Malah, kedudukan Malaysia tahun ini sering dibandingkan dengan Myanmar yang diletakkan pada tangga 145. Pelbagai pihak negara ini telah mengambil kesempatan menyatakan bahawa Malaysia kurang demokratik daripada Myammar.
Sebenarnya, mereka sendiri patut malu kerana membandingkan dengan sebuah negara seperti Myanmar, walaupun pada mata dunia, negara itu nampaknya sedang kencang menjalankan reformasi politik dan ekonomi.
Apakah sebenarnya Myanmar mengamalkan demokrasi, dasar keterbukaan dan menghormati hak asasi manusia? Mengapa Myanmar diberi hak keistimewaan dari segi bantuan dan pelaburan oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)?
Dasar dan tindakan negara fasis itu terhadap kaum Islam Rohingya sudah cukup memaklumkan kita dan dunia kepada sebuah rejim yang mengamalkan pembersihan etnik.
Apakah dunia bebas demokrasi buta mengenai genocide yang dilakukan, terutama di wilayah Rakhine, di sebelah barat negara itu? Dan apa yang berlaku ini amat dekat dengan negara kita - "lebih kurang 1,500 kilometer dan kira-kira dua jam 13 minit masa penerbangan" - Kata Zaini Hassan dalam Cuit (5 Februari 2014). "Ia terlalu hampir dengan negara kita." Terlalu dekat berbanding dengan negara Palestin, Bosnia, Sudan, Syria atau Afrika Tengah.
Apakah demokrasi dan kebebasan akhbar lebih penting daripada pembunuhan dan penyembelihan kaum? Dalam konteks ini, dunia luar, negara Islam, ASEAN dan pelbagai kumpulan badan bukan kerajaan negara ini yang kononnya memperjuangkan demokrasi dan hak kebebasan manusia perlu menimbang kembali nilai kita terhadap kemanusiaan.
ASEAN tidak boleh berdiam diri dan tidak mengambil pendirian tegas terhadap penyembelihan etnik kaum Rohingya. Prinsip tidak campur tangan negara lain hendaklah disemak semula. Apakah prinsip itu tidak ada pengecualian, atau mesti kekal? Juga Barat sebagai pejuang hak asasi manusia dan demokrasi mesti mengecualikan dirinya daripada bersuara menentang kezaliman dunia, jika ia buta kepada penyembelihan kaum minoriti di Myanmar.
Malaysia dan negara ASEAN lain tidak memulau Sukan SEA yang diadakan di Myanmar baru-baru ini. Malah Myanmar diraikan. Ia menjadi tuan rumah pusingan pertama mesyuarat sebagai pengerusi ASEAN Januari lalu.
Isu Rohingya tidak dibincangkan. Kenyataan rasmi Myanmar menyatakan bahawa "ia adalah hal ehwal dalaman dan kita tidak akan membincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, walaupun jika ada ahli yang ingin berbuat demikian."
Apakah cara ASEAN boleh diguna pakai dalam keadaan-keadaan penyembelihan kaum. Dari segi kemanusiaan, keadaan itu tidak ada bezanya dengan killing fields Khmer Rouge di Kemboja pada 1970-an.
Ironisnya, tema Pengerusi ASEAN 2014 ialah Bergerak ke hadapan dalam Kesatuan Ke Arah Masyarakat yang Makmur dan Sejahtera. Keutamaan yang akan diberi oleh Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN ialah mentransformasikan ASEAN sebagai sebuah organisasi yang people-centred berhubung dengan masyarakat sivil dan memudahkan penglibatan belia, wanita, ahli Parlimen dan media dalam aktiviti ASEAN.
Namun, dunia dapat melihat bagaimana Myanmar bertindak bukan untuk mengatasi, tetapi menyumbang kepada keganasan terhadap kaum Rohingya, seolah-olah kerajaan Myanmar menjalin konspirasi yang bersifat fasis terhadap kaum minoriti itu yang dianggap bukan warganegaranya dan rakyatnya.
Kaum Rohingya ialah manusia yang paling dizalimi di dunia. Mereka telah berada dalam wilayah geografi yang akhirnya termuat dalam sempadan negara Burma berkurun lamanya. Pada 1982, mereka dinafikan status warganegara dan secara sistematik dikeluarkan dari masyarakat negara Burma. Terdapat kira-kira 800,000 kaum Rohingya di Myanmar. Mereka dianggap sebagai orang asing tanpa negara oleh lebih kurang 60 juta lagi rakyat beragama Buddha negara itu.
