kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Macam mana warga asing boleh berniaga?

Cuba baca kad bisnes ini.

RIPAIR ROMHA CHAT ROMHA KHAN

Ekat Batoo Pelestar Pasang

Boom Boom Pasang Mosy

ANDA faham atau tidak? Bahasa Melayunya lintang pukang.

Apa makna di sebalik kad bisnes itu. Pemiliknya bernama Khan. Biasanya yang guna nama keluarga ini ialah bangsa Pakistan atau India Muslim. Tetapi daripada ejaan dan sebutan perkataan itu, kita boleh meneka pemiliknya ialah warga asing.

Hebatnya warga asing ini yang boleh menjadi kontraktor rumah.

Barangkali bukan Khan seorang sahaja yang mula menceburi bidang kontraktor ini. Ramai lagi rakannya mungkin berbuat demikian.

Hal ini bukan pelik sebab di kawasan perumahan sekarang semakin ramai pemotong rumput warga Bangladesh dan Pakistan mencari makan dengan kerja itu. Dulu mereka datang mengayuh basikal tetapi semakin ramai yang sudah menunggang motosikal.

Dahulu mereka datang sebagai pekerja ladang dan buruh kasar. Tetapi sekarang, mereka meraih kekayaan berganda dengan membuka perniagaan. Mereka berniaga tikar, permaidani, tudung, kain, keperluan am dan sebagainya.

Peniaga warga asing sudah berada dalam lot-lot kedai arked, pasar minggu dan pasar malam. Mereka menguasai perniagaan borong dan runcit dan hidup senang-lenang. Daripada sekecil-kecil perniagaan hingga sebesar-besarnya. Tinjaulah sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Nilai 3.

Sudah tentu kita tertanya-tanya, orang tempatan hendak dapatkan lesen niaga pun susah, inikan pula warga asing. Tetapi mereka dapat juga berniaga dengan mudah. Seolah-olah mereka memiliki lesen perniagaan tanpa sekatan?

Bagaimana mereka dibenar menubuhkan syarikat dan berniaga tanpa sebarang sekatan serta pemantauan pihak berkuasa?

Ini yang sudah berlaku sejak sekian lama. Kalau dituduh ada unsur penyelewengan terhadap pemberian lesen atau lesen dipajakkan atau dijual kepada warga asing, tidak boleh ditolak mentah-mentah.

Sehingga hari ini begitu banyak peniaga warga asing sekarang - menunjukkan pihak berkuasa gagal bertindak terhadap golongan itu. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk tanggapan berlaku rasuah dalam melindungi peniaga asing itu.

Jika andaian saya salah, sila betulkan. Tetapi agak pelik juga, mustahil penguat kuasa kita tidak nampak kelibat peniaga warga asing di kawasan mereka, kecuali jika mereka telah diberi suapan supaya tidak mengambil tindakan atau membutakan mata terhadap kehadiran peniaga warga asing ini.

Mewujudkan koloni

Kita harap janganlah kebanjiran peniaga warga asing ini akhirnya mewujudkan koloni mereka di kawasan tertentu hingga dipanggil Little Bangladesh, Little Myanmar, dan Little Pakistan. Cukuplah kita ada China Town dan Little India.

Warga asing itu sepatutnya hanya bekerja di sektor yang dibenarkan dan bukan menjalankan perniagaan atau jadi kontraktor kecil. Mereka sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan.

Mereka hanya layak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan kerajaan Malaysia iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan. Tak ada pun disebutkan mereka dibenarkan berniaga.

Entahlah, mungkin orang Melayu masih suka makan gaji, malas menanggung ketidaktentuan rezeki. Jadi apa lagi nak dikatakan nasib orang Melayu dan bumiputera sekarang. Peluang niaga semakin ‘diragut’ dan diisi oleh orang pendatang.

Orang Melayu ada juga cuba-cuba berniaga tetapi ramai juga kecundang. Tapi yang menghairankan kenapa warga asing boleh berniaga dan berjaya di negara ini. Rahsianya mereka sanggup jual pada harga paling rendah sebab tiada sebarang tanggungjawab kepada Malaysia.

Kalau dilihat di sekeliling kita, peniaga warga asing ada di mana-mana. Fenomena ini patut diperbetulkan segera dengan tindakan tegas lagi berani daripada kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kita tidak boleh biarkan perkara ini berleluasa, jika tidak peluang perniagaan orang Melayu dan bumiputera akan terhakis. Kita kena ambil peduli fenomena pendatang asing berniaga di negara ini. Jangan pandang mudah lagi. Bertindak sebelum semuanya dilihat sudah terlambat.

Jadi Ops Bersepadu 6P untuk memburu peniaga warga asing sama ada yang menggunakan lesen rakyat tempatan atau kaedah lain yang bermula Khamis lalu amat dialu-alukan.

Harapan kita ialah tindakan penguatkuasaan dan pemantauan itu tidak boleh bermusim, jika tidak mereka akan kembali berniaga. Hakikatnya, ini yang selalu berlaku. Lihat berapa ramai warga Indonesia yang berniaga. Takkan kita hendak biar warga Pakistan dan Bangladesh pula ikut sama. Kita selalu cepat mengalah, apabila peniaga warga asing tunjukkan sikap tak mahu mengalah.

Warga asing semakin ghairah tinggal di Malaysia kerana mereka dapat menumpang kemurahan rezeki dan keselesaan hidup di sini. Akibatnya sama ada di sekolah, jalan raya, hospital, dan di mana-mana berlaku kesesakan dan kesukaran kerana lambakan kehadiran warga asing.

Sekarang rakyat bergantung harapan kepada ketegasan pihak berkuasa untuk bertindak membetulkan keadaan.

* Bacaan pada kad bisnes yang sepatutnya:

‘Repair Rumah Cat Rumah Khan

Ikat batu, plaster, pasang bumbung dan pasang mosaic’



AZMAN ANUAR azman.anuar@utusan.com.my Utusan Malaysia Rencana 20140302
Tags: pati
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments