kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penyakit mental perlu ditangani secara serius

SEJAK kebelakangan ini, negara digemparkan dengan beberapa kejadian berkaitan masalah kesihatan mental.

Insiden terbaru yang berlaku pada 30 Januari lalu mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dikelar bapa sendiri manakala dua lagi anak perempuannya cedera parah.

Bapanya seorang penganggur sejak tahun lalu dikatakan mempunyai simptom-simptom masalah kesihatan mental dan sering kelihatan murung.

Dalam kejadian lain pula yang berlaku di Ipoh, Perak menyaksikan dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan tingkatan satu diserang dan ditumbuk oleh guru mereka yang tidak dapat menahan emosi apabila mendapati pelajar-pelajar terbabit tidak membawa komputer riba ke sekolah.

Akibat tindakan itu, pelajar berkenaan mengalami trauma untuk datang ke sekolah. Peristiwa seumpama ini bukan pertama yang dilakukan oleh guru terbabit kerana sebelum ini, guru tersebut didakwa telah menumbuk seorang pelajar lain di sekolah itu.

Setiap kejadian yang berlaku menunjukkan bahawa mereka boleh dikatakan mempunyai simptom-simptom masalah kesihatan mental yang serius yang berpunca di tempat kerja, rumah serta tekanan perasaan atau stress.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah kesihatan mental ini tidak mampu untuk mengawal emosi dan berfikir secara positif serta akan bertindak secara melulu yang akhirnya mengakibatkan kemalangan sama ada kepada diri sendiri atau orang sekitar.

Maka isu kesihatan mental di tempat kerja, harus diberikan perhatian berat kerana produktiviti pekerja di dalam sesuatu organisasi bergantung kepada tahap kesihatan mental mereka.

Mempromosikan kesihatan mental di tempat kerja perlu meliputi program yang bertujuan mewujudkan tenaga kerja yang sihat secara mental dan juga fizikal supaya mereka akan menjadi lebih positif dan produktif.

Setiap hari, dilaporkan terdapat peningkatan kepada jumlah pesakit kesihatan mental yang melibatkan golongan eksekutif dan pekerja. Simptom-simptom yang mungkin dialami adalah seperti keresahan, kemurungan dan tekanan mental di tempat kerja serta kehidupan seharian.

Perkara yang lebih membimbangkan apabila ada di antara mereka yang terpaksa mengambil ubat-ubatan seperti ekstasi dan pil psikotropik bagi meringankan masalah kemurungan dan tekanan perasaan mereka.

Kesan dan akibat daripada masalah kesihatan mental terhadap golongan eksekutif dan pekerja ini adalah besar dan secara tidak langsung membabitkan keluarga, rakan sekerja, organisasi serta masyarakat secara keseluruhannya dan perkara seumpama ini perlu ditangani.

Bagi organisasi yang mempunyai pekerja yang menderita akibat penyakit mental, pihak majikan harus membantu dalam bentuk menyediakan kaunseling dan rawatan.

Pihak majikan juga perlu menangani isu ini kerana pengabaian masalah kesihatan mental dan faktor psikososial di tempat kerja bukan sahaja akan merugikan pekerja terbabit tetapi juga akan memberi kesan secara langsung ke atas produktiviti, kecekapan dan pengeluaran perusahaan.

Prestasi pekerja yang tidak memuaskan, kekerapan penyakit, ketidakhadiran, kemalangan atau kecederaan akan timbul kerana masalah kesihatan mental pekerja.

Tiada tempat kerja yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak seharusnya diendahkan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, adalah tepat pada masanya bagi pihak kerajaan memperkenalkan garis panduan yang memperkenalkan penjagaan kesihatan mental bagi membolehkan pelaksanaan langkah-langkah asas yang perlu digunakan oleh majikan di tempat kerja, bersesuaian dengan keadaan praktikal sesebuah perusahaan.

Dalam mempromosikan langkah-langkah penjagaan kesihatan mental, pihak majikan harus mempertimbangkan keadaan spesifik masalah kesihatan mental, menjaga hak keperibadian setiap pekerja, hubungan dengan pengurusan sumber manusia dan masalah-masalah yang timbul daripada masalah berkaitan keluarga atau cara hidup individu.

Majikan perlu menggunakan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi mengkaji dan mengenalpasti secara terperinci situasi sebenar dan masalah berkaitan dengan promosi penjagaan kesihatan mental di tempat kerja serta merumuskan suatu program induk yang memfokuskan perkara-perkara seperti berikut:

a) Mengenalpasti masalah di tempat kerja berkaitan dengan kesihatan mental yang kurang baik dan perlu ditangani;

b) Memperolehi sumber-sumber yang perlu bagi membangunkan program penjagaan kesihatan mental;

c) Langkah-langkah di dalam melindungi hak keperibadian pekerja;

d) Membaiki persekitaran tempat kerja;

e) Langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk mempromosi kesihatan mental yang melibatkan pekerja.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Utusan Malaysia Rencana 20140220

Tags: health
Subscribe

  • Letters to MalaysiaKini

    Accept others as they are Nit-picking is the surest way to ruin relationships so focusing on people's positive qualities will…

  • Surat Untuk Solidaritas

    Ahli Profesional Mana Yang Anda Harus Jumpa? Ahli Profesional Mana Yang Anda Harus Jumpa? Mencari ahli profesional kesihatan mental…

  • Surat kepada MalaysiaKini

    ULASAN | Iktibar dari kudeta Apa maksud rampasan kuasa di Myanmar. Azizi Ahmad⋅ ULASAN | Iktibar dari kudeta…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments