kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Krisis air uji kesepakatan politik

Bila Kunta Kinte tengok gambar surat khabar orang berebut ambil air dari lori tangki, Kunta Kinte boleh rasa kesusahan mereka dan kalau mereka marah pun Kunta Kinte tak salahkan mereka.

Biarlah dari awal-awal lagi Kunta Kinte kata, ini bukanlah keadaan dan pemandangan yang kita seronok tengok.


Kalau masa 10 atau 20 tahun lepas merdeka kita hadapi masalah bekalan air, Kunta Kinte tak hairan dan tak salahkan sesiapa. Itulah yang Kunta Kinte alami setiap musim kemarau di Kedah hinggalah air paip sampai ke kampung Kunta Kinte pada tahun 1970-an.

Itu pun bukanlah hebat sangat. Sampai hari ini pun bekalan air luar bandar masih standard Dunia Ketiga. Kadang-kadang ada, kadang tak ada. Kadang elok, kadang-kadang lebih keruh daripada air bendang. Tapi orang kampung dah mangli. Mereka tak larat nak merungut lagi.


Bukan cerita baharu

Tapi bila Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan Lembah Klang, pusat industri nombor satu negara, tak putus-putus kekurangan dan keputusan air, Kunta Kinte pun naik pelik juga.
Lagi pula ini bukan cerita baharu. Sebaliknya kalau kita ikut pergerakan masa, bukan tambah baik malah tambah buruk.

Masa Kunta Kinte hijrah ke Kuala Lumpur pada 1969 dan tumpang rumah haram sepupu di Kampung Pandan, kita mandi air hujan yang kita takung dalam tong 40 gelen atau kita pergi ke kolam lombong berdekatan.

Masa itu istilah rumah setinggan belum luas digunakan. Kita kata rumah haram sebab dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa. Bila Kunta Kinte pindah ke rumah haram di Kampung Kerinchi pun sama juga.

Cuma kita rasa bangga mandi di anak sungai yang mengalir antara Universiti Malaya dan Lebuh Raya Persekutuan. Bila orang tanya, kita dengan bangga kata kita mandi dekat UM.

Kemudian bila Kunta Kinte pindah ke Pekan Batu 14, Hulu Langat yang tak jauh dari kolam takungan Pansoon pada 1972, keadaan lebih kurang macam itu juga.

Ada masa kena ambil air dari lori tangki sampai berbulan-bulan lamanya. Tapi tak boleh lawan Batu Pahat dan Muar. Bertahun-tahun orang Batu Pahat dan Muar tadah air lori di tepi jalan.


Tahniah dan terima kasih

Jadi minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte dah mual dengan cerita kekurangan air, air kotor, punca air cemar, air kena catu, paip kering dan paling baru cerita cakar mencakar anjing-kucing mengenai Langat 2.

Daripada apa yang Kunta Kinte baca dalam surat khabar, masalah sekarang adalah antara Kerajaan Pusat, kerajaan Selangor dan pemegang konsesi, SYABAS.

Kunta Kinte seronok dan lega baca berita kata memorandum persefahaman mengenai projek itu dah ditandatangani di Putrajaya antara Kerajaan Pusat dan Selangor. Tahniah dan terima kasih.

Cukuplah mereka bagi macam-macam alasan dan buat macam-macam helah. Cubalah fikir pula masalah rakyat jelata yang kena angkut air lima enam tingkat naik pangsapuri atau yang dah tak mandi dua tiga hari.

Isu sebagai eksperimen

Pada pandangan bodoh Kunta Kinte, kalau parti-parti politik nak berdamai, nak bertolak-ansur dan nak buktikan yang mereka peduli masalah rakyat, inilah isu yang mereka boleh ambil sebagai eksperimen.

Jadi Kunta Kinta sangat berharap eksperimen ini berjaya. Insya-Allah.
Tak guna ada slogan itu dan ini kalau nak pakat bawa kebaikan kepada rakyat jelata dan ekonomi pun tak boleh. Apatah lagi guna kesusahan rakyat untuk kaut keuntungan politik. Dosa besar.

Takkanlah dalam abad ke-21 ni kita nak suruh rakyat jelata turun telaga untuk cedok air pada musim kemarau macam Kunta Kinte buat pada tahun 1950-an dan 1960-an dulu.

Kita turun perigi dan gali lopak supaya air bertakung. Bila air dah bertakung, kita cedok guna timba upih. Kita guna timba upih sebab ringan jadi tak keruhkan air.

Itu pun belum jamin kita ada air untuk masak dan minum. Silap hari ada kaki malas yang curi air dari perigi kita sampai terjadi pergaduhan.

Tak perlu gaduh, berebut

Akhir kalam, kita wajib ingat. Allah Taala bagi kita bumi yang bertuah. Ada hutan rimba, gunung-ganang dan sungai untuk tadah dan takung air. Tuhan bagi banjaran tulang belakang. Air mengalir ke timur dan barat. Semua sungai milik kita. Tak payah bergaduh, tak payah berebut.

Jadi bila kita kekurangan air juga, siapa nak kita salahkan? Takkanlah otak yang Allah Taala bagi kepada kita ‘low class’ sampai nak selesaikan masalah keperluan asas macam bekalan air pun tak boleh. Kena bergaduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain.

Allah Taala bagi, tapi kalau kita tak jaga kita tak urus akhirnya musnah juga. Maaflah kalau Kunta Kinte kata kalau kita tak guna otak, tak ada perancangan, pelaksanaan kucar-kacir dan tak ada disiplin, sampai bila-bila pun kita tak akan jadi negara maju.

Wallahuaklam.

Kunta Kinte Berita Harian 01/03/2014
Tags: air, krisis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments