kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Permuafakatan atau konsensus nasional

HASRAT parti pembangkang yang disambut parti pemerintah untuk duduk semeja membincangkan isu-isu berkepentingan nasional bagi meredakan suhu politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang agak panas akibat polemik berkaitan agama, ekonomi dan perhubungan kaum, amat dialu-alukan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seawal keputusan PRU13 diketahui pada malam pilihan raya menyuarakan keperluan untuk national reconciliation atau permuafakatan nasional.

Di antara permuafakatan nasional Najib dan konsensus nasional atau ijmak nasional - istilah yang diguna pakai Ketua Pembangkang - kedua-duanya mempunyai darjah perbezaan yang besar walaupun matlamatnya satu iaitu untuk mengeratkan kembali perpaduan di antara rakyat Malaysia.


Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak (tiga dari kiri) bersama anggota Jemaah Menteri
yang mewakili pelbagai kaum pada Mesyuarat Pertama Menteri Kabinet Malaya di Kuala Lumpur pada 10 September 1957

Istilah konsensus nasional yang diguna pakai Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan persoalan asas yang perlu ditanyai semua rakyat Malaysia iaitu sama ada Konsensus Nasional terdahulu yang dicapai semasa Bapa-bapa Pengasas Negara berunding mengenai Perlembagaan Persekutuan 1957, Perjanjian Malaysia 1963 dan Pindaan Perlembagaan 1971 pasca tragedi hitam 13 Mei 1969 yang menjadikan isu-isu sensitif bersifat lampau politik kepartian sudah tidak lagi relevan dan memerlukan perubahan.

Di dalam ucapan khasnya kepada rakyat Malaysia yang mengungkapkan keperluan kepada konsensus nasional, beliau menyatakan Perlembagaan Persekutuan bukanlah hanya sekeping kertas sebaliknya zahirnya dokumen tersebut adalah kerana kompak sosial atau perjanjian sosial mewakili semua kaum yang menjamin hak untuk kehidupan, kebebasan diri , kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Ia telah menetapkan kesamarataan warganegara di sisi undang-undang dan kebebasan beragama.

Beliau menegaskan peruntukan-peruntukan ini menjadi dasar kepada identiti Malaysia entiti yang dibina masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. Oleh itu kompak nasional ini perlu dihormati semua pihak sama ada golongan majoriti atau minoriti , kerajaan mahupun pembangkang, pendek kata semua pihak.

Namun anehnya ucapan beliau tidak langsung menyentuh perkara yang sebenarnya menjadi kompak sosial atau lebih tepat lagi kontrak sosial nasional yang sebenarnya. Yang diungkap beliau ialah hak-hak asasi warganegara yang dijamin perlembagaan bukannya perkara-perkara yang menjadi persetujuan di antara bapa-bapa pengasas negara yang mewakili semua kaum dan agama semasa rundingan kemerdekaan, pembentukan Malaysia dan Pindaan Perlembagaan 1971 seperti yang dicerminkan melalui Perlembagaan Persekutuan yang ada hari ini iaitu persetujuan yang menyentuh isu kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, kepentingan sah kaum-kaum lain serta kedaulatan Raja-Raja Melayu sepertimana terkandung dalam peruntukan Bahagian III, Perkara 152, Perkara 153, Perkara 38 dan Perkara 71 Fasal 1.

Konsensus nasional yang terdahulu ini menjadi landasan kepada pembinaan perpaduan kebangsaan yang telah pula berjaya mencipta keamanan dan membolehkan usaha-usaha pembangunan dilaksanakan. Hasilnya menyaksikan bagaimana dalam satu generasi sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, berubah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi.

Pembangunan selama lima dekad hasil keharmonian kaum membolehkan taraf hidup rakyat bertambah baik melalui peningkatan taraf pendidikan, prasarana fizikal, pengangkutan, teknologi maklumat dan komunikasi. Ironisnya ia juga menyebabkan meningkatnya kesedaran politik seterusnya polemik meluas mengenai isu-isu yang selama ini bersifat sensitif terutamanya melalui media sosial dan media dalam talian.

Pada masa sama, opsyen dan keberkesanan kerajaan bagi menangani perbincangan seumpama ini juga semakin berkurangan. Berbeza dengan tindakan kerajaan pada 1987 yang melalui Operasi Lalang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tindakan membatalkan permit penerbitan akhbar The Star dan Watan telah serta-merta berjaya meredakan suhu politik ketika itu yang tegang akibat polemik nasional yang tidak terkawal melibatkan isu pendidikan, kaum dan agama ketika itu hari ini disebabkan kemajuan ICT, tindakan sama tidak akan merungkaikan kerumitan sebaliknya hanya mendatangkan kesan lebih negatif kepada rakyat dan negara.

Ada beberapa faktor bersifat Game Changer yang ada pada hari ini tetapi tiada pada 1987. Paling utama adalah akses meluas rakyat kepada Lebuhraya Maklumat atau Internet yang mutakhir ini berada pada kadar penembusan lebih 65% dan kadar pemilikan telefon bimbit yang melebihi 100% - sebahagian besarnya telefon pintar. Pada 1987 juga tiada Internet jalur lebar, jalur lebar tanpa wayar, tiada WiFi, tiada media sosial dan portal berita maya yang mana melaluinya berita boleh disebar, dikomen, dikupas, dibahas, dibicarakan dan diputuskan secara pantas.

Hari ini sebarang percubaan untuk menebar gebar maklumat hanya ibarat mencurah bahan bakar kepada api, bukan bersifat memadamkannya tetapi mendatangkan kesan sebaliknya.

Permuafakatan nasional baru bermula dengan komitmen di antara parti pemerintah dan parti pembangkang bahawa kedua-dua pihak tidak akan meraih populariti politik dengan membangkitkan isu-isu yang sudah diijmakkan dan terkunci kemas melalui Kontrak Sosial dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka harus berjanji tidak akan cuba meraih sokongan mana-mana ras di Malaysia dengan menjanjikan apa yang tidak mungkin diubah, pendek kata tidak perlu mencipta semula roda.

Perbincangan utama perlu berlaku bukannya antara kerajaan dan pakatan pembangkang kerana PRU13 telahpun selesai dan secara perlembagaannya BN telahpun dipilih rakyat secara demokratik. Sama ada kita setuju dengan sistem First Past the Post yang diguna pakai kini atau tidak, bukan masalahnya kerana kita telah memakai sistem ini semenjak merdeka.

Jika ada pihak tidak bersetuju maka gunakan cara demokratik iaitu jadikan isu ini manifesto pilihan raya umum akan datang dan berkempenlah untuk perubahan sistem memilih kerajaan kepada sistem sama ada bersifat proportional representation atau sistem hibrid yang melibatkan gabungan dua atau tiga sistem yang berbeza. Jika pengundi memberi sokongan maka pindalah undang-undang sedia ada dan jika perlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, berkempenlah untuk memperoleh majoriti dua pertiga supaya ia boleh dipinda dan jika tidak berjaya maka haruslah menerima hakikat rakyat selesa dengan sistem yang ada.

Permuafakatan ini juga harus melibatkan agenda bagaimana untuk membolehkan semua rakyat menjana kekayaan secara bebas dan bagaimana kekayaan yang bakal bertambah boleh diguna untuk mencipta keadilan sosial dan masa depan yang lebih baik untuk semua warga Malaysia.

Semua pihak terlibat perlu ke meja perundingan dengan kesedaran bahawa sudah lebih 50 tahun kita bernegara maka percubaan untuk mengubah atau mencorak mana-mana kaum mengikut pandangan kita tentang apa itu yang betul, baik serta benar untuk Malaysia, tidak akan berjaya, ia hanya akan menyebabkan ketegangan dan permusuhan serta menjadikan kita bahan lelucon rantau dan dunia.



MAZRI MUHAMMAD Utusan Malaysia Rencana 20140221
Tags: konsensus, permaufakatan
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments