kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan takjub ekonomi kapitalis

BARU-BARU ini dilaporkan Facebook Inc. mengambil alih pengendali mesej popular, WhatsApp dengan harga RM62.66 bilion. Nilai pembelian ini mengatasi kekayaan individu terkaya di Malaysia iaitu Robert Kuok. Berita mengenai pembelian ini adalah strategi Facebook bagi menjadikan ia rangkaian sosial terbesar di dunia sekali gus menjadi kuasa monopoli tunggal rangkaian sosial di dunia.

Strategi ini tidak langsung mengejutkan kerana ia mampu membuatkan sesuatu perniagaan itu bertahan dengan lebih lama dan pada masa sama mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan kuasa monopolinya.

Kita tidak perlu terlalu takjub dengan cara yang digunakan oleh syarikat-syarikat barat termasuk Amerika Syarikat (AS) yang sejak dahulu lagi ingin mempertahankan kuasa ekonomi dan perniagaan mereka.

Sekarang ini pun, AS cukup gentar dengan kuasa ekonomi China, maka pelbagai cara, kaedah, strategi dan perjanjian peringkat antarabangsa bakal digunakan bagi membolehkan negara itu tetap kekal sebagai kuasa ekonomi dunia. Ini sudah diketahui umum. Sebagai kuasa ekonomi dunia merangkap polis dunia yang tidak ditauliahkan oleh mana-mana negara, AS sering mengasak dan menyerang negara-negara yang boleh mengugatnya dan tidak terkecuali yang tidak disukainya.

Ambillah iktibar apa yang telah dilakukan ke atas negara-negara Islam dengan menyerang tanpa sebarang bukti jelas. Sudah tentu, serangan demi serangan ke atas umat Islam dan negara Islam hanya kerana AS dan negara-negara barat amat khuatir dengan kebangkitan umat Islam. Mereka amat bimbang jika umat Islam dunia bangkit menguasai segala-galanya dan sudah tidak peduli dan mengharapkan mereka. Oleh itu, serangan demi serangan dibuat bagi mengekang kebangkitan umat Islam dunia.

Tidak semestinya serangan ini dilakukan dengan cara ketenteraan. Melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO), dengan strategi halus misalnya menguar-uarkan hak asasi manusia berasaskan pemikiran barat seperti mahukan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) diiktiraf pun sudah cukup menunjukkan tembelang mereka. Disusuli dengan serangan-serangan ke atas hak orang Islam seperti menyerang kandungan khutbah Jumaat dan isu kalimah Allah menggambarkan mereka ini tidak akan duduk diam sehinggalah umat Islam menurut perintah dan kata mereka.

Itu belum termasuk mereka cukup seronok apabila umat Islam sendiri terkejar-kejar pengiktirafan ciptaan mereka dan seterusnya mengagung-agungkan pengiktirafan mereka.

Kerja mereka lebih mudah apabila umat Islam berpecah-belah dan ditanamkan persengketaan dan permusuhan sehingga menjurus kepada pergaduhan dan bunuh-membunuh sesama Islam. Malang sekali jika masih ada umat Islam yang masih tidak mahu mengakui hakikat ini. Hanya kerana kuasa yang sekejap, terdapat segelintir umat Islam sanggup ‘menikam’ saudara seislam. Umat Islam meskipun ramai tetapi umpama buih di lautan luas yang tidak mampu mempertahankan hak-hak mereka, bahkan disuruh pula mengikut cara hidup orang bukan Islam.

Negara kita tidak terkecuali. Sejak akhir-akhir ini nampak sangat serangan demi serangan dibuat ke atas agama Islam dan umatnya. Ia berlaku secara terang-terangan. Melalui media-media sosial termasuk di Facebook. Sudah semakin kurang perasaan hormat-menghormati. Yang ada provokosi sehingga menyebabkan umat Islam benar-benar terasa terguris. Apabila umat Islam bertindak balas, mereka cepat-cepat menggelar mereka ini dengan pelbagai gelaran. Akhirnya, ia seolah-olah menampakkan umat Islam itu yang bersalah walhal mereka yang memulakan provokasi ke atas umat Islam.

Semua ini berlaku kerana umat Islam Malaysia semakin berpecah-belah. Punca utamanya tidak lain tidak bukan bermula daripada pegangan politik. Hanya kerana politik sanggup bergaduh sesama Islam. Maka, lebih mudahlah musuh-musuh Islam memainkan jarum mereka menghasut umat Islam berpecah-belah.

Sedangkan umat Islam Malaysia sewajarnya menjadi yang benar-benar kuat dari semua sudut. Bantu-membantu untuk memperkasakan umat Islam Malaysia. Bukannya asyik dengki-mendengki. Umat Islam Malaysia perlu berpasak di alam realiti agar tidak dibuai mimpi indah seolah-olah hari esok sentiasa milik mereka. Hakikatnya, kekuatan umat Islam Malaysia masih tidak digembleng sepenuhnya. Misalnya dari segi penguasaan ekonomi yang lemah walhal umat Islam Malaysia mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri berbanding bukan Islam.

Sebagai contoh, dilaporkan bahawa negara kita menduduki tempat teratas destinasi paling mesra pelancong Islam. Apa maksudnya? Maknanya negara kita yang majoriti penduduknya beragama Islam paling disukai oleh pelancong-pelancong Islam. Tidakkah ini menggambarkan bahawa Malaysia destinasi halal paling mesra bagi pelancong-pelancong Islam di seluruh dunia? Umat Islam perlu merebut peluang ini bagi meningkatkan taraf ekonomi melalui pelancongan halal.

Sejak sekian lama Malaysia mengungguli kewangan Islam di dunia, maka pelancongan yang berorientasikan halal juga sewajarnya direbut oleh umat Islam Malaysia.

Kewangan, pelancongan dan ekonomi Islam sewajarnya menjadi teras kebangkitan umat Islam Malaysia. Ekonomi kapitalis sudah tidak boleh dipercayai lagi. Bahkan, terdapat negara-negara barat dan sarjana-sarjana barat semakin memandang tinggi ke atas kewangan Islam. Amat malang sekali jika satu hari nanti kewangan Islam dunia pula dikuasai oleh negara-negara barat. Sudahlah di negara kita ini pun kewangan Islam dikuasai oleh bukan Islam.

Malaysia sering menjadi model negara Islam antarabangsa tetapi malangnya ekonomi Islam di Malaysia tidak dikuasai sepenuhnya oleh umat Islam Malaysia itu sendiri. Sebab itulah kita lihat berbilion harta umat Islam Malaysia pegun begitu sahaja tanpa diusahakan bagi meningkatkan ekonomi umat Islam Malaysia.

Daripada kita asyik berseteru hal-hal politik yang tidak menguntungkan umat Islam Malaysia, lebih baik kita tumpukan kepada usaha untuk menjadikan ekonomi Islam dikuasai oleh umat Islam Malaysia.

Umat Islam Malaysia perlu yakin bahawa suatu hari nanti ekonomi Islam mampu mengambil alih kedudukan ekonomi kapitalis yang sudah terbukti gagal mentadbir urus ekonomi dunia dengan baik. Ketika itu, penguasaan ekonomi Islam akan menjadi model kepada negara-negara Islam lain. Dengan ini, ia akan menjadi antara penampan paling kukuh daripada serangan bertali arus musuh-musuh Islam ke atas umat Islam sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Rohami Shafie  ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM). Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 20140226

Tags: facebook, ict, internet, kapitalis, twitter, whatsapp
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Angkuh dari wajah

    Selagi kita terus tersilap mengenai keyakinan untuk kecekapan, kita akan berakhir dengan terlalu ramai bertemu dengan mereka yang tidak cekap yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments