kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menanti PM termuda?

BARU-BARU ini Itali mendapat Perdana Menteri baru yang dikatakan termuda dalam sejarah negara itu, Matteo Renzi. Beliau dikatakan dua bulan lebih muda ketika pemimpin diktator, Benito Mussolini memimpin negara itu pada 1922.

Renzi, 39, yang sebelum ini merupakan Datuk Bandar Florence, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Itali yang baharu pada Isnin lepas dan berhasrat untuk kekal dengan jawatan itu bagi tempoh empat tahun sehingga 2018.

Kebolehan pemimpin ini bakal teruji apabila mengetuai Kabinet yang diwakili menteri berusia antara 40-an dan 50-an, selain separuh daripada mereka terdiri daripada wanita serta kemelut ekonomi yang masih belum nampak jalan penyelesaiannya.

PM Termuda ?


Matteo Renzi
Tanpa nama besar dalam politik, kegagalan atau kejayaan kerajaan baharu ini menjadi tanggungjawab yang harus dipikul oleh Renzi selepas beliau menyingkirkan Perdana Menteri, Enrico Letta pada minggu sebelumnya.

Dalam soal apa yang berlaku di Itali, apa yang menarik perhatian saya adalah apakah harapan rakyat negara ini dalam soal usia dan kepimpinan. Apakah mereka masih melihat seniority dan usia sebagai keutamaan dalam memilih pemimpin.

Atau mungkin atas faktor dunia yang semakin hilang sempadan dek penguasaan teknologi akan memungkinkan rakyat lebih ‘berselera’ memilih pemimpin yang lebih muda dan belum banyak ‘dosa’.

Sesungguhnya negara ini tidak pernah ketandusan pemimpin-pemimpin berkebolehan yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Lihat sahaja sejarah, ramai pemimpin UMNO terutamanya bermula sejak muda dan ada pula yang diberi peluang untuk berkhidmat dengan jawatan tinggi walaupun mungkin usia dan pengalaman baru setahun jagung.

Namun mereka ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menabur jasa dan bakti walaupun ada yang sinis tentang pengalaman dan keupayaan mereka.

Melihat kembali sejarah awal penubuhan UMNO, Allahyarham Tun Abdul Razak telah dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO ketika berusia 29 pada tahun 1951. Beliau juga mencatat sejarah sekali lagi sebagai Menteri Besar Pahang termuda iaitu sewaktu berusia 33 tahun pada tahun 1955.

Jejak beliau ini kemudian diikuti oleh anaknya yang kini menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam apabila turut sama menjawat Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun, sekali gus memadam rekod bapanya.

Selain mereka sekadar menyebut beberapa nama, Tan Sri Isa Samad juga pernah diberi peluang untuk melangkah bergaya dalam politik apabila dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan ketika hanya berusia 33 tahun.

Tan Sri Shahrir Samad juga antara mereka yang diberi peluang pada zamannya meniti kemilau politik pada usia muda. Pernah mencatat sejarah sebagai Setiausaha Politik termuda kepada Tun Musa Hitam. Beliau turut mencipta nama dalam jawatan Kabinet sebelum berpatah arang menubuh parti baru dan kemudian kembali ke UMNO.

Mungkin tidak sah jika tidak dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang diberi peluang mentadbir negeri terkaya di Malaysia pada usia 35 tahun walaupun langsung tidak mempunyai pengalaman.

Sekadar menyebut beberapa nama orang muda yang diberi peluang menjawat jawatan kanan dalam kerajaan, kini keadaan seolah-olah jauh berbeza.

Tidak ramai golongan belia yang diberi jawatan kanan mahupun portfolio penting dalam kerajaan. Melihat kepada satu-satunya wakil orang muda dalam Kabinet, Khairy Jamaluddin yang kini dilantik Menteri Belia dan Sukan, beliau hanya muda setahun jika dibandingkan dengan Perdana Menteri Itali.

Malah pada usia sekitar Khairy, Musssolini sudah pun menjadi pemimpin negaranya berdepan era peperangan di Eropah.

Sesungguhnya orang sebeginilah yang tercabar ego dirinya apabila ada pihak mempersoalkan keupayaan jiwa mudanya.

Namun mereka ini kemudian berjaya membuktikan kepada khalayak dan mereka yang lebih berusia, bukan sahaja keupayaan memimpin yang lebih baik malah mampu mengawal ego mudanya daripada tersasar jauh.

Atas kenyataan itu, nyatalah kepimpinan bukanlah spesifik kepada mereka yang lebih berusia sahaja tetapi perlu ada ramuan supaya paduan antara yang lama dan muda boleh mencipta kejayaan yang lebih membanggakan.

Seharusnya pada era orang muda bakal menjadi penentu utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), peluang dalam kepimpinan sama ada dalam parti dan kerajaan perlu dibuka seluas-luasnya dalam usaha melatih dan membimbing bakal pemimpin mahupun Perdana Menteri negara ini.

Mungkin sudah sampai masanya peluang dibuka kepada orang muda, mungkin mereka yang berusia di awal 30-an untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan dengan menjawat jawatan lebih penting. Mungkin juga akan sampai masanya nanti Perdana Menteri Malaysia terdiri daripada mereka yang berusia awal 40-an atau mungkin kurang daripada itu.

Tidak ada salahnya memberi peluang kerana Nabi Muhammad SAW sendiri dilantik menjadi Rasul ketika berumur 40 tahun, iaitu puncak kematangan umur seorang pemuda.

Janganlah menjadi seperti ketua pembangkang yang masih mahu ‘berebut’ menjadi Menteri Besar Selangor pada usia yang selayaknya menjaga cucu.

Mungkin hanya nafsunya sahaja muda tetapi bukan dirinya yang semakin dimamah usia...

HAFIZAHRIL HAMID hafizahril@yahoo.com.my Utusan Malaysia Rencana 02/03/2014

Tags: ketua, muda, pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments