kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keperluan ujian saringan kesihatan mental

KELUARGA adalah asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat dan negara. Bagi mewujudkan sesebuah masyarakat dan negara yang baik dan sihat, unit kekeluargaan perlulah berada dalam keadaan yang sihat.



Kesihatan itu pula bukan hanya tertumpu kepada fizikal, tetapi juga mental dan jiwa, kestabilan emosi, kerohanian dan tingkahlaku. Terdapat beberapa perkara berkaitan dalam aspek pemantauan kesihatan mental ini yang perlu dilakukan bagi memastikan agar objektif penjagaan kesihatan mental, iaitu pemuliharaan kesihatan mental yang baik dan berkekalan, tercapai.

Pemantauan ialah satu proses yang melibatkan pemerhatian. Apa yang ingin diperhatikan ialah mengenalpasti sebarang perubahan tidak wajar atau kemerosotan tahap kesihatan mental yang berlaku dalam anggota keluarga agar perubahan itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sama ada individu, keluarga atau orang ramai.

Tanggungjawab dalam memantau sebarang perubahan yang berlaku itu sebenarnya terletak kepada setiap anggota masyarakat, iaitu terdiri daripada ahli keluarga, seperti suami isteri atau pasangan, adik-beradik, anak-anak dan lain-lain. Turut berperanan ialah rakan, jiran tetangga, para guru dan majikan.

Anggota masyarakat perlu memainkan peranan ini demi kesejahteraan masyarakat di sekeliling mereka. Proses pemantauan terhadap perubahan ini dilakukan bagi membantu dalam proses pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pihak berwajib. Sementara itu, proses pemeriksaan pula dilakukan sebagai elemen penting untuk memantau perubahan itu. Adalah tidak wajar apabila tiada pemantauan atau pemeriksaan dilakukan terhadap individu yang menunjukkan perubahan yang pelik dan meragukan terhadap status mental dan emosi mereka.

Sebarang perubahan yang meragukan dan yang menunjukkan kemerosotan tahap kesihatan mental perlu dirujuk kepada pihak berwajib agar dapat dilakukan pemeriksaan lanjut bagi menentukan status sebenar tahap kesihatan mental seseorang itu. Matlamat utama dilakukan pemeriksaan ialah bagi menilai sejauh mana keseriusan yang dialami dan seterusnya memastikan apakah risiko yang bakal mengundang akibat daripada perubahan itu.

Persoalannya ialah apakah yang ingin diuji atau diukur itu dan sejauh manakah ujian itu mampu menentukan status mental atau emosi seseorang serta menilai apakah risiko yang bakal dialami nanti?

Persoalan lain yang timbul adakah individu yang dinilai itu benar-benar memberikan kerjasama dan respons yang jujur dan menepati matlamat dilakukan penilaian? Walau apa pun keadaannya, adalah dituntut agar penilaian yang dilakukan itu memiliki tahap kesahihan dan ketepatan yang tinggi bagi menghasilkan respons dan keputusan yang tepat dan dipercayai.

Timbul juga persoalan lain berkaitan pemeriksaan kesihatan mental ini, iaitu siapakah kumpulan sasaran yang perlu menjalani, adakah ia terdiri daripada individu yang diragui status kewarasannya semata-mata, atau termasuk juga kepada sesiapa sahaja yang secara sukarela ingin mengetahui status dan risiko kesihatan mereka berkaitan kestabilan mental dan emosi.

Namun pada hakikatnya, suasana semasa dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini berkaitan ujian kesihatan mental dan emosi khususnya, menyaksikan bahawa bukanlah menjadi sesuatu tuntutan kepada orang awam itu untuk menjalani ujian kesihatan mental, apatah lagi menjalaninya secara berkala atau tahunan.

Keperluan ini tidak wujud kerana masyarakat belum lagi dididik, atau mempunyai pengetahuan berkaitan keperluan untuk menjaga agar tahap mental dan emosi mereka sentiasa dalam keadaan stabil.

Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, timbul beberapa saranan dan cadangan daripada beberapa agensi kerajaan untuk mengadakan ujian saringan kesihatan mental bagi pasangan yang bakal berkahwin, sama seperti ujian yang dikenakan kepada bakal pengantin dalam ujian saringan terhadap status jangkitan HIV dan lain-lain.

Saranan ini perlu dilihat dari sudut yang positif kerana ia akan membawa banyak kebaikan, seperti hak untuk mendapatkan rawatan berkaitan yang lebih lanjut jika ada isu. Tetapi apa yang turut sama penting ialah ujian itu bukan hanya tertumpu kepada bakal pengantin, tetapi perlu diperluaskan melibatkan pasangan yang telah berkahwin serta kepada seluruh anggota keluarga.

Selain itu, ada juga saranan agar ujian saringan dilakukan kepada bakal guru. Ia juga baik kerana mampu mengenalpasti pelbagai latarbelakang dalam diri dan personaliti para guru yang sebenarnya akan turut mempengaruhi pemikiran dan emosi mereka serta akhirnya menjejaskan proses pembelajaran dalam kalangan anak-anak murid mereka. Walaupun kesan daripada masalah itu bukanlah sampai ke tahap tindakan undang-undang di negara ini, tetapi ia ada kesan perundangan jika mereka ini berada di luar negara dan jika ia berlaku, semuanya sudah terlambat.



PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).Utusan Malaysia Rencana 20140217
Tags: guru, health, mental
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments