kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ PBS, DAP, PDRM

Teruskan atau batal?

ANTARA isu yang menjadi perhatian kebelakangan ini ialah pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ramai guru mempersoalkan PBS kerana didapati banyak masalah termasuk kelemahan berkaitan sistem capaian dan penggunaan alat merekod prestasi serta bertambahnya beban tugas.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut melahirkan rasa tidak puas hati. Di sekolah-sekolah isu tersebut panas diperkatakan oleh guru-guru.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Putrajaya bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu tersebut.

Atas rasa keprihatinan, beliau yang juga Menteri Pendidikan, bertindak segera menangguhkan pelaksanaan PBS bagi dikaji semula.

Muhyiddin memperlihatkan keterbukaan dengan menerima teguran dan kritikan, yang sepatutnya dipikul di peringkat pegawai kanan dan pihak yang mengesyorkan PBS.

Awang percaya ada berlaku kekhilafan, kelemahan dan terlepas perhatian berhubung aspek-aspek tertentu sistem tersebut. Sepatutnya sistem itu dilaksanakan secara perintis terlebih dahulu bagi melihat kesesuaiannya dan respons guru.

Kini semua pihak mengharapkan Kementerian Pendidikan mencari penyelesaian terbaik. Moga isu itu tidak akan dibiarkan berlarutan kerana akan memberikan banyak kesan negatif selain ada pihak akan menangguk di air keruh.

Sebenarnya dalam landskap politik baharu mudah sangat untuk kerajaan menjadi sasaran termasuk dalam isu PBS. Maka semua pihak harus bertenang dan berilah ruang kepada kementerian mengatasinya terutama aspek pelaksanaan supaya mudah dan lancar. Pada Awang, PBS adalah sistem yang mampu melonjakkan lagi pencapaian para pelajar negara ini. Adalah wajar ia diteruskan selepas dilakukan penambah baikkan.

Namun Kementerian Pendidikan juga perlu bersedia dengan senario yang satu lagi. Jika selepas penambah baikkan dalam kajian semula itu - PBS masih dilihat akan membawa lebih banyak mudarat dan masalah - batalkan saja.

Provokasi DAP

TIDAK sukar untuk menelah mengapa banyak pihak dan orang ramai masih marahkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu video kontroversi Tahun Baharu Cina.

Walaupun sudah hampir tiga minggu, isu tersebut terus menjadi perhatian. Ke mana sahaja Awang pergi, sumpah seranah ke atas beliau kedengaran.

Sebenarnya butang penyelesaian isu tersebut ada pada Teresa dengan mengambil tanggungjawab atas perbuatannya. Beliau perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Meskipun banyak pihak termasuk kumpulan profesional Cina menggesa beliau berbuat demikian, Teresa tetap berdegil.

Awang tidak hairan jika keengganannya untuk memohon maaf akan terus menerima tindak balas tertentu yang beliau sendiri faham.

Ekstremisme mudah mengundang ekstremisme. Dalam budaya ekstremisme, orang yang tidak mahu memohon maaf atas perbuatannya, tidak mungkin dimaafkan.

Provokasi DAP ke atas umat Islam tidak henti-henti. Terbaharu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung larangan kepada umat Islam menyambut Hari Kekasih.

Ulama-ulama menyifatkan beliau mencampuri urusan berkaitan agama Islam. Untuk apa Tony Pua yang bukan Islam mahu mempertikai keputusan Majlis Fatwa yang tiada kaitan dengan penganut agama lain?

Ketika isu tersebut masih hangat, ada laporan memetik Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula mempersoalkan khutbah Jumaat. Apakah DAP juga mahu menentukan kandungan khutbah untuk umat Islam?

Kit Siang dan Tony Pua sudah melebihi batas.

Perasaan Awang cukup mendidih dengan penghinaan demi penghinaan oleh DAP ke atas umat Islam.

Berdiam diri dalam isu-isu kritikal ini bererti kita memberi isyarat yang salah betapa kesucian Islam boleh dicemari sesuka hati.

Malangnya lebih ramai memilih untuk berdiam. Entahlah...

Iktibar...

PENGERUSI DAP, Karpal Singh didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kelmarin atas tuduhan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Ia berhubung tuduhan menyebut kata-kata hasutan dalam isu pengguguran Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, lima tahun lalu.

Awang tidak berminat komen ulas panjang kes mahkamah. Cuma berharap keputusan tersebut membuka mata dan menjadi iktibar kepada semua pihak.

Kepada Karpal, mungkin keputusan mahkamah itu sedikit sebanyak memberi kesan. Kali ini beliau sendiri sebagai peguam dan politikus terkenal didapati bersalah.

Doakan terbaik

TULISAN Azhar, Tg. Malim dalam ruangan Forum Utusan Malaysia, kelmarin menarik perhatian.

Beliau membangkitkan tentang gejala suka mencemuh dan mempersenda pasangan terutama personaliti yang bercerai.

Azhar memberikan contoh kes perceraian Erra Fazira dan pasangannya Tengku Imran yang menjadi perhatian ramai.

Awang setuju. Memang ada kecenderungan dalam kalangan masyarakat memberikan reaksi negatif yang keterlaluan kepada pasangan bercerai. Aib mereka perlu dijaga.

Jodoh, pertemuan dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Perpisahan dan perceraian bukan bererti berakhir segala-galanya. Doakanlah yang terbaik.

Demi polis, negara

AWANG angkat topi kepada bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor.

Apabila diminta untuk menjadi saksi kepada satu perbicaraan di mahkamah berkaitan sejarah komunisme di negara ini, beliau tanpa teragak-agak bersetuju.

Walaupun berdepan dengan tokoh pembangkang dan akan diasak oleh peguam, Abdul Rahim tidak gentar. Sebelum itu, beberapa pakar sejarah tanah air menolak dengan 1,001 alasan.

Maka muncullah Abdul Rahim di mahkamah baru-baru ini memberi keterangan dan disoal balas. Mendengar hujah-hujah bekas Ketua Cawangan Khas ini, seperti mengikuti kuliah sejarah.

Abdul Rahim memberikan gambaran besar tentang kegiatan komunisme dunia, serantau dan akhirnya menjurus kepada mudarat yang dibawa oleh Parti Komunis Malaya (PKM) di tanah air ini.

Kesimpulan beliau mana-mana individu dalam PKM bukan wira atau pejuang kemerdekaan sebaliknya mahu mencapai matlamat untuk menubuhkan negara komunis.

Abdul Rahim ternyata tidak mahu sesiapa yang cuba menafikan sejarah besar negara, terlepas begitu sahaja tanpa dicabar dan disanggah.

Lebih-lebih lagi, jika ia melibatkan pengorbanan anggota pasukan keselamatan seperti polis. ‘‘Saya tidak rela polis dan negara kita dihina begitu sekali. Sejarah tidak boleh diputar belit," katanya.

Untuk perbicaraan tersebut yang berlangsung di Pulau Pinang, Abdul Rahim yang pada usia 71 tahun memandu kereta sendirian dari Kuala Lumpur, tanpa ditemani sesiapa. Ini kali ketiga beliau berulang alik untuk menghadiri kes tersebut, menanti gilirannya sebagai saksi.

Abdul Rahim ternyata masih gagah dan pemikirannya tajam. Ini terserlah termasuk ketika provokasi sesi soal balas mahupun insiden kecil selepas perbicaraan.

Di luar mahkamah, seorang individu menghampiri beliau menyatakan iltizam songsang tetap mahu menukar sejarah suatu hari nanti.

Abdul Rahim tenang dan kelihatan tidak terganggu. Beliau hanya senyum agaknya tanda puas kerana dapat memainkan peranan membela polis dan sejarah negara.



Utusan Malaysia Rencana 20140223

Tags: dap, pbs, pdrm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments