kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

1. Anwar dan liwat


Awang kurang teruja untuk mengulas kes Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Ia bukan kejutan. Jika diteliti semua hujah sepanjang dua hari perbicaraan di Mahkamah Rayuan, memang banyak bukti untuk mensabitkan beliau.

Lagi pun semasa perbicaraan peringkat Mahkamah Tinggi lagi, ramai percaya hakim ketika itu telah melakukan banyak kekhilafan.

Sejak kejadian liwat itu didedahkan oleh Saiful pada 2008, Awang yakin anak muda itu berada di pihak yang benar.

Ini kerana beliau telah melalui semua proses mendapatkan keadilan daripada aduan polis, pemeriksaan perubatan, ujian DNA, bersumpah laknat di masjid sehinggalah diuji di kandang saksi di mahkamah.

Komitmennya itu jauh lebih tinggi daripada Anwar, walaupun merupakan pemimpin politik.

Awang sedikit pun tidak teruja dengan apa sahaja reaksi Anwar termasuk menyalahkan pihak lain dan memperlekehkan hakim. Itu memang sandiwara beliau untuk terus mengheret rakyat kepada kancah moral beliau. Skrip lama menyamai episod 2008.

Begitu juga dengan langkah beliau untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, adalah sebahagian strategi untuk mempolitikkan kes liwat semaksimum mungkin.

Tiada apa yang boleh teruja ke atas Anwar. Ini kali kedua beliau disabitkan dengan kesalahan liwat selepas dihukum penjara kerana meliwat Azizan Abu Bakar pada 2000.

Awang cuma berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan kepada panel tiga hakim, barisan pendakwaan diketuai Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan sesiapa sahaja yang menjadi sasaran Anwar serta para penyokongnya. Sesungguhnya inilah harga yang perlu dibayar dalam menegakkan kebenaran dan melawan kemungkaran.

Apa pun Awang bersyukur. Akhirnya kebenaran itu terserlah. Keadilan bukan semata-mata untuk pemimpin tetapi juga buat rakyat kecil seperti Saiful yang melalui banyak liku dalam mendapatkan pembelaan.

Awang terharu dengan ketabahan beliau selama ini, begitu juga keyakinannya dalam menuntut keadilan. Kepada Anwar, yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh. Sehebat-hebat manusia bermuslihat dan mencatur, tidak mampu mengatasi ketentuan-NYA. Insaflah!


2. Cerita Banana


Jika diimbas sejarah moden, terdapat beberapa pemimpin yang menjadi tumpuan kerana terlibat dengan jenayah seks termasuk homoseksual.

Israel misalnya pernah gempar apabila Presidennya, Moshe Katsav didapati bersalah atas tuduhan merogol pada tahun 2007.

Paling menarik perhatian Awang ialah kisah bekas Presiden pertama Zimbabwe, Canaan Sodindo Banana, yang memegang jawatan dari April 1980 hingga Disember 1987.

Reputasi baik Banana, yang juga seorang paderi musnah setelah didakwa meliwat pegawai peribadinya, Jeff Dube.

Awang pernah menyentuh kisah Banana dalam ruangan ini beberapa tahun lalu. Beliau dituduh terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan kegiatan homoseksual pada 1998.

Banana didapati bersalah atas 11 kesalahan meliwat, cubaan meliwat dan berkelakuan tidak senonoh. Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun tetapi dipendekkan kepada enam bulan selepas mendapat pengampunan khas.

Banana akhirnya meninggal dunia akibat kanser.

Namun apa yang boleh dipuji, Banana tidak mengheret rakyat kepada kancah peribadinya dan menghalang para penyokong berdemonstrasi.

Awang paparkan semula kisah tersebut untuk renungan kita bersama betapa nafsu serakah sendiri yang sebenarnya menghukum mereka. Banana meninggal dunia pada 2003 akibat kanser. Sebelum kematian, terdapat cerita berlegar beliau dikatakan dihantui rasa penyesalan atas perbuatannya.


3. Presiden FAM?

Ura-ura untuk mencalonkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan Mei ini, makin hangat diperkatakan.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam reaksinya kelmarin tidak menghalang pencalonan tersebut walaupun belum mahu memikirkannya.

Tanpa mahu menafikan potensi, kebolehan dan sumbangan sesiapa jua, Awang secara peribadi berharap Tunku Ismail menolak pencalonan itu.

Sekiranya, Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak lagi berminat untuk menyandang jawatan tersebut, bukalah pula jawatan itu kepada kalangan bukan Sultan, Tengku Mahkota mahupun kerabat diraja.

Dalam landskap sukan yang jauh berubah dengan orang ramai semakin kritis dan mudah emosi apabila menyentuh sukan popular seperti bola sepak, kalangan pembesar istana tidak lagi sesuai menerajui FAM.

Jawatan tersebut mendedahkan penyandangnya kepada kritikan yang meluas. Kita sepatutnya sudah mengambil pengajaran untuk memperkukuhkan lagi usaha melindungi institusi raja daripada serangan dan tohmahan.

Sejak kebelakangan ini, tidak tergamak membaca komen-komen liar termasuk yang bersifat penghinaan ke atas Presiden FAM mahupun Presiden PBNJ - hanya kerana isu sukan.

Lagi pun, sampai bila harus FAM bergantung kepada pembesar istana kononnya atas faktor menjana kewangan?

Persoalan lain, tidakkah rakyat biasa juga layak menerajui FAM sebagaimana Hamzah Abu Samah pada era kecemerlangan bola sepak negara suatu masa dahulu?

4. Syed Mokhtar

Majlis Makan Malam sempena Forum Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) di Kuala Lumpur, Rabu lalu meninggalkan kesan tersendiri.

Lebih 200 usahawan muda teruja dengan penampilan tokoh perniagaan terkemuka, Syed Mokhtar Al-Bukhary pada majlis itu.

Seperti biasa jika ada undangan mana-mana pihak, beliau sekadar mahu hadir tetapi enggan berucap di khalayak umum.

Itu memang cara Syed Mokhtar. Awang tidak pasti mengapa, agaknya tokoh seperti beliau lebih percaya kepada bekerja daripada berucap.

Atas permintaan ramai dan entah kenapa akhirnya Syed Mokhtar - yang sentiasa low profile dan suka merendah diri - berucap juga.

‘‘Inilah pertama kali saya berucap dalam majlis,’’ katanya sambil mendapat tepukan dan sorakan gemuruh. Agaknya beliau berbuat demikian kerana terpanggil untuk memperkasakan jiwa usahawan muda setelah melihat reaksi mereka.

Menurut seorang teman yang hadir, ucapan Syed Mokhtar sarat dengan nasihat dan pengalaman suka duka terutama ketika memulakan perniagaan, yang ternyata menyuntik semangat.

Ternyata beliau tidak selesa dengan protokol. Sebelum pun majlis berakhir, Syed Mokhtar bingkas menemui hadirin dari meja ke meja, beramah mesra dan memberi ruang kepada mereka untuk bergambar bersama.

Komen teman itu lagi, “Kami puas. Memang beliau lain daripada yang lain."


1. Anwar dan Liwat Utusan Malaysia Rencana 20140309
2. Cerita Banana Utusan Malaysia Rencana 20140309
3. Presiden FAM Utusan Malaysia Rencana 20140309
4. Syed Mokhtar Utusan Malaysia Rencana 20140309

Tags: anwar, banana, fam, liwat, syed
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments