kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kesedaran tentang bahaya penjenayah

DUNIA kini mempunyai penduduk seramai 7.15 bilion orang. Jadi apabila anda melakukan apa sahaja perkara, anda perlu sentiasa ingat tentang hakikat ini: Kita berkongsi dunia ini dengan begitu ramai manusia.

Daripada 7.15 bilion manusia itu, bukan semuanya merupakan manusia yang baik-baik.

Ada yang menjelmakan diri mereka sebagai penjenayah yang melakukan perbuatan kejam seperti membunuh, merompak, memperkosa, meliwat, menyeludup, merasuah dan segala macam kejahatan lagi termasuk menguasai pemikiran orang lain dengan matlamat yang di belakangnya tersembunyi muslihat-muslihat licik.

Ada dalam kalangan penjenayah itu kemudian tertangkap, dihukum serta menginsafi kesilapan diri, tetapi terdapat juga yang sehingga mati tidak mengakui jenayah-jenayah yang dilakukan. Sering kali penjenayah-penjenayah itu kemudian mencari justifikasi kepada pelencongan dalam tingkah laku mereka.

Jenayah berlaku setiap hari di seluruh dunia.

Jika 0.1 peratus sahaja daripada penduduk dunia memilih untuk menjadi penjenayah, kita mungkin mempunyai lebih tujuh juta orang penjenayah di seluruh dunia.

Terdapat penjelasan mengapa orang melakukan jenayah. Ada yang dikaitkan dengan fizikal, keturunan, masalah mental, pengaruh media massa dan faktor psikologi.

Isu budaya juga wujud, iaitu ada perlakuan menjadi jenayah dalam sesuatu budaya tetapi tidak dalam budaya yang lain.

Saintis seperti Sigmund Freud mencadangkan pelencongan yang membawa kepada perlakuan jenayah berpunca daripada rasa bersalah akibat daripada superego yang keterlaluan.

Orang yang memiliki superego yang keterlaluan berasa bersalah tanpa sebarang sebab dan berharap diri mereka dihukum dalam usaha untuk menghilangkan rasa bersalah itu.

Asas kepada minda penjenayah ialah cara seseorang berfikir dan membuat keputusan. Ada yang berfikir jenayah yang mereka lakukan bukan suatu kesalahan sungguhpun undang-undang menetapkan sebaliknya.

Para penjenayah, menurut ahli-ahli sosiologi, berfikir dan bertindak dengan cara yang berlainan berbanding orang lain, walaupun pada usia muda.

Ada tiga perkembangan berkaitan jenayah yang membimbangkan di Malaysia.

Pertama, jenayah yang dilakukan oleh warga asing yang berada di Malaysia, yang jumlahnya berjuta-juta orang. Perbezaan dalam kawalan budaya mungkin menyebabkan orang asing itu melakukan kerja-kerja jahat. Ada yang datang ke Malaysia sekadar untuk merompak dan kemudian pulang semula ke negara asal mereka.

Kedua, jenayah yang berlaku kerana hilangnya perasaan hormat anggota masyarakat terhadap pihak berkuasa khususnya polis.

Pada masa lepas, perasaan hormat kepada anggota polis menjadi halangan psikologi untuk orang melakukan jenayah. Kini dengan luputnya perasaan hormat itu, jenayah bertambah banyak.

Kita melihat sendiri bagaimana jenayah berleluasa apabila undang-undang tidak ditegakkan. Orang ramai umumnya tidak menghormati undang-undang apabila mereka mengetahui undang-undang tidak dikuatkuasakan atau tidak wujud.

Pergolakan dan mob culture di beberapa negara Asia Barat, Afrika Tengah dan Eropah Timur memperlihatkan pentingnya perasaan hormat kepada pihak berkuasa dipastikan berakar umbi dalam masyarakat.

Apabila perasaan itu terhakis, ia boleh mencelarukan sistem bernegara. Mematuhi undang-undang sebenarnya sesuatu yang bersifat budaya, dan sebaik-baik sahaja budaya itu hilang, akan habislah negara berkenaan.

Ketiga, jenayah yang berlaku kerana perbuatan pelik masyarakat mengherokan penjenayah. Orang yang melanggar undang-undang dan dihukum kerana melakukan jenayah diberi penghormatan oleh sesetengah anggota masyarakat.

Penghormatan itu datang dalam pelbagai bentuk termasuk pengiktirafan politik.

Sebaik-baik sahaja penjenayah diherokan, akan muncul satu situasi nanti iaitu polis dijadikan musuh, manakala penjenayah dianggap sahabat. Jika hal ini tidak dikawal, ia boleh membawa kepada anarki.

Tampuk kuasa

Di Malaysia, undang-undang berkaitan perhimpunan dan ketenteraman awam sering dilanggar dalam tempoh 15 tahun lepas oleh kumpulan pengikut ahli-ahli politik yang mengherokan penjenayah.

Mereka merasakan diri mereka akan lebih popular dan berpeluang untuk memegang tampuk kuasa suatu hari nanti jika dilihat oleh para pengikut sebagai berani melanggar undang-undang, termasuk dengan menjadi penjenayah.

Dalam konteks ini, elemen imaginasi mengeruhkan lagi keadaan. Ada penjenayah sanggup memberi imaginasi bahawa segala-galanya hitam di negara ini.

Walaupun negara menyediakan segala peluang untuk rakyatnya membaiki diri dalam bidang pendidikan, ekonomi, agama dan politik serta menggalakkan perdamaian dan keharmonian kaum, tetapi imaginasi disebarkan bahawa tiada harapan langsung untuk rakyat Malaysia.

Perbuatan memberi imaginasi buruk tentang negara ini memberikan mereka ruang untuk menghalalkan kerja-kerja terkutuk yang dilakukan.

Misalnya, sepanjang tahun 2013 polis terpaksa menghadapi 26 perhimpunan haram, yang jika boleh digerakkan menjadi revolusi. Sebahagian perhimpunan haram itu diadakan ekoran membuak-buaknya imaginasi buruk dalam politik.

Sama ada sesuatu jenayah itu berkaitan dengan seks, membunuh mahupun rompakan bersenjata, penilaian kita terhadap penjenayah serta kesan ekonomi dan politik yang dicetuskannya perlu diperbetulkan.

Tiada hero dalam diri penjenayah. Kita ambil contoh kes penyeludupan dadah. Jenayah yang berkaitan dadah melibatkan pelbagai pihak, daripada ahli keluarga, masyarakat, pihak penguat kuasa, hospital dan pusat pemulihan selain para pengedar dadah.

Dadah dikatakan musuh nombor satu negara. Pengedaran dadah berleluasa kerana wujud kumpulan penjenayah, di Malaysia dan melalui rangkaian antarabangsa, yang meletakkan kepentingan diri mereka lebih tinggi daripada kebajikan masyarakat.

Mereka ingin kaya dengan cara mudah melalui penghasilan dan pengedaran dadah, dan menjadikan anak-anak muda yang lemah semangat dan terjebak dalam pergaulan liar sebagai penagih dadah - menjadi pelanggan yang memberikan sumber pendapatan yang membolehkan para pengedar dadah hidup dengan kemewahan hasil kerja-kerja jenayah.

Adakah perlakuan jenayah seumpama itu satu perbuatan heroik?

Pada tahun 2012, jumlah semua kes jenayah yang dilaporkan di Malaysia ialah sebanyak 153,699 kes. Hasil daripada langkah-langkah pencegahan pihak berkuasa, jumlah itu menurun kepada 147,073 kes pada tahun 2013.

Daripada jumlah tersebut, lebih 2,000 kes merupakan kes jenayah seksual melibatkan remaja berusia bawah 16 tahun.

Berdasarkan statistik itu, bilangan orang yang terjejas akibat jenayah amat ramai.

Menjadikan mana-mana penjenayah sebagai hero tanpa mengambil kira perasaan mangsa-mangsa jenayah merupakan satu anjakan besar kepada budaya kita.

Kita tidak boleh membenarkan sindrom itu berputik kerana ia merupakan satu anjakan ke arah keruntuhan.



Baharom Mahusin baharom@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140309
Tags: jenayah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments