kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Simbol ikut wajah sebenar

APABILA melihat gambar wajah Mr. Bean, secara automatik anda akan tersenyum. Ingatan anda pantas kepada aksi lucu lurus bendulnya. Itu gambar yang mampu mendorong anda senyum. Hari ini, ramai akan tersenyum bila melihat simbol :-) atau ;-) yang diistilah sebagai emoticon.

Emoticon sebenarnya ialah evolusi daripada smiley faces atau wajah senyuman. Ingat filem Forrest Gump? Babak Gump berlari di sebuah pekan dan didatangi seorang lelaki yang meminta idea untuk perniagaan kemeja T. Kemudian seluruh badan Gump terkena percikan air.

Lelaki itu memberikannya satu kemeja T berwarna kuning dan Gump menyapu mukanya. Lelaki itu mendapati wujud simbol senyuman. Babak itu memberi gambaran seolah-olah itulah asal-usul smiley face. Anda masih ingat babak itu? Tak pernah tengok Forrest Gump? :-(

Sebenarnya, babak itu hanya rekaan semata-mata. Asal-usul simbol smiley faces masih menjadi perdebatan, malah pernah jadi perebutan di mahkamah.

Menurut laman web hiburan Internet Movie Database (IMDB.COM), simbol smiley face pertama kali muncul pada iklan filem Lili yang terbit dalam akhbar New York Herald Tribune pada 1953.

Satu lagi fakta dalam rekod ialah pada 1963, simbol tersebut muncul dalam program TV kanak-kanak Amerika Syarikat iaitu The Funny Company, yang menjadi logo kelab kanak-kanak dan jelas terpampang pada topi, kredit penghujung rancangan dan mesej akhir Keep Smiling (terus senyum).

Pada tahun yang sama, seorang pelukis komersial di Worcester, Massachusetts bernama Harvey Ball menerima kontrak kerja untuk mereka cipta simbol senyuman bagi syarikat insurans State Mutual Life Assurance. Simbol itu adalah untuk mengisi ‘kempen persahabatan’ supaya kakitangannya mengamalkan kemesraan bila berurusan dengan pelanggan.

Dalam 10minit, Ball melukis dua titik dan senyuman ke dalam bulatan kuning dan wajah tersenyum dilahirkan. Syarikat insurans kemudiannya menerbitkan poster dan butang untuk dipakai kakitangannya.

Ball dibayar AS$45 (hari ini bernilai RM148.50). Bagaimanapun, dia dan syarikat tidak pernah mempatenkan reka ciptanya, sekali gus menjadi punca asal-usul simbol ini menjadi tanda tanya. Seorang pereka cipta di Seattle, David Stern turut mendakwa dirinya sebagai pencipta asal.

Pada September 1970, dua beradik berasal dari Philadelphia, Bernard dan Murray Spain, tampil dengan reka bentuk Smiley sebagai logo barangan dengan menambah ayat have a nice day (semoga sejahtera hari anda). Mereka menjual kira-kira 50 juta butang bergambar Smiley pada 1972.

Akibatnya, Smiley menjadi begitu popular. Gambar tersebut terpampang pada cawan, talam, alat tulis, subang, pelekat kereta, gelang dan sebagainya. Pengkaji menyifatkan fenomena itu ada kaitan dengan semangat pasca 1960-an yang mana rakyat Amerika yang trauma terhadap perang di Vietnam dan penyingkiran Presiden AS ketika itu, beralih kepada visual positif sebagai penenang emosi.

Budaya

Perbalahan mengenai siapa yang memiliki hak cipta terhadap simbol Smiley telah berlarutan sejak 1970-an. Seorang ahli perniagaan Perancis, Franklin Loufrani mendaftarkan tanda dagang pada simbol itu sebagai Smiley World di beberapa negara Eropah. Syarikat peruncitan Amerika, Wal-Mart cuba mendaftarkannya pada 2006 tetapi tewas di tangan Smiley World.

Smiley Face diiktiraf sebagai satu budaya pop yang teguh di Amerika Syarikat dan Perkhidmatan Post AS menerbitkan setem khas dengan gambar wajah simbol tersebut pada 1999.

Simbol senyuman ini kemudiannya menular ke alam maya yang disebut sebagai emoticon. Hak ciptanya telah dimiliki oleh syarikat Rusia bernama Superfone.

Dalam konteks ini, seorang penyelidik di Flinders University, Adelaide, Australia bernama Owen Churches berhujah bahawa emoticon mempunyai asal-usul tersendiri dalam alam maya. Wajah senyum emoticon pertama kali digunakan oleh Profesor Scott E. Fahlman dalam surat kepada lembaga komputer sains, Carnegie Mellon University pada 1982.

Fahlman asalnya, bertujuan menggunakan simbol tersebut untuk memberitahu pembaca bahawa perenggan seterusnya dalam surat itu seharusnya mencetuskan senyuman dan tidak dianggap serius. Ketika itu masih sukar untuk membezakan antara pernyataan satira, sarkastik atau tidak pada zaman pra-Internet.

Sukar untuk memikirkan ada orang hari ini yang tidak mengetahui cara penggunaan emoticon sama ada menerusi telefon bimbit, e-mel atau SMS, MMS, whatssap, BBM, Instagram dan banyak lagi. Memang nampak aneh untuk kita menggunakan simbol :-) atau gambar ---- bagi menyampaikan emosi.

Lihat sepintas lalu, bulatan kuning itu menyerupai simbol matahari yang juga memberi inspirasi keceriaan, hari yang cerah dan berkobar-kobar. Ditambah dengan senyuman, simbol ini secara universal begitu kuat pengaruhnya. Tetapi inilah bahasa era Internet yang sangat berpengaruh dan difahami oleh Generasi Y hari ini.

Salam untuk pembaca Mingguan Malaysia!


Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan Malaysia Rencana 20140223
Tags: bean, gen y, gump, smiley
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments