kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guru tak boleh paksa pelajar

Ketika penulis bersekolah dulu, antara perkara paling menjemukan ialah ‘dipaksa’ guru menyelesaikan kerja sekolah.

Penulis beranggapan, kerja sekolah dibekalkan guru cukup membebankan serta menjadi penghalang untuk menikmati kebebasan hidup sebagai pelajar.

Namun kerana tiada pilihan, penulis terpaksa meng­gagahkan diri, apatah lagi apabila mengenangkan hayunan rotan sebagai ‘hadiah’ jika gagal menyiapkan tugasan.

Sehingga kini, walaupun zaman persekolahan sudah lama berlalu, isu kerja sekolah yang menjadi mimpi ngeri generasi sezaman penulis tidak pernah selesai.

KERJA rumah yang diberikan boleh dijadikan pemangkin untuk memperkukuhkan
pemahaman pelajar terhadap proses pembelajaran dalam kelas. - Gambar hiasan

Kerja sekolah masih diang­gap membebankan pelajar manakala bagi pihak guru, kerja sekolah dianggap satu kemestian.


Dolak-dalik mengenai kerja sekolah yang tidak pernah selesai ini akhir­nya mengundang konflik dan polemik dunia pendidikan negara.

Benarkah tidak menyiap­kan kerja sekolah itu satu kesalahan besar bagi pelajar?

Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak.

Beliau berkata, kerja sekolah memang sinonim de­ngan pelajar, namun ia juga boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).


SEKIRANYA timbul konflik, ibu bapa dan guru perlu duduk bersama untuk menyelesaikannya
bukan menyalahkan antara satu sama lain. - Gambar hiasan


“Definisi kerja sekolah itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud iaitu dari sudut positif atau negatif bergantung kepada perkara utama yang disasarkan.

“Misalnya dari sudut negatif, kerja sekolah nampak membebankan namun dari sudut positif, ia boleh dijadikan pemangkin bagi memperkukuh dan memperbaiki kelemahan pelajar.

“Pelbagai penafsiran boleh diberikan mengenai kepentingan kerja sekolah kepada pelajar mengikut kriteria keperluan. Cuma jangan sampai mengganggu dan menimbulkan konflik lain,” katanya.

Beliau berkata, keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu.

“Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.

“Selain itu, ia turut me­nyasarkan objektif lain seperti meneruskan kesinambungan pembelajaran di kelas, mengisi masa seng­gang pelajar dan meningkat­kan kemahiran melalui latihan pemulihan.

“Jika melihat pada objektifnya, kerja sekolah memang penting kerana ia dilaksanakan bukan atas dasar ‘mendera’ golongan itu,” katanya.

Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada pelajar, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan.


GURU boleh bertegas sekiranya pelajar tidak membuat kerja sekolah tapi dilarang sama sekali
mengenakan hukuman berbentuk fizikal. - Gambar hiasan


“Jika menggunakan hukuman seperti itu, ia salah dan lari daripada matlamat sebenar pelaksanaan kerja sekolah itu.

“Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan ‘hukuman’ dilakukan kerana kurangnya maklumat guru atau sekolah mengenai polisi kerja sekolah.

“Dalam modul pengajian, bagi bakal guru, tiada modul khusus disediakan sebagai garis panduan untuk mereka melaksanakan pemberian tugasan kerja sekolah kepada pelajar.

“Yang banyak ditekankan ialah mengenai etika dan cara pembelajaran, namun terlepas pandang aspek keperluan etika kerja sekolah.

“Kekurangan maklumat atau pendedahan sebagai garis panduan itulah mewujudkan isu tidak diingini mengenai kerja sekolah,” katanya.

Ditanya pandangannya, adakah satu kesalahan besar jika pelajar enggan membuat kerja sekolah, beliau berkata, ia bukan kesalahan serius yang memerlukan mereka diberi hukuman keterlaluan.

Menurutnya, tidak me­nyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya.

“Saya tidak kata tangan guru terikat dalam isu ini sebab memberi kerja sekolah juga sebahagian cara membantu pelajar memperbaiki prestasi mereka.

“Kebolehan pelajar yang berbeza memerlukan satu mekanisme digunakan bagi meningkatkan pencapaian.

“Melalui kerja sekolah, pelajar yang lemah boleh dibantu untuk meningkatkan pencapaian mereka,” kata­nya.

Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, beliau berkata, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Adalah melanggar hak pelajar jika guru terus memberikan hukuman tanpa mencari punca pelajar gagal menyiapkan kerja sekolah diberikan.

“Mungkin ada penyebabnya seperti kekangan masa, keletihan, kurangnya kefahaman dan sebagainya. Guru perlu menyelidik sebelum bertindak ke fasa seterusnya.

“Tidak adil jika terus memberikan hukuman. Tidak kira sama ada guru atau pelajar, jangan jadikan isu kerja sekolah sebagai satu konflik besar,” katanya.

Ditanya adakah jika guru bersikap ‘tidak apa’ terhadap pelajar yang enggan membuat kerja sekolah seperti memanjakan golongan itu, beliau berkata, ini bukan soal manja atau tidak sebaliknya menjurus kepada sikap toleransi.

“Tanggungjawab guru adalah memberi kerja sekolah dan memastikan pelajar membuatnya.

“Namun jika pelajar eng­gan, guru tidak boleh dipersalahkan kerana bidang kuasa mereka ada hadnya.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan kesalahan pada guru,” katanya.

Beliau berharap agar pertikaian mengenai kerja sekolah tidak berpanjangan hingga mengganggu banyak aspek lain.

“Yang menjadi keutamaan ialah melahirkan pelajar berjaya, seimbang serta mampu menjadi generasi boleh dibanggakan.

“Wujudkan keharmonian dalam sistem pendidikan dan jauhi konflik,” katanya.

Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 24/02/2014

Tags: guru, konflik
Subscribe

  • Ahli Kayangan Tidak Benar

    Takiyuddin telah kelirukan Dewan bertarikh 29 Julai 2021 sepatutnya berbunyi ‘Malaysia dikelirukan dan di’ceritakan yang tidak…

  • Tidak benar

    Patutkah atau bolehkah ahli parlimen atau wakil rakyat terutama Menteri berkata tidak benar, memutar belit , mengelirukan, menipu, berbohong di…

  • Samakah pemecatan terancang dengan pendakwaan terpilih?

    Kanun kecam usaha terdesak PN lakukan pendakwaan terpilih terhadap Syed Saddiq bertarikh 22 Julai 2021 menjadi rujukan. Turut tersiar di media…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments