kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masa untuk muhasabah diri

Tatkala menyemak laman Facebook baru-baru ini, ramai yang menaikkan status positif meminta rakyat Malaysia bersabar dengan dugaan dan kejutan sepanjang 2014.

Logiknya, kesedaran itu hadir ketika negara diuji dengan pelbagai bencana dan kejadian tidak diingini.


Bermula dengan peningkatan kes denggi secara mendadak, jerebu, panas melampau, kehilangan pesawat MH370, catuan air dan remaja maut akibat mengambil dadah berlebihan, ia menimbulkan pelbagai persoalan.

Masyarakat mula mencongak, satu persatu musibah menimpa negara ini sehingga ada yang mengeluh, apa dosa rakyat negara ini?




MOHD Azahari Matarof, 51, mengalami kerugian sebanyak RM30,000 bulan lalu
berikutan bayam dan jagung yang ditanam di ladangnya di Kampung Sungai Gau mati.


Perubahan cuaca di­ngin yang dikaitkan dengan ­angin sejuk dari Hemisfera Utara pertengahan Januari lalu, disusuli kemarau di Semenanjung dan banjir besar di Sabah bulan lalu adalah fenomena cuaca luar biasa.


KHATIJAH Kadir, 72, mengepam sumber air bawah tanah di Kampung Jimah Lama.

Jerebu yang mulanya hanya bertebaran nipis di udara, meningkat ke paras bahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 di beberapa kawasan.


PENUNGGANG motosikal memakai topeng penutup hidung ketika bacaan IPU di Melaka di tahap tidak sihat.

Jerebu yang teruk itu memaksa 203 sekolah ditutup di sekitar Lembah Klang.

Dalam masa sama, krisis bekalan air masih berlarutan dan belum menunjukkan tanda pulih sehingga memaksa catuan di Lembah Klang dan beberapa negeri.

Namun, belum sempat menarik nafas lega, kita dikejutkan pula dengan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.



SEORANG wanita memegang kad yang dipenuhi kata-kata semangat dan doa untuk MH370 di Anjung Tinjau KLIA.

Pesawat Boeing 777-200ER bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang dari radar jam 1.21 pagi, ketika memasuki ruang udara Vietnam di Laut China Selatan.

Pelbagai teori dikemukakan pakar penerbangan atau pesawat, penyiasat krisis industri penerbangan, agensi perisikan dan ketenteraan serta ‘pahlawan ­keyboard’ seluruh dunia.

Namun, sehingga kini pesawat terbabit belum ditemui dan masih menjadi misteri.

Saat wujud pertelagahan pendapat, masyarakat Islam negara mula sedar kelemahan diri dan melakukan muhasabah bagi memohon keampunan Allah.

Jumaat yang terik disejukkan dengan pelbagai aktiviti solat hajat dan doa, memohon supaya diturunkan hujan serta dipermudahkan pencarian pesawat MH370.

Petikan wawancara TV3 bersama bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS, Kapten Norudin Abdul Majid menjadi subjek tumpuan hingga tersebar luas di laman sosial.

Majoriti umat Islam Malaysia memetik pesanan Norudin. Katanya, negara memerlukan doa orang soleh yang dekat dengan Allah SWT serta keluarga mangsa membantu pencarian MH370.

Tambahnya, masyarakat perlu sedar bahawa terdapat ikatan antara sains dan Pencipta sains (Allah SWT).

Malaysia terus dipalit kontroversi menerusi penganjuran konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil apabila enam termasuk tiga wanita maut dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan selepas berhibur, sementara 14 lagi dirawat di hospital.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadut kesal dengan penganjuran konsert itu.

“Semua pihak perlu muhasabah. Sekarang bukan masa berhibur apalagi membuat maksiat. Di mana kewarasan fikiran apabila negara kita menghadapi pel­bagai cabaran besar?

“Ingatlah, jika kita melanggar perintah Allah, inilah akan terjadi. Kehidupan kita akan disempitkan dan diturunkan musibah,” katanya.

Sementara itu, Perunding Motivasi dan Penceramah Human Touch Consultant Datuk Mohd Zawawi Yusoh mengingatkan masyarakat Islam agar sedar ujian dan bencana Allah SWT.

“Ramai orang (Islam) lupa Allah SWT tidak menciptakan sesuatu keadaan itu tanpa sebab.

“Malah, ujian, dugaan, kesusahan dan hidup payah itu adalah petunjuk bahawa Allah SWT menyayangi umat-Nya.

“Jadi, semakin berat dugaan, makin besar jugalah kasih sayang Allah SWT terhadap manusia,” katanya.

Kesusahan di dunia, katanya membawa nikmat ‘dekat’ dengan Allah SWT kepada manusia.

“Bayangkan, selama ini kita tidak pernah peduli dengan air kerana nikmat itu tidak pernah putus.

“Sehinggalah datang ujian Allah SWT yang menghentikan hujan. Dari situ, kemarau mula melanda dan masalah jerebu serta denggi meningkat.

“Biar secanggih manapun teknologi ciptaan manusia, hanya doa kepada Allah saja mampu mengembalikan nikmat air,” katanya.

Menilai fenomena solat hajat yang dilaksanakan hampir seluruh masjid, beliau berkata itu adalah sebahagian fenomena mendekati Allah SWT.

“Allah beri musibah supaya ia menjadi peringatan kepada manusia dan sentiasa bersyukur.

“Dalam satu hadis ada menyebut, ‘Kenalilah Allah waktu kamu senang, nescaya Allah akan mengenalimu waktu kamu dalam kesulitan,” katanya.

Intan Mas Ayu Shahimi myMetro Nuansa 2014/03/21
Tags: air, musibah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments