kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kalau saya tiada pendirian ...’

MINGGUAN: Datuk sudah lama menyepi diri dalam arena politik, tetapi kenapakah secara tiba-tiba Datuk membuat keputusan menyertai PRK DUN Kajang?

ZAID: Memang benar saya menyepi daripada kegiatan parti politik tetapi tidaklah saya berdiam diri. Selain daripada kegiatan amal di Kelantan, saya banyak menulis hal-hal berkisar politik dan dasar negara. Saya sentiasa mengikuti apa yang berlaku dalam politik tanah air. Dengan umur saya sekarang tidaklah perlu lagi saya bergiat dalam parti politik, cukuplah dengan pengalaman pahit manis yang telah saya lalui. Tanpa parti pun, seseorang boleh terus memberi pandangan dan melibatkan diri dalam politik tanah air.

Pilihan raya kecil yang luar biasa ini direka oleh Anwar dan rakan-rakan untuk mengambil alih kuasa di Selangor. Ia timbul tanpa disangka. Perbuatan beliau ini liar dan tidak ada sebarang kebaikan jika diukur daripada perspektif kepentingan rakyat. Malah ia boleh membawa banyak masalah dan krisis baru di negeri itu dan tanah air. Saya memandang perkara ini dengan serius kerana rakyat perlu memahami kesan buruk dan akibat dari tindakan beliau ini. Tidak ada cara terbaik untuk saya memberi penjelasan kepada rakyat Selangor selain daripada masuk bertanding.

Datuk pernah diberikan kepercayaan oleh Anwar bertanding dalam PRK Parlimen Hulu Selangor, tetapi sekarang Datuk membuat keputusan menentang beliau. Kenapa Datuk berbuat demikian?

ZAID: Saya bertanding di Hulu Selangor kerana saya diminta berbuat demikian oleh PKR. Sebagai seorang ahli parti masa itu, sudah tentu saya menerima tawaran itu. Saya bekerja keras untuk menang tetapi tewas nipis. Walau bagaimanapun saya berterima kasih kepada Anwar Ibrahim yang memberi ruang kepada saya sebagai calon. Saya bertanding di Kajang bukan kerana saya tidak mengenang jasa pakatan pembangkang kepada saya. Malah saya juga mengenang jasa Barisan Nasional (BN) dan UMNO kepada saya.

Tetapi saya mahu bertanding melawan kedua-dua parti besar ini kerana yang lebih penting daripada parti politik ialah nilai dan prinsip politik yang sihat. Kerajaan yang baik dan kepentingan umum lebih penting daripada kehendak seseorang. Parti politik hanyalah alat untuk khidmat dan berjasa kepada rakyat. Ia tidak dapat mengatasi kepentingan lain, lebih-lebih lagi kepentingan peribadi dan puak.

Datuk pernah berada dalam kerajaan, kemudian menjadi calon PKR dan kini mahu bertanding sebagai calon Bebas, tidakkah ia memungkinkan orang melihat Datuk tidak ada pendirian dalam berpolitik?

ZAID: Memang kumpulan Anwar dan sesetengah parti pembangkang telah berjaya menggambarkan saya sebagai manusia yang tidak ada pendirian. Mereka kata saya ini flip flop dan tidak ada ketahanan diri. Mereka gambarkan saya ini orang yang mudah dibeli oleh UMNO. Mereka tuduh saya keluar PKR kerana saya "ejen UMNO".

Hari ini pun mereka berkata saya telah diupah untuk bertanding di Kajang. Ada pula yang berkata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang taja saya. Inilah kehebatan Anwar. Dia berjaya meniup perasaan benci kepada sesiapa saja termasuk kepada UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan ada rakyat yang terpengaruh dan percaya.

Salah satu punca ketegangan kaum dan perselisihan politik yang ekstrem di negara kita ialah kerana rakyat digalakkan untuk membenci dan menghina. Tidak cukup untuk membuat teguran dan kritikan, tetapi perlu ada personal attacks supaya lebih dalam kebencian itu ditanam.

Kalaulah saya ini seorang yang tidak layak dipercayai untuk memimpin dan saya tidak ada pendirian kukuh kerana kononnya selalu ke sana ke sini; kalaulah kredibiliti menjadi ukuran di Kajang nanti, saya minta debat terbuka dengan Anwar.

Dia memang pemidato yang hebat , tetapi saya sanggup berdepan dengannya dalam soal kredibiliti dan soal kepimpinan. Saya minta debat di sediakan untuk rakyat membuat penilaian. Saya dituduh keluar parti dan masuk parti. Sebenarnya tidak begitu. Saya dipecat daripada UMNO setelah sekian lama menjadi ahli yang setia kerana pandangan saya pada masa itu bertentangan dengan dasar kerajaan. Saya bukan dipecat kerana melawan pemimpin atau ada masalah peribadi. Saya keluar PKR kerana dalam mencari platform perjuangan idealisme, saya salah memilih parti. Itu bukan sesuatu yang patut dicerca.

Saya konsisten dalam perjuangan dan nilai politik. Suara yang saya keluarkan samalah dalam UMNO atau pembangkang. Hanya kerana mencari wadah perjuangan, saya ke sana ke sini. Itu bukan kelemahan, itu adalah kekuatan. Kredibiliti yang songsang dan kelemahan seseorang pemimpin ialah bila dia tidak berterus terang. Saya tidak akan mengatakan 16 September 2008 akan berlaku ataupun saya telah menang PRU-13 bila saya tahu sudah tewas. Kalau ada gambar atau video saya dengan seorang wanita, saya akan mengaku. Saya tidak akan berkata, it looks like me but its not me, saya akan berterus terang kerana saya manusia biasa yang banyak kelemahan.

Jika saya ditanya, apakah saya menyokong tindakan Abdul Khalid dalam soal penswastaan air Selangor, saya akan berkata sudah tentu. Tidak perlu menambah tawaran RM9 bilion kepada syarikat swasta. Kepentingan rakyat lebih utama. Tetapi Anwar tidak begitu. Dia ‘Superman’. Walaupun begitu, Kajang hanya memerlukan pemimpin biasa yang mampu berkhidmat dengan ikhlas. Jadi siapa yang lebih credible?

Apakah pandangan Datuk berhubung tindakan wakil rakyat PKR meletakkan jawatan sewenang-wenangnya untuk memberi laluan kepada orang lain bertanding dan ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh parti itu?

ZAID: Anwar memaksa Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai ADUN Kajang kerana beliau mahu menjadi Menteri Besar. Tidak penting kepada Anwar bahawa Chin Cheh sudah pun berjanji dengan orang Kajang bahawa beliau sanggup berkhidmat kepada mereka. Tidak ada dalam perhitungan Anwar bahawa orang Kajang dan Selangor sudah pun membuat keputusan memberi mandat kepada pakatan pembangkang kerana Abdul Khalid ialah Menteri Besar Selangor. Sebab itu rakyat Kajang dan Selangor perlu bangkit dengan undi yang jelas bahawa mereka tidak sekali-kali rela dipermainkan.

Undi kepada Anwar bererti mereka merestui pemecatan Abdul Khalid. Undi kepada Anwar bererti mereka bersekongkol mengetepikan pandangan Pas dalam hal penting negeri Selangor. Undi kepada Anwar bererti mereka rela menghadapi krisis politik baru di Selangor, yang sekarang ini aman damai.

Undi kepada saya sebaliknya menyelamatkan pentadbiran Abdul Khalid. Undi kepada saya bererti tidak ada perebutan antara Pas dan PKR untuk jawatan Menteri Besar. Undi kepada saya bererti Duli Yang Maha Mulia Sultan mungkin tidak perlu membubar Dewan Undangan Negeri Selangor.

Jika Anwar menang dan Abdul Khalid enggan meletakkan jawatan (seperti yang beliau umumkan) maka akan berlaku krisis apabila Abdul Khalid dipecat oleh PKR. Sultan Selangor terpaksa mencari mandat baru melalui pilihan raya negeri untuk seorang Menteri Besar baru membentuk kerajaan. Bukankah ini semua menyusahkan rakyat?

Ini semua kerja orang yang mahu jadi Menteri Besar kerana Putrajaya agak terlalu jauh sekarang ini. Saya tidak mahu jadi Menteri Besar atau ke Putrajaya; saya hanya mahu memberitahu rakyat Selangor memikirkan semua ini dalam membuat keputusan siapa perlu mereka pilih nanti.

Utusan Malaysia Rencana 20140223
Tags: bn, dap, pkr, politik, prk
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments