kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Universiti perlu lebih bersikap terbuka

PINDAAN Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membenarkan mahasiswa menyertai badan politik, jelas menunjukkan sikap keterbukaan dan kepercayaan pihak kerajaan terhadap golongan mahasiswa untuk menyertai mana-mana parti politik yang diminati tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan dalam akta berkenaan.

Di dalam hal ini, pihak kerajaan jelas menganggap mahasiswa kini semakin matang dan rasional dalam menentukan hala tuju dan pilihan yang dibuat dan tidak salah jika diberikan peluang dan ruang untuk mereka melibatkan diri di dalam arena politik hanya di luar kampus, bagi mencari landasan perjuangan yang mereka inginkan.

Namun adakah sikap keterbukaan pihak kerajaan itu diiringi oleh sikap keterbukaan pihak universiti terhadap mahasiswa?

Universiti Sains Malaysia (USM), merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai Parlimen Mahasiswa iaitu yang pertama di Malaysia, dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar USM (DPP).

Parlimen Mahasiswa USM mencerminkan sikap keterbukaan yang diambil oleh universiti berkenaan dalam memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk membahaskan segala isu sama ada dalam kampus, di peringkat nasional mahupun di peringkat global.

Selama empat tahun Dewan Perundingan Pelajar bertapak di USM, jelas membuktikan bahawa suara mahasiswa tidak disekat AUKU dan mendapat perhatian sama ada di peringkat tertinggi universiti mahupun kerajaan.

Hal ini membuktikan penubuhan Parlimen Mahasiswa di universiti merupakan satu wadah baru keterbukaan pihak universiti terhadap golongan mahasiswa.

Saya sebagai Speaker Parlimen Mahasiswa USM Keempat ingin mencadangkan kepada seluruh universiti di Malaysia agar menubuhkan Parlimen Mahasiswa di universiti masing-masing sebagai satu langkah keterbukaan pihak universiti dalam memberikan ruang kepada mahasiswa terutama sekali pemimpin-pemimpin pelajar membahaskan segala isu sama ada dari segi soal kebajikan atau pembangunan mahasiswa, isu-isu semasa dan sebagainya demi mewujudkan budaya perbahasan yang lebih bersifat rasional, profesional dan diplomasi.

Mahasiswa selaku agen yang penting dalam memacu pembangunan sesebuah negara tidak wajar `ditutup’ mulut mereka. Apa gunanya iltizam politik yang dilaungkan oleh kerajaan, jika tidak disahut oleh pihak universiti dalam melahirkan mahasiswa yang lebih bersikap matang.

Parlimen Mahasiswa USM yang telah bersidang sejak 23 Oktober 2010 sehingga kini telah berjaya mengusulkan dan menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan mahasiswa bahkan juga isu-isu di peringkat nasional.

Jelas, penubuhan Parlimen Mahasiswa ini bukan sekadar menjadi medan perbahasan malah merupakan model baharu dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan pada masa akan datang.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa ditubuhkan di seluruh universiti terutama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), golongan mahasiswa tidak akan melihat universiti sebagai ‘penjara’ yang mengongkong suara dan pandangan mereka sebaliknya medan untuk turut terlibat dalam pembangunan negara.

Lebih penting, univerisiti akan dilihat bersama-bersama kerajaan dalam pembangunan modal insan yang cemerlang sekali gus mengiktiraf suara mahasiswa dalam penggubalan dasar universiti.



MOHAMAD HAZIQ AL AMIR MOHD ialah Speaker Dewan Perundingan Pelajar USM (Parlimen Mahasiswa).Utusan Malaysia Rencana 20140227
Tags: universiti
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments