kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina ~ PRK Kajang, Anwar, Dong Zong

KONFLIK BN LETAK CALON PRK KAJANG

AKHBAR China Press bertarikh 12 Februari 2014 menyiarkan artikel mengenai konflik Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon terbaik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Artikel bertajuk ‘Pembesar yang memeningkan kepala’ yang ditulis Tee Ko Bee disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15. PRK Kajang adalah satu risiko, namun memberi peluang kepada BN khususnya UMNO untuk menawan semula kawasan itu kerana ia mempunyai lebih banyak peluang memandangkan lebih 40 peratus pengundi adalah Melayu.

Pada ketika isu PRK Kajang hangat diperkatakan berkaitan konflik BN itu, ia membuka ruang kepada pelbagai badan dan agensi untuk mengemukakan pelbagai permintaan berdasarkan kepentingan masing-masing.

Contohnya, Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) antara pihak yang mengambil kesempatan daripada suasana kehangatan menjelang PRK Kajang.

Dong Zong dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran pertubuhan itu yang turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini berharap beberapa perkara dan masalah isu pendidikan Cina yang tertangguh diselesaikan. Tuntutan disuarakan Presiden Dong Zong, Dr. Yap Sin Tian pada majlis itu dipercayai sebagai syarat kepada MCA mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan mereka dalam PRK Kajang kelak.

Masalahnya adakah pemimpin ini bersetuju, dan memenuhi permintaan anda? Adakah calon ini akan dapat sokongan undi kelak? Jika benar dapat sokongan pastinya dianggap mindanya terlalu cetek; sebaliknya jika tidak menang kenapa pula mahu menolong kamu (Dong Zong)?

Selama kita hidup sehingga ke hari ini, adakah kita masih tidak mengenal calon bertanding, semasa mereka dalam berkempen sering mengeluarkan kata-kata mementing rakyat dan tunduk sujud menghormati rakyat? Sebaliknya jika selama ini permintaan tidak dikotakan, adakah dengan PRK dapat menyelesaikan semua masalah itu? Adakah sebelum pilihan raya mereka tiada kekuatan, dan selepas pilihan raya mereka sudah terlalu kuat?

Sedangkan PRK kali ini adalah penentuan penting kepada PKR.

Dari segi kekuatan MCA pula, pencabar mereka seperti langsung tidak menggugat MCA, walaupun tindakan PKR menyebabkan ramai orang menyangkal PKR, tetapi apa yang dihadapi oleh MCA pastinya lebih bisa daripada tercucuk duri sembilu. Anwar diakui memang mempunyai kekuatan dan kewibawaan luar biasa dan dijangka mudah memperoleh kemenangan, manakala MCA pula ibarat patung Buddha yang baru sahaja keluar naik dari selut lumpur.

Merujuk prestasi MCA sebelum ini, walaupun semua masalah dapat ditelan parti itu, pastinya MCA masih belum dapat menampung kecederaan lama iaitu kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dijangkakan kerusi DUN Kajang akan dimenangi pihak lawan walau hakikat calon diturunkan MCA seorang yang bekerja keras.

DEDAH SIAPA ANWAR

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 13 Februari 2014 menyiarkan artikel mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah platform terbaik untuk membongkar tembelang Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang kononnya hendak menjadi hero dan membela nasib rakyat Selangor.

Artikel yang ditulis pengkritik semasa, Loh Han Chew bertajuk ‘Orang-orang Kajang sila tanya Anwar’ disiarkan dalam Ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C9. Sejak kerusi DUN Kajang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Lee Chin Cheh, ramai tidak setuju kerana PRK itu disengajakan.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Ambiga terpaksa ‘menelan’ kata-katanya apabila membuat pusingan U ‘merestui’ PRK Kajang kerana melihat peluang dan kesempatan untuk rakyat menilai semula prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau dibidas kerana mahu menilai Kerajaan Pusat memerintah selama 300 hari sedangkan hal sama perlu dilakukan ke atas tiga buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, justeru barulah dikira adil.

Sementara itu, Dong Zong sepertimana biasa akan mengambil kesempatan pada setiap kali pilihan raya untuk mengemukakan beberapa tuntutan yang dibuat kepada Anwar dan kerajaan Pusat.

Kepada Anwar, Dong Zong meminta kerajaan negeri Selangor di bawah PKR meluluskan beberapa permohonan termasuk membina sekolah menengah swasta Cina di atas tanah 2.02 hektar dan tapak tanah Kolej New Century.

Ramai melihat Dong Zong seolah-olah mahu mengaut ‘keuntungan’ kiri dan kanan, namun peluang keemasan itu perlu dibuat dalam PRK.

Rakyat perlu tahu, ketika Anwar menjadi Menteri Pelajaran dan Menteri Kewangan, peruntukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) hanya mendapat peratusan kecil berbanding peruntukan kepada Sekolah Kebangsaan.

Pada 1987, beliau hanya memberi peruntukan sebanyak RM10 kepada SJKC! Bukankah beliau telah memandang rendah dan menghina SJKC?

Menerusi Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, Anwar melantik 100 guru besar bukan berpendidikan Mandarin di SJKC dan ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan Persatuan Pendidikan Cina seperti Dong Jiau Zong, Kua Kia Soong dan lain-lain.

Beliau bukan sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa SJKC tidak perlu kekalkan jawatan Majlis Pengelola Sekolah-Sekolah Cina pada 22 Mei 1990, malah pernah menuduh Dong Zong adalah pertubuhan dan kumpulan subversif sekitar 1991.

Anwar juga sering menggunakan maklumat palsu menekan SJKC dengan mengatakan jumlah penduduk kaum Cina di Wangsa Maju hanya dua peratus dan tidak ada keperluan membina SJKC di kawasan berkenaan.

Hakikatnya, penduduk Melayu dan Cina di kawasan Wangsa Maju masing-masing mewakili 40 peratus, tetapi empat buah Sekolah Rendah Kebangsaan telah dibina, manakala tidak ada sebuah SJKC dibenarkan wujud di kawasan itu.

Anwar tetap ego dengan keputusannya, biarpun Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghaffar Baba mengizinkan pembinaan SJKC di Wangsa Maju.

Ironinya setelah menjadi Penasihat PKR, Anwar memberi alasan tidak masuk akal bagi merasionalkan tindakannya sebelum ini menghantar guru-guru tidak tahu berbahasa Mandarin ke SJKC.

Katanya, guru-guru terbabit dihantar bagi membantu guru-guru besar SJKC membuat surat-surat rasmi kepada jabatan dan kementerian Pelajaran, kerana ramai guru guru besar di SJKC tidak faham berbahasa Melayu.

Ini benar-benar satu penipuan besar, jika tidak tahu menulis surat dan tidak tahu berbahasa Melayu bagaimana pula boleh layak menjadi guru besar? Sedangkan kelayakan untuk jadi guru biasa pun perlu kepujian bahasa Melayu!

Pada 11 Januari 1986, Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan keras mengumumkan, polisi pendidikan negara mestilah mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran.

Pada Jun 1997, beliau juga menggunakan kedudukannya sebagai TPM, mengatasi keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Menteri Pelajaran, mengarahkan semua IPT perlu memasukkan kursus Tamadun Islam dan semua pelajar diwajibkan mengambil subjek itu. Dengan jelas Anwar telah menghina orang bukan Islam.

Atas perkara dan masalah di atas diharap Dong Zong tanya kembali kepada Anwar di Kajang, kenapa pada ketika itu beliau berbuat demikian, dengan itu selepas ini apa pula pendirian dan tindakan beliau?



Utusan Malaysia Rencana 20140220
Tags: anwar, dong zong, prk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments