kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gangguan jiwa...awas korban darah daging!

KEJADIAN ngeri bapa sembelih anak berulang lagi. Kalau suatu ketika dahulu seorang bapa telah menyembelih anaknya berusia tujuh tahun dan menghirup darahnya berlaku di Lahad Datu, Sabah, kali ini ia menimpa sebuah keluarga di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Dalam kejadian 30 Januari 2014, seorang bapa yang dipercayai mengalami masalah mental telah mengelar hingga mati anak bongsunya berusia tujuh tahun serta mencederakan dua lagi anak perempuannya berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan salah seorang terputus jari.

Kejadian ngeri berlaku ketika kaum Cina di negara ini menyambut Tahun Baharu Cina itu hanya disedari oleh seorang lagi anak perempuannya berusia 15 tahun yang baharu pulang dari sekolah kira-kira pukul 4.15 petang ketika terserempak dengan bapanya di ruang tamu dengan sebilah parang yang berdarah.

Remaja tersebut berlari ke tingkat atas untuk memaklumkan kepada seorang abangnya yang berada di dalam bilik sebelum bertindak menghubungi polis. Sewaktu polis tiba, suspek sudah melarikan diri, namun atas maklumat jiran, suspek berjaya ditahan di tebing sungai belakang kawasan perumahan pukul 6 petang, hari yang sama.

Polis percaya suspek telah bertindak terjun ke dalam sungai tetapi naik semula ke tebing, dan ketika ditemui, suspek dalam keadaan murung, basah dan cedera di kepala.

Kalangan jiran, suspek dan keluarga sangat dihormati kerana mereka antara jemaah tegar yang selalu berjemaah di surau berhampiran. Malah suspek dikatakan turut berjemaah di surau pada waktu Zohor sebelum kejadian, namun dikatakan terburu-buru pulang, tidak seperti biasa. Ketika kejadian, isteri suspek tiada di rumah kerana bertugas.

Suspek berusia 44 tahun itu sudah tidak bekerja sejak setahun lepas dan dikatakan mengalami tekanan perasaan yang agak serius sejak kebelakangan ini, namun perkara itu tidak pula ditanya isterinya, seorang pegawai penyelidik di sebuah syarikat telekomunikasi di Cyberjaya kepada suami yang dikahwininya sejak 19 tahun mengenai perubahan sikapnya.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan enam orang anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan berusia antara tujuh hingga 18 tahun.

Kes ‘sembelih anak’ ini merupakan antara berpuluh episod tragis berlaku hampir setiap tahun dan sebahagian besar melibatkan ahli keluarga sendiri yang menjadi ‘pembunuh’. Pasti amat menyedihkan apabila rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk berlindung tetapi menjadi tempat paling bahaya hingga mengancam nyawa.

Kajian ke atas kebanyakan kes seumpama itu akhirnya membawa kepada hanya satu masalah iaitu kesihatan mental yang boleh mengundang risiko nyawa kepada ahli keluarga seperti isteri dan anak disembelih, ibu dan bapa ditetak dan sebagainya.

Sekitar Ogos tahun lepas, terdapat dua kes ‘sembelih mati’ melibatkan darah daging sendiri, masing-masing berlaku di Lahad Datu, Sabah dan Kajang, Selangor.

Kejadian pertama menyaksikan seorang lelaki Suluk berusia 30-an bertindak kejam menyembelih anak lelakinya berusia tujuh tahun hidup-hidup dan menghirup darah mangsa di kediaman ibu mertua lelaki berkenaan di Kampung Epil, Lahad Datu, pada pukul 9.20 malam.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan sedang menonton televisyen bersama-sama ibu mertua dan mangsa di ruang tamu apabila secara tiba-tiba ke dapur untuk mengambil sebilah pisau dan kemudian mengelar leher anaknya. Walaupun ditegah, suspek dipercayai sedang ‘khayal’ akibat Syabu, terus sahaja menyembelih anaknya dan menghirup darah yang mengalir dari leher mangsa.

Kes seumpamanya turut berlaku ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun apabila lehernya dikelar sehingga mati oleh pakciknya di Taman Sri Reko, Kajang.

Sebelum kejadian pukul 11.30 pagi itu, K. Yogiswary sedang membasuh pinggan bersama dengan isteri suspek apabila dia diserang oleh pakciknya dengan sebilah pisau dan kemudian mengheret mangsa ke kuil berdekatan rumah sebelum lehernya dikelar. Lebih tragis, suspek bertindak mengelar lehernya sendiri sejurus kejadian itu.

Sekitar November 2012, seorang bapa yang dipercayai mengalami gangguan halusinasi akibat pengaruh dadah bertindak menyembelih bayi perempuannya berusia 11 bulan 20 hari hingga mati di rumah mereka di Felda Panching Selatan, Kuantan.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, suspek berusia 28 tahun bertindak mengelar leher anaknya, Nur Amirah menggunakan sebilah parang berukuran 44 sentimeter dalam sebuah bilik tidur sebelum kejadian disedari ibu mangsa berusia 26 tahun yang kebetulan berada dalam rumah itu.

Sementara itu, selang dua minggu kejadian seorang lelaki yang dikatakan menghidap tekanan mental mengamuk dan menetak isterinya sehingga mati di Langkap, Perak, satu lagi kejadian ngeri berlaku ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadah puasa pada 24 Ogos 2010.

Kejadian berlaku apabila seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai menghidap penyakit mental bertindak menyembelih sehingga mati anak lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan di dalam bilik air rumah mereka di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum kejadian pukul 12 tengah hari itu, suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dikatakan hilang kewarasannya bertindak menyembelih Mohd. Adam Muszhaffar dengan kejam menggunakan sebilah pisau sebelum kemudiannya cuba menyembelih dirinya sendiri.

Kes ‘sembelih anak’ turut berlaku di negara jiran menyaksikan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai mengalami gangguan psikologi telah menyembelih anak perempuannya yang berusia lima tahun di sebuah kampung di daerah Karawang, Jawa Barat sekitar April 2012.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan mengerikan dalam sebuah bilik di rumahnya, dan suspek dipercayai menyembelihnya dengan sebilah pisau pemotong daging ketika mangsa sedang tidur.

Laporan menyebutkan bahawa sebelum membunuh mangsa, suspek telah pergi ke salah satu daerah di Sukabumi untuk berguru ilmu hitam, namun selepas pulang rumah beliau kelihatan seperti mengalami tekanan mental.

Dalam pada itu, beberapa kes sembelih melibatkan ahli keluarga terdekat sebelum ini menyaksikan suspek-suspek yang dihadapkan ke mahkamah dibebaskan oleh hakim setelah mendapati mereka terbabit tidak siuman ketika melakukan pembunuhan.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan seorang pengawal keselamatan berusia 38 tahun ditahan di Hospital Bahagia Tanung Rambutan, Perak sekali gus menyaksikan tertuduh terlepas daripada tuduhan membunuh bapanya berusia 76 tahun ketika sedang tidur nyenyak di rumah mereka di Bandar Tun Razak pada 8 November 2006.

‘Hukuman’ sama turut diperintahkan ke atas seorang bekas tentera yang menghadapi tuduhan membunuh bapanya berusia 80 tahun pada 29 Mac 2001 untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan setelah Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan pada April tahun sama mendapati tertuduh tidak siuman ketika menyembelih leher warga emas itu sehingga putus.

Selang sebulan selepas itu, seorang suri rumah yang disyaki menyembelih anak lelakinya berusia empat tahun sehingga mati dan megelar leher seorang lagi anaknya dalam satu kejadian di Perlis, mendapat perintah Mahkamah Majistret Kangar untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan selama sebulan.

Tertuduh iaitu ibu kepada empat orang anak berusia 37 tahun berasal dari Sabah disyaki melakukan perbuatan itu di sebuah di kuarters guru, Sekolah Kebangsaan Kampung Salang, Kangar, antara pukul 7.15 pagi dan 10 pagi, sekitar Mei 2001.

Sekitar April 2004, seorang wanita berusia 34 tahun telah diarahkan mahkamah untuk menjalani rawatan mental di Hospital Mesra Bukit Padang di Luyang, Sabah selepas dipercayai membunuh anak perempuannya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Setinggan Pekan Menggatal, Kota Kinabalu, kira-kira jam 12.30 pagi.

Wanita itu disahkan oleh pihak hospital sebagai penghidap sakit mental serius kerana sering mengalami halusinasi pendengaran yang mempengaruhi caranya berfikir sehingga sukar mengawal emosi dan tingah laku, malah ketika kejadian, dia dikatakan sangat takut dan seperti ada suara memanggil serta menyuruhnya supaya mengorbankan seekor kambing sekiranya mahu penyakitnya pulih.



RAJMAH HASAN Utusan Malaysia Rencana 20140308
Tags: jiwa, kacau
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • History of the Old Melake

    Soalan KBAT atau Higher Order Thinking Skills Malayan Examination Chong worried over emphasis on exam results JERANTUT: An education system that…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments