kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bising-bising dihormati, ditakuti dan dibenci

DALAM diplomasi dan hubungan antarabangsa, negara yang tenang karakternya dan tidak suka bising-bising mengenai hak-hak tanah air akan kehilangan banyak kepentingannya.

Negara yang bising-bising dan kerap menimbulkan isu pula pasti akan dapat mempertahankan kepentingan nasional masing-masing dengan lebih baik.

Inilah antara kepelikan dalam hubungan dengan jiran-jiran terdekat. Buat bising dan anda akan didengar oleh jiran-jiran. Bertindak, akan lebih dihormati - atau sekurang-kurangnya ditakuti.

Bagaimanapun, jika terlebih bising, anda mungkin dibenci.

Indonesia dan Singapura berhadapan dengan situasi ini dalam perbalahan terbaharu mereka berhubung penamaan kapal tentera laut Indonesia dengan nama KRI Usman Harun 359.

Pada Selasa lalu, selepas hampir dua minggu bertelagah, menteri Singapura menggunakan sesi Parlimen untuk mengutarakan rasa tidak puas hati republik itu berhubung penamaan kapal Indonesia, dengan Menteri Pertahanannya, Ng Eng Hen berucap memberi amaran supaya kapal korvert tentera laut Indonesia itu tidak mendekati pelabuhan dan perairan Singapura.

Kata-kata “apa ada pada nama" rupa-rupanya tidak dapat diterima oleh Singapura.

Nama Usman dan Harun membangkitkan sesuatu yang tidak menyenangkan, mengembalikan ingatan kepada krisis serantau lima dekad lalu ketika pemerintahan Presiden Sukarno di Indonesia.

KRI Usman Harun 359 adalah penghormatan Indonesia kepada Sarjan Usman Muhammad Ali dan Koperal Harun Said yang dihukum gantung sampai mati di Singapura pada tahun 1968 kerana melakukan pengeboman di Jalan Orchard, Singapura pada bulan Mac 1965.

Ketika itu Asia Tenggara dalam krisis. Indonesia berada di bawah pemerintahan Sukarno yang dipengaruhi komunis dan berkonfrontasi menentang penyertaan Singapura bersama Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, yang dirasakannya hanya melengkapkan neo kolonialisme British di rantau ini.

Rejim Sukarno menghantar Sarjan Usman dan Koperal Harun serta kumpulan tentera Indonesia yang lain untuk melakukan sabotaj di Singapura. Antara tahun 1963 dan 1965 berlaku siri pengeboman di Singapura.

Menteri Pertahanan Singapura memberitahu Parlimen republik itu bahawa keseluruhannya terdapat 58 orang yang cedera atau mati dalam 37 pengeboman yang dilakukan oleh anasir rejim Sukarno.

Kedua-dua askar itu tertangkap selepas cuba lari dari Singapura setelah melakukan pengeboman sebuah gedung di Jalan Orchard yang membawa kepada kematian tiga orang dan mencederakan 33 yang lain.

Singapura kemudian membicarakan Usman dan Harun di mahkamah dan hakim di republik itu, selepas pemisahan Singapura daripada Malaysia, menjatuhkan hukuman gantung ke atas kedua-dua tentera Indonesia itu.

Boneka

Hukuman ke atas mereka dijalankan pada 17 Oktober 1968 di Penjara Changi, Singapura.

Sukarno menganggap Singapura yang berada dalam Malaysia sebagai boneka Barat, dan mengejek-ejek hubungan yang terjalin antara Singapura dengan kuasa penjajah.

Bagaimanapun, Sukarno kemudian digulingkan dalam kudeta Jeneral Suharto di Indonesia beberapa bulan selepas kes pengeboman di Jalan Orchard. Ketika Sarjan Usman dan Koperal Harun menjalani hukuman mati, Indonesia telah pun mendapat pemerintah baharu, Suharto. Rayuan Suharto kepada Singapura supaya Usman dan Harun tidak dihukum mati tidak dilayan.

Ada dua persepsi terhadap Usman dan Harun.

Singapura melihat mereka sebagai pengganas yang mensabotaj keselamatan Singapura.

Indonesia pula memberi mereka gelaran sebagai Pahlawan Nasional dan aksi kepahlawanan mereka dianggap “memang terbilang heroik". Malah, baru-baru ini sebatang jalan di Jakarta juga telah dinamakan dengan nama Usman-Harun.

Indonesia menyifatkan Usman dan Harun sebagai anggota tentera yang sekadar menurut perintah rejim Sukarno yang dijatuhkan, dan perbuatan Singapura menggantung mereka, walaupun dirayu oleh Suharto, begitu melukakan hati.

Singapura telah lama mengetahui sentimen Indonesia berhubung isu tersebut, dan kerana itulah dalam usahanya membetulkan keadaan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menziarahi dan menabur bunga di pusara Usman dan Harun ketika lawatannya ke Indonesia pada tahun 1973.

Indonesia menganggap dengan tindakan Kuan Yew itu, apa yang berlaku pada masa lepas telah pun dilupakan oleh Singapura.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa mengulangi komen-komennya bahawa negaranya tidak mempunyai niat buruk dalam menamakan kapal itu dengan nama kedua-dua askar tersebut.

“Masalah datang daripada perbezaan kefahaman dan perbezaan persepsi," katanya.

Singapura yang marah dengan tindakan Indonesia menamakan kapal tentera dengan nama Usman-Harun bertindak membatalkan mesyuarat bilateral pertahanan antara kedua-dua negara menjelang Pertunjukan Udara Singapura yang bermula pada minggu pertama Februari lalu.

Para pegawai tentera Indonesia pula membalas langkah itu dengan membatalkan kunjungan ke Singapura, dan situasi diburukkan lagi dengan perang antara media Indonesia dan Singapura.

Protes rasmi dibuat oleh Singapura kepada Jakarta. Tiga menteri Singapura menelefon rakan sejawat mereka di Indonesia, termasuk menghubungi Menteri Pertahanan Indonesia yang ketika itu sedang membuat lawatan di Eropah.

Para penganalisis hubungan diplomatik dari Indonesia dan Singapura juga saling bercanggah pandangannya. Masing-masing melihat isu itu daripada persepsi negara sendiri.

Akhbar Indonesia melaporkan Panglima Tentera Nasional (TNI) Indonesia, Jeneral Moeldoko menegaskan pihaknya akan terus memakai nama KRI Usman-Harun 359 sebagai nama salah satu kapal perangnya.

“Prinsipnya kita bekerjasama dengan sesiapa pun dengan baik. Tapi kalau terkait dengan masalah kedaulatan, no way!" kata Moeldoko.

Beliau menambah, keberlanjutan isu itu bergantung kepada sikap Singapura. “Saya tidak menerima kalau Usman dan Harun dinyatakan sebagai teroris, dia adalah aktor negara, bukan aktor nonstate, mereka itu marinir."

Akhbar Singapura, Straits Times, pula menyiarkan satu artikel oleh seorang penulis yang keluarganya berasal dari Jawa yang penutupnya berbunyi: “Tetapi pastinya terdapat beratus-ratus Pahlawan Nasional (di Indonesia) yang namanya boleh dipilih untuk kapal itu. Mengapa ambil nama dua marinir tersebut, sedangkan ini akan hanya membuka luka lama?"

Penganalisis

Seorang penganalisis dari Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura, memberitahu akhbar South China Morning Post di Hong Kong bahawa ahli-ahli politik di Indonesia sering menggunakan Singapura “sebagai budak untuk dirotan bagi memberikan mereka national credential".

Mengaitkan isu nama KRI Harun-Usman dengan pilihan raya di Indonesia, penganalisis itu, Dr. Mohamed Nawab, memberitahu: “Saya fikir hubungan jangka panjang kemungkinan besar akan terjejas melainkan pemerintah Indonesia memohon maaf ekoran tindakan terbarunya."

Untuk meminta Indonesia memohon maaf tentulah keterlaluan dan tidak mungkin akan berlaku.

Ketika ini di Indonesia, pegawai dan pemimpinnya masih belum lupa isu dokumen yang didedahkan oleh pakar komputer Amerika Syarikat, Edward Snowden mengenai penglibatan Singapura dalam operasi pengintipan Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara, termasuk di Indonesia.

Seorang pegawai Istana Presiden Indonesia, Teuku Faizasyah dilaporkan akhbar Indonesia sebagai melahirkan kehairanannya dengan sikap Singapura mengenai isu Usman-Harun yang dirasanya telah selesai pada tahun 1973 ketika Lee Kuan Yew melawat Indonesia kira-kira 41 tahun lalu.

Beliau menegaskan, pemerintah Indonesia tidak akan mengganti nama kapal perang KRI Usman-Harun 396 “hanya kerana pihak Singapura berasa keberatan". Teuku Faizasyah menambah: “Kita sudah tegas dengan sikap kita. Tentunya pihak Singapura juga harus menimbang-nimbang prospek ke depan daripada satu keadaan yang tidak menguntungkan dalam masalah ini."



Baharom Mahusin baharom@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140223
Tags: benci, bising, hormat, takut
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments