kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendatang asing turut lonjakkan kes jenayah

Setiap hari ada saja berita jenayah dilaporkan di media. Ia bukan saja memberikan gambaran tidak baik di mana-mana sekali pun, tetapi turut memberi kesan psikologi kepada rakyat.

Penjenayah adalah mereka yang meragut keamanan dan ketenteraman awam. Perbuatan mereka sama ada untuk memenuhi nafsu atau kerana wang. Daripada apa yang sering dilaporkan di media, jelas kegiatan jenayah begitu menakutkan. Ibu bapa bimbang untuk melepaskan anak keluar rumah. Mereka resah bila anak pulang lewat kerana dibayangi berita buruk yang dibaca dan dengar.


Perbuatan penjenayah dilakukan melampaui batas perikemanusiaan. Namun, apa juga tindakan diambil, jenayah terus berleluasa. Tindakan terhadap penjenayah lain atau terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan polis tidak sedikit menakutkan mereka.

Hakikatnya, tidak ada kerajaan yang mahukan negara bergelumang dengan kegiatan jenayah. Untuk memastikan ia dibanteras, kerajaan membelanjakan wang yang besar. Bagi Bajet 2014 ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperuntukkan RM8.8 bilion, manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak RM13.2 bilion untuk memastikan negara ini aman dan bebas sebarang ancaman.

Walaupun jumlah wang itu digandakan sekali pun, tiada jaminan jenayah boleh dihapuskan. Untuk menghapuskan jenayah, khasnya yang bersenjata, setiap kawasan mesti mempunyai balai polis. Setiap kawasan perlu dipasang kemudahan mengesan kegiatan jenayah, termasuk menggunakan kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV bantu selesai kes

Sudah banyak CCTV dipasang di merata tempat. Apabila berlaku jenayah, polis dapat mengesan mereka terbabit dengan cepat. Cuma, tidak semua kegiatan jenayah dilakukan di lorong atau tempat awam yang boleh dikesan CCTV.
Banyak perbuatan jenayah juga berlaku dalam rumah. Jika sebelum ini kegiatan jenayah sering dikaitkan dengan anggota kongsi gelap di bandar, tetapi daripada laporan media, sudah banyak yang berlaku dalam rumah. Di kawasan luar bandar juga, kegiatan jenayah dilaporkan setiap hari.

Jenayah bukan lagi membabitkan mereka yang terdesak dengan menyamun atau merompak kedai emas dan bank, tetapi turut dilakukan suami terhadap isteri, anak terhadap ibu bapa, sesama adik beradik, pasangan kekasih. Pelbagai kejadian lain yang boleh dianggap jenayah tahap tinggi khasnya membabitkan kematian menggunakan senjata. Bagi penjenayah, nyawa mangsa tidak langsung bernilai. Mereka sanggup membunuh dengan cara yang zalim.

Polis mudah mengesan kegiatan jenayah khasnya membabitkan anggota kongsi gelap di bandar, tetapi sukar mengesan jenayah yang berlaku dalam rumah. Suami atau isteri sanggup membunuh pasangan masing-masing, mungkin hanya berpunca daripada salah faham atau cemburu.

Boleh dikatakan, tiada sehari pun berlalu di dunia ini tanpa kegiatan jenayah. Jika dunia boleh mengadakan pelbagai hari sebagai galakan atau tujuan tertentu, contohnya hari tanpa rokok, adalah mustahil untuk mengadakan hari tanpa jenayah. Dengan pembangunan pesat bandar dan tekanan yang dihadapi manusia, kegiatan jenayah tetap berlaku walaupun undang-undang dan hukuman dikuatkuasakan.

Kes jenayah tak dirahsiakan

Pendatang asing juga adalah antara punca kegiatan jenayah berleluasa. Melihat kepada beberapa kes membabitkan pendatang asing, mereka begitu nekad, malah berani menyerang dan membunuh anggota polis. Jika tidak dikawal, perbuatan itu boleh menimbulkan kekecohan. Tindakan mereka itu menimbulkan kemarahan anggota pasukan polis yang lain. Jika mereka bertindak balas, ia boleh menyebabkan kekecohan.

Sepatutnya pendatang asing menjaga nama baik negara mereka dan kepentingan ramai saudara mara dan rakan mereka yang mencari rezeki di negara ini. Tindakan mereka itu menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada bangsa mereka.

Dengan banyaknya kegiatan jenayah, pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Ketua Polis Negara hinggalah pegawai polis bertugas, sering muncul di media elektronik dan media cetak. Mereka terpaksa memberi penjelasan mengenai sesuatu kejadian bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menimbulkan masalah lebih besar.

Itulah sebabnya polis tidak merahsiakan perbuatan jenayah, khasnya kes yang membabitkan pergaduhan kerana bimbang, maklumat yang disekat akan menyebarkan berita angin dengan maklumat yang tidak tepat. Disebabkan negara ini didiami rakyat pelbagai warna kulit, ideologi politik dan agama, maklumat yang disembunyikan boleh menyebabkan berlaku spekulasi yang bukan-bukan.

Bagi menghadapi kes jenayah, banyak pihak cuba mencari puncanya. Pelbagai kajian dilakukan untuk mengetahui mengapa jenayah ganas berlaku. Ada yang menyalahkan pendedahan media dan ada juga menyalahkan keadaan ekonomi dan sosial masyarakat yang terlalu kebendaan. Namun, setakat ini, tidak jelas mengenai punca sebenar perbuatan jenayah kerana setiap satu kes, mempunyai puncanya tersendiri.


Mior Kamarul Shahid Berita Harian Rencana 2014/03/07 - 11:59:51 AM
Tags: cctv, jenayah, pati
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments