kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terperangkap dalam acuan skrip lama

MOHAMAD Sabu yang kini Timbalan Presiden Pas pernah menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Aljuburi. Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP pernah meminta Anwar supaya bertaubat. Kecoh semua orang tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah dilakukan oleh penama ini.

Kemudian Anwar disabitkan dengan pertuduhan meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada 1998 tetapi dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000. Semasa itu kecoh satu dunia sehingga Malaysia terpaksa menghadapi gelombang rusuhan jalanan yang tidak pernah disaksikan.

Sekali lagi pada 2008, Anwar dituduh meliwat. Kali ini ke atas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, mengetepikan sabitan tidak bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012.

Jadi, apa yang dikecohkan sangat dalam kes liwat Anwar kali ini? Skrip lama terus diulang tayang hanya untuk memenuhi nafsu seorang manusia yang kebetulan ketika ini adalah Ketua Pembangkang. Tidak serik-serikkah?

Adilkah? Tidakkah mereka terfikir kesengsaraan yang dialami Mohd. Saiful selama ini terutama apabila kes ini tertangguh sejak sekian lama dek kerana ‘permainan’ Anwar? Jika yang melakukan perbuatan itu bukan Anwar, sanggupkah mereka membuat pembelaan sedemikian rupa?

Lihatlah mereka uar-uarkan slogan Ubah. Suruh orang lain berubah tetapi kumpulan hipokrit ini masih tetap totok, kekal dengan perangai lama.

Dalam reaksi segera Anwar dan penyokong-penyokongnya, tuduhan sama diulang. Barisan hakim yang bersidang cuba diperlihatkan membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik bukannya mengikut fakta dan undang-undang, sedangkan semasa dibebaskan dulu Anwar berkata “kebenaran akhirnya dapat ditegakkan".

Selalu ada dua skrip. Jika memihak, hakim dipuji melangit telah membuat keputusan tepat dan adil. Jika tidak memihak, hakim dikeji dan sistem keadilan dimomokkan dengan maki hamun dan pelbagai gelaran buruk.

Pada 9 Januari 2012, keputusan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar dipuji kerana memihak mereka. Sekarang pada 7 Mac, keputusan tiga orang hakim Mahkamah Rayuan dikeji hanya kerana tidak memenuhi kehendak mereka.

Skrip lama diulang. Emosi penyokong dibakar. Sentimen benci kerajaan dan sistem kehakiman diapi-apikan. Sebaik-baik keputusan hakim diumumkan, mereka sigap mencatur gerak dengan segera mengumpulkan penyokong.

Cuma bezanya, tempat yang dipilih untuk mengumpulkan penyokong kali ini ialah Kajang. Mengapa Kajang? Ini menguatkan hujah pelbagai pihak bahawa ‘Langkah Kajang’ sengaja dicipta oleh Anwar untuk menyelamatkannya daripada hukuman liwat buat kali kedua itu.

Sebaik-baik malam keputusan itu diumumkan, berbondong-bondonglah penyokong Anwar ke Kajang yang kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan itu dikosongkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri kononnya untuk menangkis serangan UMNO.

Malam itu di bilik gerakan jentera pilihan raya PKR di Kampung Sungai Sekamat, intipati ucapan berapi-api pemimpinnya tetap sama - konspirasi, jatuhkan kerajaan BN dan paling klise Anwar tidak bersalah.

Azmin Ali yang tampil paling garang malam itu mencadangkan demonstrasi jalanan untuk membebaskan Anwar. Beliau yang akan dicabar oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, April ini mengembar-gemburkan kononnya demokrasi di Malaysia telah mati.

Beliau yang pernah mengkritik Anwar agar berhenti membuli rakyat ekoran tindakan Penasihat PKR itu menganjurkan himpunan membantah keputusan PRU-13 seperti memakan diri sendiri. Dalam keadaan terdesak sekarang, beliau pun nampaknya begitu bernafsu untuk membuli rakyat.

Hero baharu PKR, Rafizi Ramli malah menghamburkan rasa amarah beliau dengan keputusan mahkamah itu semasa berucap dalam mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang di Shah Alam semalam.

Bahasa yang beliau gunakan dalam ucapannya itu begitu berat seperti ‘UMNO angkuh sampai kiamat’ dan ‘sifat dan jiwa UMNO adalah rasuah’. Lupakah Rafizi, beliau juga lahir daripada sistem yang didakwanya tidak adil dan angkuh itu. Cuma bezanya, dari dulu zaman sekolah beliau ialah penyokong tegar Anwar yang juga pemimpin kanan UMNO.

Secara spekulatif Rafizi membayangkan empat pemimpin pakatan pembangkang dijangka akan dipenjarakan. Dulu mereka gembar-gemburkan lebih banyak pemimpin pembangkang akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kini setelah ISA dimansuhkan, mereka tetap gunakan taktik sama iaitu pemimpin mereka akan disumbat ke dalam penjara kononnya untuk menyekat kemaraan pakatan pembangkang.

Pendek kata, mereka akan gunakan segala cara untuk membantah keputusan mahkamah tersebut. Pakatan pembangkang juga memutuskan agar semua Ahli Parlimen mereka tidak menghadiri sidang Parlimen pada 11 Mac ini, sebaliknya menghadiri hari penamaan calon bagi PRK DUN Kajang.

Soalnya, apakah kita akan terus terperangkap dalam permainan Anwar dan pakatan pembangkang ini. Kepada pakatan pembangkang, cukup-cukuplah mengheret rakyat. Kepada Anwar, inilah masa terbaik untuk bermuhasabah diri dan mungkin sudah ditakdirkan beliau tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri. Umur pun sudah menjangkau 67 tahun.



ZULKEFLI HAMZAH warungrakyat.mingguan@gmail.com Utusan Malaysia Rencana 20140309
Tags: acuan, skrip
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments