kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Membina kemahiran insani

Ibu bapa sanggup berkorban dan berhabis wang ringgit bagi memastikan anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

Malah, ada ibu bapa yang mampu mengambil guru tuisyen khusus bagi mengajar anak di rumah. Bagi mereka, kecemerlangan akademik anak tidak ada tolak ansur.

Ditambah pula dewasa ini, apabila kita ada anak, orang tidak tanya banyak mana harta yang kita ada tetapi orang pasti bertanya apakah keputusan yang anak kita peroleh dalam peperiksaan.

Namun, ibu bapa perlu faham bahawa cemerlang dalam peperiksaan belum tentu cemerlang dalam pekerjaan.

Foto


Bagi pelajar, keputusan peperiksaan itu penting tetapi apa yang lebih penting ialah kemahiran insani atau ‘softskill’.


Tiada maknanya anak cemerlang dengan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan sama ada di sekolah atau universiti sedangkan mereka tidak pandai bergaul, bekerja dalam satu pasukan dan sukar menerima arahan.

Lebih teruk lagi apabila anak itu tidak tahu berunding dengan baik agar sesuatu keputusan yang diambil memberi manfaat kepada semua pihak. Apabila disuruh bercakap di hadapan, mulalah memberikan seribu satu alasan agar tidak tampil kerana tiada keyakinan diri, gugup, gemuruh dan rasa diri tidak cukup bagus.

Mereka juga gagal berkomunikasi dengan baik dan setiap kali bercakap tidak mampu mempengaruhi dengan kata-kata serta tidak punya aura suara yang mengesankan. Ramai juga tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang membuatkan mereka takut bersaing dan bekerja di syarikat korporat yang besar kerana penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di situ.

Mereka juga tidak pandai menyesuaikan diri dengan bangsa lain yang berbeza warna kulit, agama dan kepercayaan. Mereka juga tidak memiliki kemahiran bagi memimpin, mendorong dan tidak mampu belajar atau bekerja tanpa pengawasan langsung.

Semua ini membuatkan anak terlepas ba­nyak peluang dan akhirnya me­nganggur meskipun memiliki segulung ijazah atau diploma yang bagus keputusannya.

Jadi, apa maknanya jika hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi gagal dalam kemahiran insani? Sebab itulah sejak kecil lagi ibu bapa mesti berusaha membina kemahiran insani ini dalam diri anak mereka.

Biarkan anak bergaul sesama mereka dan usah cepat campur tangan. Jika mereka bergaduh dan bertekak sekali pun biarkan saja selagi tidak sampai ke tahap mencederakan.

Kalau setakat bising itukah perkara biasa. Ang­gap saja bising itu irama yang merdu yang satu hari apabila mereka dewasa, kita pasti terkenang dan rindu pada saat itu.

Rumah adalah dunia kecil tempat mereka belajar banyak kemahiran insani sebelum mereka berdepan dengan dunia besar di luar yang lebih mencabar diri.

Anak yang dididik de­ngan kemahiran insani akan mempunyai jati diri dan berintegriti.

Mereka tahu akan tanggungjawabnya.


Apakah itu tanggung jawab?

Tanggung jawab bermakna, apa saja tugas dan amanah yang diberikan akan ditanggung hingga selesai dan apa juga hasil atau keputusannya perlu mereka jawab, bukan menyalahkan orang lain, mencari dan memberi alasan.

Dengan adanya integriti maka wujudlah nilai murni dalam diri anak. Sikap amanah, jujur, boleh dipercayai, bersungguh-sung­guh dan seumpamanya akan tercetus dengan sendiri tanpa perlu dipaksa.

Oleh itu, jika ibu bapa sanggup berhabis wang ringgit bagi memastikan kecemerlangan anak dalam akademik, maka kenapa pula tidak sanggup membuat apa saja bagi memastikan anak memiliki kemahiran insani yang ting­gi?

Kecemerlangan akademik memberikan anak kita pekerjaan tetapi kemahiran insani memastikan mereka menjadi ketua eksekutif atau pengarah satu hari nanti.

Justeru, dalam program motivasi yang saya jalankan untuk pelajar, aspek agama dan kemahiran insani seperti pembentukan sikap, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, serta kemampuan bercakap dan berucap di khalayak ramai sangat dititikberat­kan.

Program terdekat akan diadakan sepanjang musim Cuti Sekolah pada Mac 2014 ini di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh.

Bezanya kursus Motivasi Alihan Pelajar ini ialah kami memberikan penekanan yang seimbang terhadap empat perkara utama yang dipanggil ASASS iaitu Agama, Sahsiah, Akademik, Skil dan Sosial.

Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad myMetro Bestari 24/02/2014

Tags: insani, tanggungjawab
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments