kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kehebatan Bohemian Rhapsody

SEMASA pertandingan akhir program lawak baru-baru ini, Nabil tampil dengan lagu yang menceritakan suka-dukanya dalam pertandingan. Jenakanya memang lawak tetapi saya terusik perasaan bila ada yang tidak mengetahui lagu asal nyanyian Nabil tersebut, malah dianggap sebagai lagu asli ciptaan Nabil. Itu salah fakta.

Lagu sebenarnya ialah Bohemian Rhapsody ciptaan The Queen iaitu kumpulan rock British yang ditubuhkan pada 1970. Atau lebih tepat digubah oleh vokalis utamanya, Freddie Mercury pada 1975.

Tiada salah apa-apa Nabil menggunakan lagu ini untuk bahan lawaknya. Malah, Nabil membawa dengan baik lirik akhir (dicampur aduk dengan ayat meraban versi Nabil). Rangkap akhir dalam lirik asal ialah:

Nothing really matters,

Anyone can see,

Nothing really matters,

Nothing really matters to me.

Anyway the wind blows.

Generasi Y tidak boleh disalahkan jika tidak tahu lagu Bohemian Rhapsody kerana The Queen lebih dikenali dengan lagu We Are The Champions yang sering berkumandang pada acara sukan terutama bola sepak.

Namun, ketahuilah Bohemian Rhapsody ialah lagu klasik yang dianggap ramai pihak, sama ada penganalisis industri mahupun pendengar biasa sebagai antara lagu terbaik pernah dicipta.

Bohemian Rhapsody ialah lagu yang mempamerkan sudut kreativiti Freddie yang luar biasa pada zamannya. Secara ringkasnya, lagu ini mencantumkan tiga genre iaitu cappella, opera dan rock. Lagu ini tiada korus. Ini menjadikannya sangat panjang iaitu 5 minit 55 saat. Sekali gus bermakna sulit untuk disiar di radio.

Lagu ini adalah antara yang paling banyak dianalisis daripada segi lirik dan muzik dalam sejarah muzik global. Ramai beranggapan lirik ini ditulis oleh Freddie berkaitan penyakit AIDS yang dihidapinya.

Freddie yang lahir pada 5 September 1946 meninggal dunia disebabkan bronchopneumonia kesan daripada AIDS pada 24 November 1991, sehari selepas membuat pengumuman mengenai penyakitnya.

Freddie Mercury ialah seorang berketurunan Parsi dengan nama asalnya, Farrokh Bulsara, lahir di Tanzania dan membesar di negara yang ketika itu dijajah British. Dia kemudiannya belajar di India sehingga usia belasan tahun sebelum berhijrah ke London bersama keluarganya pada usia 17 tahun.

Teori mengatakan Freddie menceritakan perihal penyakit AIDS ditolak kerana pada 1975, dia belum bertukar menjadi homoseksual. Tetapi terdapat pengkaji mencatatkan kemungkinan pergolakan jiwa pada Freddie yang ketika itu, sedang mengalami desakan perasaan setelah berkahwin dengan isterinya selama tujuh tahun.

Fantasi

Freddie semasa hidup, tidak pernah mendedahkan apa sebenarnya tersirat di sebalik lirik lagu Bohemian Rhapsody.

‘‘Lagu itu adalah antara lagu yang memiliki rasa fantasi tentangnya. Saya fikir orang patut dengar sahaja lagu itu, fikirkannya, dan buat keputusan sendiri tentang apa makna lagu itu kepada mereka...‘Bohemian Rhapsody’ tidak datang dari langit. Saya ada buat penyelidikan walaupun hanya sepintas lalu dan mengajuk opera. Mengapa tidak?" kata Freddie dalam satu temu bual.

Gitaris utama The Queen, Brian May berkata, tiada siapa akan tahu apa sebenarnya cerita di sebalik Bohemian Rhapsody dan jika dia tahu pun, dia takkan memberitahunya kepada umum.

‘‘Ini kerana saya tidak akan memberitahu orang apa yang tersirat dalam lagu kami. Cara itu hanya akan memusnahkan (lagu) kerana aspek hebat tentang lagu hebat ialah anda boleh mengaitkannya dengan pengalaman peribadi anda sendiri dalam kehidupan anda.

‘‘Saya rasa Freddie memang bertarung dengan permasalahan dalam kehidupannya, yang mana dia memutuskan untuk melakarnya dalam lagu. Saya rasa adalah lebih baik membiarkan sahaja persoalan tergantung,’’ kata May.

Satu lagi kisah Bohemian Rhapsody ialah lagu ini merupakan lagu paling mahal pernah diterbitkan. Pengkaji percaya kos mahal penerbitannya disebabkan lagu itu adalah pertama seumpamanya, luar biasa pernah digubah pada zamannya. Ramai beranggapan lagu itu mendahului zaman kerana tahap rumit teknik yang digunakan untuk merakamkan lagu tersebut ke piring hitam dan kaset.

The Queen mengadakan latihan selama tiga minggu sebelum memulakan proses rakaman dan kemudian, mengambil masa tiga minggu lagi untuk menyiapkan rakaman. Lagu itu tidak dirakam sekali gus tetapi dipisahkan mengikut seksyen berdasarkan irama dan melodi.

Itu belum lagi menyentuh tentang adunan suara Freddie serta Brian May dan Roger Taylor selaku suara latar. Seksyen lagu opera dirakam secara berterusan untuk tempoh 10 hingga 12 jam sehari dan mereka melakukannya sehingga ke paras had pita rakaman.

Apabila lagu itu diterbitkan sebagai single, Bohemian Rhapsody mencatat kejayaan dengan berada di puncak Carta UK Singels selama sembilan minggu dan terjual lebih sejuta unit pada akhir Januari 1976.

Bohemian Rhapsody mendaki semula carta pada 1991 selama lima minggu berikutan kematian Freddie, sekali gus menjadikan lagu itu sebagai single terbaik UK sepanjang masa.

Lagu Bohemian Rhapsody karya The Queen ini adalah sekelas dengan lagu terbaik pernah digubah dan menjadi nostalgia kepada sesiapa yang pernah mendengar serta menyukainya iaitu Imagine dendangan The Beatles, Wind of Change (Scorpions), Smells Like Teen Spirit (Nirvana) dan Unforgiven (Metallica). Terima kasih Nabil kerana mengembalikan memori lagu hebat ini.



Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan Malaysia Rencana 20140302
Tags: lagu, lawak, nabil, queen
Subscribe

  • AK6069 to AK 5123 .. the end

    Dec 30, 2010, a journey had to come to an end. Starting 330am, Dec 26 it's now time for us to be back home. My wife packed all the things needed and…

  • AK6069 Tumuhud Nunuk Ragang Dogo 2

    Dec 29, 2010. Woke up 630am, after Subuh prayers, still feeling the pain, dozed again as I cannot do anything; finally 9.30am I called on Fred and…

  • AK6069 Tumuhud Nunuk Ragang Dogo 1

    Dec 28, 2010. Morning had to be ready for AK6069, the children still in bed. Went down to buy nasi kuning and nasi berlemak and hot drinks for mak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments