kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masih ada PMR?

Kesediaan kerajaan untuk mengkaji secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pasti disambut penuh kelegaan oleh lebih 400,000 guru di seluruh negara.

Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini bahawa Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan mengenai dua perkara, iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak, pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian dalam masa terdekat, menunjukkan Muhyiddin dapat memahami permasalahan yang dihadapi guru.

Pelbagai keluhan didengar, dicoret dan disebarluaskan melalui media sosial mengenai kelemahan ketara PBS, khususnya kerenah sistem pelayan yang tidak dapat dicapai dengan baik, sekali gus menyebabkan guru terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi semata-mata mahu merekodkan prestasi dan pencapaian pelajar. Jika berjaya pun, pasti akan mengalami masalah tersangkut yang tidak berkesudahan.

Prihatin keluhan guru

Kita percaya pengalaman Muhyiddin ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8 (1), Putrajaya, dengan melihat sendiri masalah yang diketengahkan dan mendengar sendiri daripada guru mengenai kelemahan sistem pelayan untuk melaksanakan PBS dapat difahami beliau. Timbul persoalan, kenapa pegawai kanan dari peringkat pengarah dan ketua pengarah di kementerian terbabit tidak dapat memahami keluhan guru sehingga terpaksa menteri atau Timbalan Perdana Menteri turun padang untuk menyelesaikannya.

PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan diperkenalkan di sekolah menengah pada 2012. Ini bermakna pada 2016, murid sekolah rendah akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibuat penambahbaikan dan pada 2014 pula, Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

Sokong kaji semula PBS

Cukuplah pelbagai kerja perkeranian dibebankan kepada guru, yang suatu ketika dulu dibuat oleh kerani atau pembantu pejabat. Sekurang-kurangnya pengumuman Muhyiddin itu ibarat terlepasnya beban berat di pundak setiap guru yang memang mengharapkan PBS dikaji semula, malah sampai ke tahap mahu ia dibatalkan kerana ia amat membebankan guru.

Tidak ada gunanya kita mempunyai sistem atau perkakasan terbaik, sedangkan perisian untuk melaksanakan kerja itu tidak mampu menampung kehendak pekerjaan. Inilah senario sebenar dihadapi PBS ketika ini.

Sebagai ibu bapa, kita pasti tertanya-tanya mengenai masa depan PMR dan sewajarnya keputusan mengenai mahu melaksanakan atau tidak PBS dibuat seberapa segera. Di sinilah rasionalnya rumusan Muhyiddin: “Kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.”

Hakikatnya, pelaksanaan PBS menjadi tanggungjawab semua peringkat di jabatan dan kementerian, bukan guru sahaja. Budaya untuk menguji keberkesanan ‘sistem’ sudah ketinggalan zaman.


Azhar Abu Samah Berita Harian Rencana 17/02/2014
Tags: pbs, pentaksiran, pmr, sba
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments