Cuba anda berfikir di luar kotak. Mungkin anda boleh mendapat sebuah rumah dengan menggunakan klip kertas yang tidak berharga itu. Itulah yang dilakukan oleh Kyle MacDonald dari Kanada. Beliau menggunakan sebatang klip kertas berwarna merah untuk membuat urus niaga atau transaksi perniagaan. Hasilnya beliau memperoleh sebuah rumah dua tingkat di Kipling, Saskatchewan.
Perubahan teknologi semasa
Kreativiti dan inovasi menggerakkan ciptaan. Bayangkan dunia komunikasi, ilmu dan hiburan yang berubah akibat teknologi semasa. Dunia pengkomputeran mengubah cara kita berkomunikasi, mendapat maklumat, bersosial dan bermasyarakat. Kita hidup dalam dunia telefon pintar dan dunia siber. Media sosial mengubah segala hukum-hakam penyebaran maklumat. Siapakah di belakang pencipta peralatan dan perisian ini?
Ada pandangan mengatakan industri lama tidak lagi menjanjikan pulangan besar. Syarikat yang menggaji 10 pekerja mempunyai nilai modal berbayar berpuluh kali ganda daripada syarikat yang menggaji 10,000 orang pada masa ini. Kreativiti dan inovasi menentukan juara baharu dalam dunia niaga. Banyak syarikat harus mempersiapkan diri menghadapi perubahan baharu ini.
MacDonald kreatif sama seperti pengasas Microsoft, Facebook, Twitter dan lain-lain juga. Bezanya, beliau tidak menjejaskan kehidupan berbilion manusia.
MacDonald masih menggunakan cara lama malah primitif. Tetapi hasilnya luar biasa sekali. Dengan hanya berbekalkan sebatang klip kertas, beliau memulakan urus niaganya. Beliau menggunakan kaedah ‘barter trade’ untuk menukarkan klip kertas itu dengan barangan lain. Dari 14 Julai 2005 beliau membuat tukaran dagang hinggalah memperoleh rumah pada 5 Julai 2006. Kesemuanya membabitkan 14 transaksi.
Sememangnya cara ini pelik dalam konteks urus niaga semasa. Tetapi MacDonald mengajar kita satu hal iaitu memiliki rumah bukan sekadar dengan cara tunai atau menggunakan kemudahan pinjaman bank. Rumah boleh dimiliki dengan sistem pertukaran primitif. Malah bermula dengan klip kertas. Ini mungkin bukan cara biasa atau konvensional tetapi hasilnya sama sahaja.
Demikian kaedah MacDonald yang memungkinkan kos rendah, menggunakan bahan terbuang dan tidak berharga dan berbekalkan keyakinan. Beliau menghasilkan sebuah buku mengenai pengalaman itu, One Red Paperclip: The Story of How One Man Changed His Life One Swap At A Time.
Kita miliki banyak anak muda yang berjaya dalam dunia perniagaan menggunakan pendekatan yang berlainan ini. Mereka membuat nama dan kemasyhuran. Syarikat mereka bernilai berjuta-juta ringgit. Baca sahajalah buku Non-Conforming karya Datuk Azrin Mohd Noor pengasas syarikat Sedania. Beliau contoh kejayaan ahli perniagaan muda yang berfikir di luar kotak.
Teroka perniagaan baharu
Prinsip beliau antara lain ialah tidak akan membabitkan diri dalam perniagaan yang telah sedia wujud pada zaman ayahnya. Ini bermaksud beliau akan mencari ruang perniagaan baharu yang bukan konvensional. Bagi beliau, yang baharu akan menggantikan yang lama. Urus niaga era lama mungkin tidak lagi cocok untuk era ini.
Orang seperti MacDonald dan Azrin mahu membuktikan bahawa cara baharu yang belum dicuba sebenarnya ada potensi besar. Mereka mengambil risiko. Mereka menerima kemungkinan untuk gagal. Kegagalan berada di ambang pintu pada sepanjang masa.
Orang seperti ini tidak serik jikalau mereka kecundang kali pertama. Mereka akan bangun untuk mencuba dan mencuba lagi. Inilah teras pemikiran generasi yang mahu membuat perubahan.
Johan Jaaffar Berita Harian Rencana 2014/02/27 - 08:36:45 AM