kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akui kelemahan tanda kekuatan

Betullah kata tok nenek kita, baling batu sembunyi tangan. Itu kerja orang jahat atau orang penakut. Lagi teruk dia tuduh pula orang lain.

Kalau budak-budak buat kerja macam tu, kita bolehlah kata mereka nakal sebab kurang akal. Tapi bila orang dewasa buat hal yang sama ia bukan nakal tapi jahat dan tak berakal.


Sedihnya, itulah yang selalu kita dengar bila negara kita dilanda bencana macam jerebu dan kehilangan kapal terbang. Kalau berkenaan jerebu, mereka salahkan Indonesia.

Macam Kunta Kinte dah banyak kali kata, kita kena ikhlas kepada diri sendiri kalau kita nak atasi masalah dan nak jadi negara maju. Kalau main baling batu sembunyi tangan, sampai bila pun kita tak akan jadi negara dewasa dan maju”

Kita sendiri tahu yang bukan semua kejadian jerebu berpunca dari Indonesia. Betul ada pembakaran atau kebakaran hutan di Indonesia, tapi di negara kita pun berlaku juga.

Jadi Kunta Kinte sangat gembira bila kali ini ada pegawai tinggi kita kata, jangan salahkan Indonesia kerana jerebu yang kita alami sejak dua tiga minggu kebelakangan ini.

Perbuatan kita sendiri

Ketua Pengarah Jabatan Kaji Cuaca, Datuk Che Gayah Ismail, bagi tahu sebuah portal berita kita jangan salahkan Indonesia bulat-bulat kerana kualiti udara yang buruk.

Dia kata, kualiti udara yang tak sihat itu adalah perbuatan kita sendiri. Betullah mutu udara di wilayah Riau, Indonesia, capai tahap bahaya sejak dua bulan lepas, tapi ia bukanlah punca jerebu yang kita alami sekarang.

Sebab utama kualiti udara merudum ke tahap bahaya di banyak tempat di Semenanjung, dia kata adalah kerana cuaca kering, pembakaran terbuka dan pembakaran hutan, kebakaran tanah gambut serta asap kenderaan dan kilang.

Kunta Kinte setuju dan sokong apa yang dia kata. Cuaca panas dan kering kekalkan jerebu di udara sebab tak ada mekanisme untuk bersihkannya. Tak cukup dengan itu, setiap masa ditambah pula oleh asap dan gas yang kita sendiri hasilkan.

Macam mana pun, kita ucap syukur sebab dua tiga hari yang lepas hujan turun agak lebat jadi kuranglah sikit jerebu. Ada orang kata hujan semula jadi, tapi ada juga yang kata hujan buatan hasil pembenihan awan oleh kapal terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kita dah lama guna kaedah ini. Dahulu kita banyak buat di kawasan tadahan skim pengairan macam di MADA dan KEDA. Masa itu, kita guna kontraktor awam Bumiputera bernama Malaysian Air Charter (MAC).

MAC ada kapal terbang sendiri. Tapi bila kontrak buat hujan ditamatkan, syarikat itu pun gulung tikar. Itulah nasib Bumiputera yang bergantung hidup kepada kontrak awam dari dulu sampai sekarang.

Jerebu atau asbut

Kunta Kinte tengok, kejadian jerebu makin hari makin kerap, tambah lama dan tambah teruk. Pasal itulah Kunta Kinte mula tanya sama ada yang kita alami ini jerebu (haze) atau asbut (smog).

Kalau kesan jerebu pun dah cukup teruk, bayangkan kalau yang kita alami asbut. Jerebu disebabkan oleh habuk dan asap yang lazimnya organik macam pokok dan rumput. Tapi asbut lebih bahaya sebab mengandungi banyak bahan kimia beracun.

Di banyak negara maju, mereka sangat ambil berat asbut. Kalau ia melepasi paras bahaya, kerajaan haramkan penggunaan kenderaan persendirian dan kilang diarahkan tutup. Hanya kenderaan awam dibenarkan. Baru-baru ini, bandar raya Paris haramkan kenderaan persendirian selama beberapa hari.

Kita pun kena mula fikirkan dasar yang serupa bagi bandar-bandar besar, khususnya yang terdedah kepada jerebu dan asbut.

Inilah masa paling sesuai kita fikirkan hal ini sebab kita sedang bangunkan sistem pengangkutan massa (MRT) yang sangat mahal dan canggih di Lembah Klang.

Nilai tindakan kita dahulu

Dipendekkan cerita, Kunta Kinte harap mulai sekarang kita tengok dan kita nilai tindakan kita dahulu sebelum kita salahkan orang lain.

Memanglah mudah salahkan orang lain. Tapi kalau punca sesuatu masalah adalah kita sendiri, salahkan negara jiran tak akan bawa kita ke mana-mana. Sebaliknya timbul pula masam muka antara satu sama lain.

Macam Kunta Kinte dah banyak kali kata, kita kena ikhlas kepada diri sendiri kalau kita nak atasi masalah dan nak jadi negara maju. Kalau main baling batu sembunyi tangan, sampai bila pun kita tak akan jadi negara dewasa dan maju. Wallahuaklam.

Kunta Kinte Berita Harian Rencana 22/03/2014
Tags: jerebu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments