lagi melutut. Insiden seperti itu belum pernah berlaku dalam sejarah membeli rumah di Malaysia, yang Awang harap ia menjadi renungan untuk kita semua.

Anwar dan Harakah

BEBERAPA kenalan menarik perhatian Awang terhadap muka depan lidah rasmi Pas iaitu Harakah yang diterbitkan pada 1995. Ia sekali lagi menjadi perhatian menerusi laman sosial media dan blog serta boleh diakses menerusi Google.

Tajuk utama yang terpapar Mengundi Anwar Ibarat Menempah Bilik Neraka. Ketika itu, Anwar Ibrahim ialah Timbalan Perdana Menteri dan merupakan Ahli Parlimen (BN) Permatang Pauh.

Setakat ini, pihak pengurusan Harakah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menarik balik paparan itu.

Beberapa pengendali blog memberikan pelbagai analisis. Antaranya pendirian Pas bercanggah sama sekali terhadap Anwar selepas beliau bersama pakatan pembangkang.

Awang tidak berhajat ulas panjang. Imbasan paparan itu sudah cukup memberi makna dan kesan yang kuat.



Utusan Malaysia Rencana 20140216
Tags: adenan, anwar, hakim, harakah, rumah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments