Usain Bolt mencatat rekod dunia dengan larian 100 meter dalam masa 9.58 saat pada 16 Ogos 2009. Satu ketika dahulu sukar untuk dipercayai manusia boleh berlari 100 meter dalam masa kurang daripada 10 saat. Jim Hayes dari Amerika Syarikat (AS) menjadi manusia pertama yang berbuat demikian (9.98 saat) pada tahun 1968. Beliau memperbaiki rekodnya di Olimpik Mexico City dengan kepantasan 9.95 saat.
Wilson Kipsang |
Tidak kurang provokatifnya ialah teori beliau bahawa pelari berkulit hitam memang mempunyai keupayaan sukan luar biasa. Daripada 500 rekod larian terpantas 100 meter, 498 dipegang pelari dari Afrika Barat atau dari sana”
Ibu negara larian dunia
Adharanand Finn menulis buku Running With the Kenyans: Discovering the Secrets of the Fastest People on Earth. Beliau tinggal bersama-sama atlit Kenya di bandar Iten yang dianggap ‘ibu negara’ larian dunia. Beliau cuba memahami keunikan bandar Iten dan negara Kenya yang melahirkan pelari maraton dan jarak pertengahan berkelas dunia.
Dunia mulai mengambil perhatian apabila pelari Kenya, Abebe Bikila menang acara maraton di Olimpik Rom dengan kepantasan 2:15:66. Beliau berlari kaki ayam ketika itu. Pada tahun 1968, Kipchoge Keino dan Naftali Temu menang 1,500 meter dan 10,000 meter di Mexico City. Menurut Finn, daripada 20 pelari maraton terpantas dunia, 17 datangnya dari Kenya. Dalam masa 17 tahun sejak Kejohanan Atlit Dunia di Tokyo (1991) hingga Berlin (2009), pelari lelaki dari Kenya sudah memenangi 93 kejohanan dunia dan Olimpik, 32 daripadanya emas.
Apakah istimewanya bandar bernama Iten di Kenya itu? Banyak atlit Kenya berlatih di situ. Malah Mohamad Farah, yang yang menang dua pingat emas mewakili Great Britain di Olimpik London juga berlatih di situ. Begitu juga Rudisha dan pemenang acara maraton dari Uganda di London, Stephen Kiprotich.
Sebuah buku lain yang ditulis oleh Jon Entine amat provokatif. Buku berjudul Taboo: Why Black Athletes Dominate Sports and Why We’re Afraid to Talk About It. Menurut buku ini, di Kenya terdapat sebuah lembah (Rift Valley) tempat lahirnya pelari kelas dunia. Kawasan itu mempunyai kira-kira setengah juta penduduk yang kebanyakannya suku kaum Kelenjin. Tetapi sejak sekian lama ia melahirkan pelari yang hebat.
Tidak kurang provokatifnya ialah teori beliau bahawa pelari berkulit hitam memang mempunyai keupayaan sukan luar biasa. Menurut kajian beliau, daripada 500 rekod larian terpantas 100 meter, 498 dipegang oleh pelari dari Afrika Barat atau yang berketurunan dari sana.
Mengapakah pelari kulit hitam mendominasi sukan? Mungkin soalan itu tidak cocok ditanyakan. Ada yang tidak bersetuju bahawa berlaku ‘stereotyping’ dalam sukan. Tentu tidak tepat untuk kita mengatakan bahawa orang Melayu menguasai bola sepak, orang Cina badminton dan orang India sukan hoki. Kita semua tahu bahawa Soh Chin Aun, Arumugam dan Santokh Singh bukan Melayu. Dalam bidang badminton, keluarga Sidek mendominasi sukan itu sekian lama. Dalam bidang hoki banyak pemain bukan India yang mewakili negara.
Hari ini orang Asia sudah mencipta nama di Liga Inggeris (EPL) dan juga di liga Eropah yang lain. Tentu menarik juga untuk ditanyakan mengapakah raja bola selalunya datang dari Brazil dan Argentina? (Pele, Maradona, Messi).
Ambil sahaja atlit Korea Selatan dan Jepun di Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sochi baru-baru ini. Walaupun pencapaian negara itu kurang memuaskan (tiga emas, tiga perak dan dua gangsa) tetapi Korea kini merupakan kuasa baru Asia dalam sukan musim sejuk. Malah dalam acara ‘speed skating’ pasukan Korea mengalahkan ahli sukan negara yang secara tradisinya hebat dalam acara itu.
Faktor gen jadi persoalan
Soalan lain yang patut ditanyakan ialah mengapakah negara miskin di Afrika boleh mengeksport pemain terbaik ke EPL dan liga utama Eropah? Mengapa tidak kita misalnya? Bukankah kita mendahului Korea Selatan dan Jepun dalam bidang bola sepak? Mengapakah kini dua buah negara itu meninggalkan kita jauh di belakang? Apakah kerana DNA atau gen kita atau kerana pengurusan bola sepak yang lemah? Dalam bukunya The Sports Gene: What Makes The Perfect Athlete, David Epstein cuba memahami punca gen dalam dirinya atau DNA atlit itu? Apakah itu yang mewujudkan ‘the perfect athlete?’ atau atlit yang sempurna? Apakah kerana DNA mereka, jurulatih yang hebat atau sains sukan yang membantu?
Nampaknya kita harus melihat semua faktor ini dalam memahami kelemahan kita dalam bidang sukan.
Johan Jaafar Berita Harian Rencana 20/03/2014