Setakat ini lebih 250,000 orang Rohingya dipaksa lari dari rumah mereka. Laporan media menyatakan ratusan telah dibunuh dengan kejam. Mungkin juga mencecah ribuan semasa saya menulis rencana ini. Kita tidak mungkin mengetahui jumlah sebenar. Apakah tidak ada usaha mendakwa pemimpin Myanmar?
Kaum Rohingya dilayan seperti binatang, kata seorang aktivis politik Rohingya, yang tidak mahu identitinya didedahkan atas sebab-sebab keselamatan. Di wilayah Rakhine, kaum Rohingya tidak diberi perlindungan kerana tidak wujud mekanisme pentadbiran, perundangan mahupun moral yang memperuntukkannya. Myanmar adalah penceroboh dan pemangsa kepada sekumpulan manusia yang ditakdirkan bermastautin di wilayah negara itu sendiri.
Pada masa sama, kita lihat berjuta billion dilaburkan di Myanmar. Selain infrastruktur serta kemudahan sosial seperti pelajaran dan kesihatan, Myanmar juga bakal menikmati kebanjiran pelancong, apatah lagi negara itu akan mempengerusikan ASEAN Tourism Forum tahun ini. Ini seolah-olah menyambut kehadiran Myanmar di rantau ASEAN dan di dunia luar.
Jika Myanmar mahu dianggap sebagai sebuah negara bertamadun, ia mesti mengatasi isu tersebut.
Baru-baru ini Thailand menghantar pulang kira-kira 1,300 pelarian etnik Islam Rohingya kembali ke Myanmar. Tindakan itu mengabaikan gesaan kumpulan hak asasi manusia yang melarang kumpulan minoriti itu dihantar pulang ke negara asal yang melakukan diskriminasi ke atas mereka.
Apakah dunia tidak boleh memindahkan semua penduduk etnik Rohingya dari Myanmar? Apakah negara-negara Islam dan ASEAN tidak boleh mengatur langkah ke arah itu dan menempatkan mereka di negara-negara ketiga? Jika pekerja asing di Malaysia dilaporkan mencecah dua juta orang, tidak salah jika Malaysia mengambil semua 800,000 etnik Rohingya dan menempatkan mereka di negara ini atas dasar kemanusiaan - jika ini penyelesaian diplomatik dengan Myanmar ?
Kita jangan mengharapkan rejim Thein Sein tunduk kepada gesaan-gesaan luar mengenai minoriti Rohingya.
Kita jangan mengharapkan Aung San Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel Keamanan yang diraikan dunia sebagai ikon demokrasi membantu etnik Rohingya. Beliau telah gagal. Sikap beliau tidak berbeza dengan kerajaan Myanmar.
Walaupun Suu Kyi menjadi Presiden Myanmar (ini tidak mungkin buat masa terdekat kerana Perlembagaan Myanmar melarang sesiapa yang tidak mempunyai suami atau isteri atau anak warganegara asing, menjadi presiden) namun semua ini tidak mempunyai makna apa-apa.
Kerajaan Myanmar tidak menganggap Rohingya sebagai salah satu daripada 135 kumpulan etnik di negara itu. Pada masa sama, Bangladesh menafikan kewarganegaraan untuk mereka.
Apakah demokrasi dan kebebasan bersuara satu drama untuk menindas, menyembelih dan menghapuskan suara kemanusiaan yang dekat dengan kita? Ini bukan hanya keganasan anti-Islam yang dilakukan oleh sebuah negara Buddhist, tetapi dunia mesti melihatnya sebagai usaha tersusun penghapusan etnik dan manusia.
Tak perlu kita bercerita mengenai kedudukan tangga kebebasan akhbar di Myanmar berbanding dengan Malaysia. Tak perlu bersusah-payah menyuarakan cebisan-cebisan pembebasan ikon demokrasi dari tahanan dan suara-suara demokrasi oleh media di negara itu.
Sekurang-kurangnya di Malaysia, kritikan terhadap kerajaan dan pemikiran arus perdana dibenarkan melalui pelbagai media. Kebebasan bersuara, walaupun tidak sempurna, tetap wujud. Semua pihak tidak kira kaum, etnik atau ideologi, boleh bersuara.
Tidak seperti di Myanmar, sekumpulan etnik minoriti seperti Rohingya tidak pernah dibenarkan bersuara. Etnik mereka tidak diiktiraf. Identiti mereka dinafikan kerana suara mereka tidak wujud. Jasad mereka dijadikan mangsa.
Mengapa kita perlu pedulikan Indeks Kebebasan Akhbar jika ia satu penipuan besar kepada hakikat kemanusiaan?
A Murad Merican ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar, Perak. Utusan Malaysia Rencana 20140218