kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Padah berbicara di luar ilmu

KEMUNCULAN dan penyebaran fahaman antihadis di Malaysia bermula apabila golongan yang mendokong idea-idea Rashad Khalifa mengenai penentangan kepada hadis dan penemuannya ke atas ‘Kod 19’ telah menyebarkan idea-idea songsang berkenaan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Akibat terpengaruh dengan buku-buku tulisan Rashad Khalifa seperti Quran The Final Scripture, Hadis And Islam dan Quran Visual Presentation At The Miracle, Dr. Kassim Ahmad di antara pelopor fahaman antihadis memperkenalkan idea-idea berkenaan melalui beberapa penulisan dan majlis diskusi. Bagaimanapun, penyebaran fahaman menyeleweng itu disedari oleh pihak berkuasa agama dan beberapa tindakan diambil oleh kerajaan.

Pada Mei 1986, Kassim menulis buku Hadis Satu Penilaian Semula lalu membangkitkan kemarahan dan kontroversi yang hebat dalam kalangan umat Islam kerana kandungannya jelas menolak hadis sebagai sumber hukum yang autoritatif di dalam syariat Islam.

Buku tersebut akhirnya diharamkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 223 bertarikh 10 Julai 1986. Pada Oktober 1992. Kassim sekali lagi mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menulis buku lain bertajuk Hadis Jawapan Kepada Pengkritik. Buku ini membawa mesej yang sama iaitu penolakan kepada hadis dan beberapa perkara pokok di dalam syariat Islam. Berasaskan penyelewengan nyata yang boleh menggugat akidah umat Islam, kerajaan mengharamkan buku tersebut.

Setelah 19 tahun (iaitu pada 6 September 1995) Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai antihadis dengan memutuskan bahawa orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran dan fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah (iaitu buku Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik; kedua-duanya tulisan Kassim, Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith di dalam al-Quran; tulisan Idris Abdul Rahman, Bacaan; tulisan Othman Ali, The Computer Speaks-God Message To The World; tulisan Dr. Rashad Khalifa dan risalah Iqra’ terbitan Jemaah al-Quran Malaysia) ialah orang atau kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Ekoran itu, pelbagai tindakan penguatkuasaan, penjelasan dan pemurnian akidah dilaksanakan oleh kerajaan, tiba-tiba Kassim muncul kembali dengan agenda sama seperti 1986 yang lalu.

Dalam ucapannya ketika Seminar Pemikiran Kassim pada 16 Februari lalu, beliau melontarkan kritikan dengan mengatakan bahawa kemunduran umat Islam adalah disebabkan taqlid mereka kepada golongan yang dinamakan sebagai ulama yang beliau samakan seperti kasta paderi.

Kassim mungkin pakar dan ahli dalam bidang Kesusasteraan Melayu, namun tidak bermakna apa yang diucapkannya itu satu kebenaran. Kerana kebenaran itu adalah apa yang dibenarkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW bersandarkan al-Quran dan hadis dan bukannya yang berdasarkan sangkaan manusia yang menggunakan logik akal dan rasional semata-mata tanpa berpaksikan ilmu dan keimanan.

Wajib diinsafi bahawa sekiranya kita mengaku diri sebagai umat Islam, Rukun Islam dan Rukun Iman merupakan dua tunjang utama yang perlu dipegang kukuh tanpa sebarang takwilan.

Jika dua kalimah syahadah pun dipertikai, hadis yang menjadi sumber hukum juga ditolak, al-Quran digesa supaya ditafsir semula, hukum aurat wanita yang telah thabit juga ditolak dan para ulama muktabar seperti Imam as-Syafie juga dihina sedemikian rupa, maka apakah ini dikatakan ajaran Islam sebenar yang cuba didedahkan.

Sebagai umat Islam, jika kita beragama hanya berdasarkan logik akal dan rasional semata-mata tanpa keimanan, akhirnya kita akan menjadi seperti Muktazilah yang melihat agama dari sudut aqliyah semata-mata. Nas-nas naqliyah ditolak dan diperlekehkan akibat kedangkalan ilmu-ilmu teras di dalam Islam.

Kejahilan Kassim jelas kerana beliau tidak dapat membezakan antara kasta paderi dan institusi ulama dalam Islam. Beliau ternyata terimbau dengan semangat reformasi agama Kristian di Barat yang berjaya menjatuhkan dominasi gereja yang dikuasai oleh golongan paderi pada zaman pertengahan.

Kemenangan golongan ilmuwan terutama dalam kalangan ahli falsafah dan ahli sains yang sekular ke atas dominasi golongan agamawan yang telah berjalan selama beratus tahun merupakan simbol zaman moden di Barat yang berjaya menguasai pemikiran masyarakat dengan doktrin-doktrin yang sukar diterima oleh akal.

Ini ditambah dengan penyelewengan yang berlaku dalam institusi gereja terutama yang berkaitan dengan penawaran keselamatan (salvation) kepada manusia yang hanya boleh didapati melalui institusi gereja. Dengan keruntuhan autoriti agama pihak gereja itulah, akhirnya tamadun Barat menuju ke satu babak baru kemajuan dalam sejarah mereka sehinggalah ke zaman ini.

Dengan menggunakan analogi yang sama, Kassim menganjurkan bahawa umat Islam juga harus bangun menentang golongan ulama yang disamakan dengan ‘kasta paderi’ dalam tamadun Barat yang menyekat perkembangan akal umat Islam dan telah menutup pintu ijtihad di kalangan pemikir sehingga menyebabkan masyarakat Islam tidak maju seperti di Barat.

Apa yang mungkin beliau lupa atau tidak tahu menilai ialah ada perbezaan besar di antara institusi kepaderian di Barat dengan institusi ulama dalam Islam.

Pertamanya, Islam tidak berkongsi pengalaman sejarah pertembungan antara doktrin agama dengan prinsip akal sebagaimana yang berlaku dalam Tamadun Barat. Tiada juga konflik antara golongan ulama dengan ilmuwan sekular, kerana konsep sekularisme merupakan konsep yang asing dan tidak diterima dalam Islam. Islam tidak memisahkan antara agama dan sains seperti yang jelas terlihat dalam al-Quran yang banyak menyarankan manusia berfikir, menggunakan akal dan memerhatikan kejadian alam.

Yang kedua, autoriti kepaderian dalam konteks agama Kristian adalah berdasarkan kedudukan suci mereka sebagai ‘tangan Tuhan’ atau wakil Tuhan di dunia ini.

Disebabkan oleh kedudukan sakral ini maka mereka suci dan terpelihara daripada kesilapan mengikut sudut pandangan agama Kristian. Namun dalam konteks Islam, autoriti ulama adalah berdasarkan kekuatan dan kewibawaan peribadi dan ilmu yang dimiliki, bukan hanya kedudukan mereka.

Mereka diiktiraf oleh umat Islam dan komuniti ilmuan bersandarkan bukti dan hujah ilmiah yang dizahirkan melalui kewibawaan dan kekuatan ilmu, bukannya disebabkan ‘kesucian’ kedudukan mereka. Oleh yang demikian institusi ulama tiada kuasa ketuhanan seperti mengampun dosa sebagaimana institusi gereja di Barat.

Ini juga bermaksud dalam Islam, pintu ijtihad sentiasa terbuka kerana Islam bukan dimonopoli oleh satu-satu kelompok pilihan, akan tetapi ia dimiliki oleh semua yang mempunyai kewibawaan ilmu yang mampu menggalas amanah sebagai Warasatul Anbiya’.

Umat Islam juga tidak menjadi mundur disebabkan pengagungan mereka terhadap Rasulullah. Begitu juga umat Islam tidak pernah keliru antara kedudukan Allah sebagai Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad sebagai hamba dan Rasul-Nya apabila mereka meletakkan nama Muhammad bersebelahan dengan nama Allah di dinding rumah mereka. Tanyalah kepada orang yang paling daif kehidupan di ceruk kampung manapun, mereka tidak akan keliru mengenai hal tersebut.

Kalimah syahadah yang kedua iaitu "Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah Pesuruh Allah" tidak lain menggambarkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan Rasulullah termasuk dalam membawa manusia mengenali Allah seperti terkandung dalam kalimah syahadah yang pertama iaitu " Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah".

Bagaimana seseorang dapat mengetahui konsep keesaan Tuhan yang sebenar sekiranya bukan melalui Rasulullah? Bagaimana umat Islam dapat beriman, tunduk dan patuh kepada Allah, Tuhan sekalian alam melainkan dengan melalui ajaran dan contoh tauladan yang telah diberikan oleh Nabi Muhammad? Bagaimana masyarakat Islam boleh memahami al-Quran sekiranya bukan melalui huraian yang telah diberikan oleh Rasulullah? Demikianlah besarnya kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh Rasulullah sehingga al-Quran sendiri menggambarkannya sebagai rahmat kepada sekalian alam dalam ayat "Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam."

Inilah dalil yang jelas mengapa umat Islam juga harus mengangkat saksi tentang kerasulan Nabi Muhammad dan menjadikannya sebagai salah satu asas pegangan akidah dalam Islam. Ini juga membuktikan bahawa peranan yang dimainkan oleh Nabi Muhammad bukan sekadar membawa risalah al-Quran sebagai mana yang dihujahkan oleh Kassim.

Amat malang sekali mereka yang tidak dapat melihat hakikat kebenaran ajaran Islam ini akibat dikaburi oleh pemikiran songsang. Kembalilah kepada ajaran yang diredai Allah dan Rasul-Nya berpandukan kerangka ilmu, keimanan dan ketaqwaan, bukan berasaskan rasional dan logik akal semata-mata kerana kejahilan akan membawa kepada kesesatan.



DR. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN ialah Felo Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Utusan Malaysia Rencana 20140227
Tags: ilmu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments