kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kebebasan SPRM diiktiraf PBB

ANTARA perkataan yang diturunkan dalam laporan penilaian setebal lebih 500 halaman, yang dikeluarkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), ialah "komitmen Malaysia" yang wajar dihargai dalam usaha memerangi rasuah.

Laporan penilaian ini dikeluarkan pertengahan tahun lalu dan dilancarkan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Kuala Lumpur 7 Februari lalu.

Ketika berucap melancarkan lapiran itu, yang dikenali sebagai Laporan Hasil Penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan (IRG) Ke atas Pematuhan Terhadap Bab III dan IV Konvensyen PBB Pencegahan Rasuah (UNCAC), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, 23 pengiktirafan ke atas kejayaan dan amalan baik Malaysia ini adalah "yang terbanyak diterima oleh mana-mana negara yang dinilai."

"Meskipun mekanisme penilaian UNCAC tidak meletakkan ranking di kalangan negara ahli dalam membuat perbandingan dari segi (keseriusan dan kesediaan) menerima pakai peruntukan-peruntukan UNCAC, Laporan Penilaian Negara (yang disediakan) ini menjadi satu mekanisme penilaian serantau dan antarabangsa seperti Indeks Persepsi Rasuah Transparency International," kata beliau yang ketika penilaian dibuat merupakan Presiden TI-Malaysia.

Kata beliau, kesediaan Malaysia menerbitkan laporan penilaian ini menunjukkan negara memperlihatkan ketelusan dan tiada apa-apa untuk diselindung.

"Justeru, saya menggesa orang ramai dan masyarakat antarabangsa akses kepada laporan penuh dan memberi komen dan cadangan," kata beliau yang mengajak sokongan pelbagai ke atas usaha memerangi rasuah yang dilaksanakan.

UNCAC adalah konvensyen antarabangsa di bawah UNODC yang mewajibkan negara-negara ahli melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah secara luas dan terperinci. Konvensyen ini sah di sisi undang-undang dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. UNCAC telah ditandatangani oleh Malaysia pada 9 Disember 2003 dan diratifikasikan pada 24 September 2008. UNCAC mengandungi lapan Bab dan 71 Artikel yang menyentuh mengenai pencegahan, penjenayahan dan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama antarabangsa, pengesanan aset, bantuan teknikal dan pertukaran maklumat serta mekanisme pelaksanaan konvensyen.

Penilaian terhadap pematuhan UNCAC dibuat mengikut pusingan iaitu setiap lima tahun sekali dengan setiap pusingan difokuskan kepada bab-bab tertentu dalam Konvensyen. Penilaian pusingan pertama dilaksanakan pada tahun 2010-2014 dengan fokus terhadap pematuhan Bab III mengenai Penjenayahan dan Penguatkuasaan Undang-Undang serta Bab IV mengenai Kerjasama Antarabangsa.

Malaysia merupakan salah satu negara yang berjaya menyelesaikan proses penilaian UNCAC dalam masa setahun seperti mana yang ditetapkan oleh IRG.

Penasihat Antirasuah Rantau Asia UNODC, Shervin Majlessi berkata, "Malaysia antara negara yang berjaya menyelesaikan proses penilaian UNCAC dalam tempoh setahun seperti yang ditetapkan dalam laporan hasil penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan."

Jelas Majlessi, Malaysia perlu dijadikan contoh kepada negara anggota lain dalam memeterai perjanjian dua hala dan pelbagai hala dalam mewujudkan kerjasama organisasi antarabangsa dan serantau.

"Peranan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melatih dan menerima pegawai sandaran dari agensi pencegahan rasuah luar telah memberikan sumbangan terbesar dalam menyumbang pendapat yang bermanfaat.

"Program pertukaran kepakaran, penempatan pegawai SPRM di Interpol, pewujudan Cawangan Mutual Legal Assistance di SPRM juga mampu membuat perubahan yang signifikan kepada masa depan ekonomi yang sihat. Ini bermakna perubahan perlu dilakukan dengan kerjasama semua," katanya.

Antara kejayaan dan amalan baik diiktiraf UNODC:

l Kewujudan Seksyen 25 Akta SPRM iaitu peruntukan berkenaan kewajipan melapor transaksi rasuah atau cubaan rasuah. Kegagalan pematuhan merupakan satu kesalahan jenayah

l Tiada had dalam undang-undang bagi kesalahan rasuah dibuat pendakwaan

l Peranan Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau SPRM, boleh menyemak semula kes tertangguh atau kes-kes yang Timbalan Pendakwa Raya putuskan tidak boleh didakwa, dan PPO boleh mengemukakan cadangan tanpa mengganggu budi bicara Timbalan Pendakwa Raya

l Penubuhan 14 mahkamah khas rasuah manakala hakim perlu mendengar kes dalam masa setahun

l Kewujudan SPRM, MACA dan mahkamah khas antirasuah merupakan amalan contoh. Meskipun kebanyakan institusi ini masih baru, tetapi sudah mula memberi sumbangan bagi memperbaiki proses siasatan dan pendakwaan kes rasuah

l Kewujudan kerjasama antara agensi di pelbagai peringkat. Sebagai contoh, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan Bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang bertanggungjawab bagi membangunkan dasar dan pelan tindakan pencegahan penggubahan wang haram

l Pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dengan kerjasama sektor swasta. Banyak syarikat besar melantik pegawai integriti dan mengamalkan dasar tidak beri hadiah (khususnya semasa perayaan)

l Malaysia memeterai perjanjian dua hala dan pelbagai hala, dan mewujudkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan serantau

l Pihak berkuasa Malaysia mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyedarkan semua pemegang taruh relevan, terutama pegawai-pegawai kehakiman mengenai undang-undang, prosedur dan tempoh masa yang perlu dipatuhi

l Amalan Malaysia yang fleksibel dalam aspek 'dual criminality' (jenayah dua hala) membolehkan bantuan yang menyeluruh

l Kerajaan mengambil langkah-langkah perlu untuk mempercepatkan prosedur ekstradisi dan memudahkan keperluan keterangan

l Malaysia diiktiraf mempunyai tenaga kerja mahir dan ada kepakaran dan aktif bekerjasama dengan agensi penguat kuasa rasuah asing. Program latihan, bina kapasiti dan pertukaran yang baik termasuk yang disediakan menerusi MACA merupakan antara amalan-amalan baik peringkat antarabangsa bagi pertukaran maklumat, kerjasama dan pencegahan rasuah.

l Agensi-agensi penguat kuasa undang-undang Malaysia khususnya SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Unit Perisikan Kewangan Bank Negara menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha pencegahan rasuah serta kerjasama di peringkat antarabangsa

l Pendekatan siasatan bersama dan kumpulan kerja operasi antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah Brunei Darussalam merupakan contoh kerjasama agensi penguat kuasa dengan negara lain di peringkat dasar dan operasi

l Penggunaan kaedah siasatan khas secara meluas dalam mengendalikan kes-kes rasuah di peringkat domestik dan antarabangsa dilihat sebagai contoh yang baik.

"Apa yang penting ialah, (pasukan) penilai juga mengetengahkan beberapa kejayaan dan amalan baik dalam aspek di mana undang-undang Malaysia merentasi keperluan perundangan Konvensyen (UNCAC)," kata beliau merujuk kepada kewujudan peruntukan Akta SPRM dan "pencapaian luar biasa" Malaysia khususnya SPRM dalam mematuhi UNCAC.

(Fokus esok mengenai syor dan saranan UNODC)



DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik (SPRM) Utusan Malaysia Rencana 20140217
Tags: corruption, pbb, rasuah, sprm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments