kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dunia muzik Pak Ngah

KOMPOSER dan penulis lirik terkenal, Datuk Suhaimi Mohd. Zain, 56 atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah sudah begitu sinonim sebagai komposer yang mengubah lagu-lagu berentak tradisional dan etnik. Karyanya bukan sahaja dialunkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tetapi juga penyanyi-penyanyi irama tradisional dan etnik lain termasuk Noraniza Idris, Syura dan Zehra Zambri.

Lagu-lagu seperti Cindai, Balqis, Ya Maulai, Hati Kama (lagu duet Siti dengan Noraniza Idris) dan Nirmala merupakan senarai lagu ciptaan Pak Ngah untuk penyanyi itu yang begitu mendapat tempat di hati peminat seni hiburan tempatan. Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini dikenali sebagi seorang yang bersahaja dan kelakar. Malah sesi fotografi bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini sering diisi dengan senda gurau beliau.

Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam bidang seni, Pak Ngah memberitahu, beliau amat meminati alat muzik gitar sejak di bangku sekolah lagi.

"Masa di kampung dulu, saya dan rakan-rakan sering menghabiskan masa dengan bermain gitar dan beberapa alat muzik lain pada hujung minggu. Selepas tamat pemeriksaan MCE, saya ditawarkan sebagai pemuzik sepenuh masa di Kompleks Budaya Negara (KBN) sekitar tahun 1977.

"Selepas menerima tawaran ini, saya mengambil peluang mempelajari seni muzik dan menyertai kelas muzik tradisional termasuk mempelajari ghazal dan bermain gambus daripada pemain gambus terkenal Malaysia iaitu Fadhil Ahmad," ujar anak kedua daripada lima adik beradik ini.

Dunia Muzik Pak Ngah
















Studio muzik seperti rumah kedua buat Pak Ngah. Foto JEFFRI IRAN
Cerita Pak Ngah lagi, beliau dan rakan-rakannya di KBN sering mewakili Malaysia untuk mengadakan persembahan kebudayaan di luar negara, terutamanya di negara-negara Eropah.


Pak Ngah mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dengan mengikuti banyak kursus dan seminar muzik dari dalam dan luar negara sehingga yakin untuk menubuhkan syarikat miliknya sendiri, Pak Ngah Production Sdn. Bhd. yang terletak di Setapak.


Syarikat tersebut telah mula beroperasi sejak 26 Oktober 1995 yang banyak menjayakan program-program pentas dan produksi drama televisyen sehinggalah penghasilan album.

Kerjaya seni Pak Ngah bermula sebagai Pereka Bunyi atau 'Sound Designer' pada tahun 1987 untuk filem Puteri.

Beliau terus mengorak langkah dalam bidang muzik sebagai pencipta lagu.

"Sebagai pencipta lagu, penulis lirik dan penerbit album, album 'Ala Dondang' nyanyian Noraniza Idris pada tahun 1997 telah menaikkan nama saya dengan menghasilkan lagu-lagu berentak tradisional dan etnik kreatif.

"Dua tahun kemudian, saya terbitkan album Cindai dan lagu tersebut nyanyian Siti Nurhaliza mendapat sambutan yang begitu memberansangkan," katanya yang turut menghasilkan lagu-lagu tema dan lagu-lagu patriotik.

Anugerah

Tambah Pak Ngah lagi, lagu beliau sebenarnya sudah popular apabila lagu hari raya bertajuk Nostalgia Aidilfitri nyanyian Sharifah Aini tetapi pada masa itu nama Pak Ngah belum dikenali ramai.

Dalam pada itu, album Cindai telah mendapat pengiktirafan lima platinum pada tahun 2000 atas penjualan melebihi 250,000 unit serta memenangi banyak anugerah muzik. Di samping menghasilkan pelbagai lagu, Pak Ngah sering diberi tanggungjawab sebagai pengarah muzik untuk acara-acara atau program berskala mega di serata pelosok tanah air. Pada tahun 1980, Pak Ngah menjadi pengarah muzik untuk Pembukaan dan Penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga menjayakan Perayaan Sambutan Ambang Merdeka, dan Perarakan Raksasa Sempena 50 Tahun Merdeka.

Selain itu, Pak Ngah juga menghasilkan lagu-lagu tema dan penataan bunyi.

Senarai teater yang menggunakan khidmat beliau sebagai pengarah muzik ialah teater muzikal Patriot.

Mengimbau kejayaan beliau dalam muzik tradisional, Pak Ngah berharap agar lagu tradisional ini dapat berkembang dengan meluas dan diterima oleh seluruh masyarakat dunia.

"Namun ini bukanlah suatu kerja yang mudah. Tugas membawa dan menunjang budaya seni ini perlulah dipikul bersama. Tidak kira orang perseorangan ataupun badan-badan berkumpulan.

"Saya berharap perjuangan untuk memartabatkan muzik tradisional ini dapat diteruskan oleh generasi akan datang," katanya.

Kini Pak Ngah masih lagi aktif dalam membangunkan muzik tradisional dan kesenian Melayu dengan melibatkan diri sebagai penceramah pelbagai bengkel di dalam dan luar negara.

Selain itu, Pak Ngah juga sibuk menguruskan restoran miliknya, PakNgah Cafe yang juga terletak di Setapak, Kuala Lumpur bersebelahan dengan syarikatnya.

"Saya sebenarnya tiada pengalaman dalam perniagaan makanan. Idea ini datang secara spontan. Saya dan anak saya terfikir untuk membuka restoran ini dengan menggunakan jenama saya sendiri. Menu yang kami ketengahkan juga banyak berkonsep 1Malaysia dengan menyediakan makanan Melayu, Cina dan India tetapi kami turut memenuhi permintaan ramai dengan menyediakan menu Barat," katanya yang bercadang untuk membuka francais.

Ditanya tentang aktiviti pada masa lapang, Pak Ngah mengakui tidak mempunyai masa rehat yang cukup kerana jadual seharian dipenuhi dengan tugasan kerja. Jika ada kelapangan pun, Pak Ngah akan memberi tumpuan kepada restorannya.

"Selain kerja, saya sebenarnya lebih suka menghabiskan masa di rumah. Isteri saya, Sharifah Muhani banyak memberi sokongan kepada saya. Dia dan anak-anak sangat memahami kerjaya saya yang boleh dikatakan tidak mempunyai masa terluang," ujar beliau.



RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH adawiyah.koh@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140302
Tags: muzik, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments