kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kes Sweden: Rumusan awal

1. Perjalanan Kes

PEGUAM Kristofer Stahre menyatakan bahawa kes ini dijangka berpanjangan dan penghakiman atau keputusan kebiasaannya akan dikeluarkan dua minggu selepas perbicaraan selesai iaitu dijangka pada pertengahan bulan Mac.

2. Proses Soal Siasat Ke atas Anak Pasangan Terbabit

Proses soal siasat ke atas anak-anak pasangan terbabit dijalankan oleh pegawai penyiasat yang mana berbeza dengan proses kebiasaan yang dijalankan di Malaysia atau negara lain seperti di Amerika Syarikat.

SukaGuam mempersoalkan kenapa soal siasat terbabit tidak dijalankan oleh atau dengan pemantauan pakar psikologi? Menurut Kristofer, penilaian psikologi tidak dibenarkan dalam Mahkamah Sweden dan ini berbeza dengan amalan perundangan negara lain di mana pandangan pakar psikologi diterima pakai.

Kes Sweden: Rumusan Awal



Peguam Kristofer Stahre (kanan) berbincang bersama pasukan misi khas SukaGuam. Turut kelihatan ialah Pengarah Kebangsaan SukaGuam, Cik Hafidzah Md. Yusof (tengah, bertudung) dan di belakangnya Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammed Taiyab. Gambar kecil, Ammar Azizul Raheem.

3. Bahasa Tubuh Ammar

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Ammar Azizul Raheem nampak gelisah dan kadang kala keliru serta memberikan jawapan yang tidak konsisten. Ada kalanya Ammar dilihat seolah-olah menambah fakta-fakta tertentu kerana 'bosan' diasak dengan soalan yang sama berulang-ulang kali.

Walaupun begitu, Ammar boleh menceritakan setiap kejadian dengan lancar dan mengingat setiap butiran insiden dengan jelas.

Dari sudut psikologi (berdasarkan perbincangan dengan Dr. Haniza Rais), adalah tidak sepatutnya seorang kanak-kanak yang mengaku dirinya didera boleh mengingati atau menceritakan insiden yang menimpa dirinya dengan lancar tetapi berubah-ubah serta bertambah-tambah. Ini boleh kita gunakan untuk mematahkan strategi pendakwa yang mahu mengeksploitasi sepenuhnya kenyataan Ammar.

4. Persoalan al-Quran dan Solat Dibangkitkan.

Sepanjang soal siasat dilakukan ke atas Ammar, persoalan mengenai 'dera/pukul' yang berlaku disebabkan elemen al-Quran dan solat kerap dibangkitkan oleh pegawai penyiasat. Ia dibangkitkan berulang kali sehingga menimbulkan prejudis seolah-olah cuba menunjukkan keganasan diterapkan dalam pengajaran Islam. Pasukan penyiasat nampak jelas tidak bersifat neutral dalam hal ini.

5. Percanggahan Jawapan antara

Ammar dan Arif

Terdapat percanggahan jawapan yang jelas antara Ammar dan Arif saat ditanya soalan sama oleh pegawai penyiasat.

Arif dilihat lebih bijak menjawab dengan menyatakan sesuatu jawapan secara jelas atau menyebut 'tidak tahu' untuk jawapan yang tidak diketahuinya.

Sebaliknya Ammar, kelihatan agak keliru dan kelihatan 'terpaksa' menambah cerita dan menjadikan ia lebih serius daripada perkara sebenar yang berlaku.

Perbicaraan Akan Disambung Semula 24, 25 dan 28 Februari 2014 dengan mahkamah akan ditayangkan dengan sambungan rakaman keterangan Ammar, diikuti Aishah dan Adam. Manakala Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal dijangka memberi keterangan pada minggu ketiga perbicaraan (3 Mac 2014).

PANDANGAN & ULASAN

1. Kes ini sengaja dipanjangkan oleh pihak berkuasa Sweden dengan menayangkan keempat-empat rakaman keterangan anak pasangan terbabit untuk 'membunuh' perasaan pasangan Azizul dan Shalwaty. Ibu bapa mana yang tidak luluh hatinya apabila anak-anak memberi kenyataan umum berkenaan hal di dalam rumah. Cuma kita harapkan mereka sedar bahawa anak-anak mereka, terutama Ammar berada dalam keadaan keliru dan terdesak akibat sikap agresif pihak penyiasat.

2. Ia juga bagi menutup malu pihak berkuasa Sweden di atas laporan berita penahanan pasangan ini yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan untuk itu pihak berkuasa Sweden bersungguh-sungguh mahu membuktikan bahawa penahanan mereka sebelum ini wajar.

3. Selain itu, kes ini juga dilihat bakal menjatuhkan ‘industri pengangkatan’ di Sweden yang turut membabitkan golongan peguam, guru dan ahli khidmat sosial. Kita akan mendapatkan maklumat lebih jelas tentang 'bisnes' menjaga anak angkat ini yang dikatakan memberi elaun sehingga RM20,000 (40,000 Kroners) bagi seorang anak angkat yang dipelihara!

Kerjasama SukaGuam dan PEKAMA (Persatuan Kaunseling Malaysia)

Di sepanjang rakaman keterangan Ammar ditayangkan, Azizul dilihat menundukkan mukanya berkemungkinan disebabkan perasaan bercampur-baur (sayang, sedih dan geram) melihat Ammar menceritakan mengenai keburukannya sebagai seorang bapa.

Apa yang menjadi perhatian selain keputusan kes adalah bagaimana keadaan keluarga ini pada masa mereka kembali bersatu nanti.

Adakah keterangan-keterangan yang diberikan oleh anak-anak ini akan dapat diterima oleh pasangan terbabit?

Bagaimana pula dengan penerimaan anak-anak ini yang mengetahui bahawa keterangan-keterangan merekalah yang menyebabkan ibu bapa mereka ketika ini berhadapan dengan situasi tersebut? Lebih malang jika disebabkan keterangan inilah ibu bapa mereka dijatuhi hukuman penjara.

Justeru, SukaGuam sebagai badan sukarela boleh meningkatkan jalinan kerjasama dengan PEKAMA dan juga badan-badan berkaitan bagi memberikan bimbingan kaunseling dan apa saja bentuk bantuan yang boleh kepada keluarga ini terutamanya anak-anak pasangan terbabit.

Usaha menjaga perkembangan psikologi anak-anak ini amat penting untuk difikir dan diberi perhatian awal sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pasangan ini menjadi mangsa konspirasi industri pengangkatan di Sweden.

Kami akan kembali dengan laporan terkini kes dari semasa ke semasa kerana kes ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada bukan sahaja rakyat Malaysia, malah masyarakat dunia.


l DATUK KHAIRUL ANWAR RAHMAT ialah Pengerusi SukaGuam Malaysia. l Pasukan misi khas SukaGuam dan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO kini di Stockholm disertai Pengarah Kebangsaan SukaGuam Hafidzah Yusuf, Pakar Kaunseling UIAM Dr. Haniza Rais, dan teman-teman rapat pasangan Azizul dan Shalwati. AIRUL ANWAR RAHMAT Utusan Malaysia Rencana 20140223

Tags: sweden
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments