kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Elak pembesar istana jadi sasaran kritikan rakyat

PENGLIBATAN golongan pembesar istana sebagai teraju persatuan sukan di negara ini bukan suatu yang asing lagi. Malah kalau boleh semua persatuan sukan mahu mencalonkan Sultan, Raja, Tengku Mahkota atau kerabat terdekat sebagai orang nombor satu.


Antara tujuan tersiratnya ialah supaya mudah mendapat tajaan daripada syarikat korporat dan sebagainya. Alasannya kalau orang kebanyakan menjadi teraju, sesebuah persatuan sukan tidak dapat mengumpul dana yang besar.

Saya percaya pihak yang mengutarakan cadangan itu faham malah sangat maklum bahawa pembesar istana mempunyai tugas lain yang lebih besar. Untuk berlaku adil, berilah ruang kepada pembesar istana melaksanakan tugas yang tidak boleh dilakukan oleh orang kebanyakan.

Tugas hakiki Sultan, Raja, Tengku Mahkota atau Raja Muda adalah sangat berat. Dalam pada itu Sultan atau Raja juga memikul tanggungjawab sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri.

Disebabkan tugas yang besar lagi berat itulah jawatan utama persatuan sukan eloklah diisi oleh golongan profesional yang mempunyai kemahiran dalam pengurusan dan pentadbiran. Janganlah membebankan pembesar istana untuk mengisi jawatan yang sebenarnya boleh diisi oleh orang kebanyakan.

Tetapi masalahnya, dalam banyak keadaan pihak yang mencalonkan itu hanya mahu jalan mudah untuk mendapatkan tajaan dan sumber kewangan. Sepatutnya merekalah yang berkerja keras untuk mencari sumber kewangan dan bukan mengambil jalan mudah; mencalonkan pembesar istana. Ini seolah-olah menafikan kemampuan golongan profesional daripada orang kebanyakan untuk memimpin dan mencari dana sesebuah persatuan sukan.

Pada 25 Mei depan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan Kongres FAM yang menyaksikan pemilihan jawatan Presiden selepas Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak mempertahankan jawatan yang disandang selama 30 tahun. Ekoran itu sudah ada wakil dari badan gabungan mencadangkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai calon Presiden FAM untuk sesi 2014-2018.

Tetapi sebagai mengambil semangat baharu, FAM mesti tampil dengan anjakan paradigma dengan memberikan kepercayaan kepada profesional mengepalai FAM.

Tunku Ismail belum memberikan jawapan tetapi menyerahkan perkara itu kepada badan gabungan dalam FAM untuk memutuskannya. Tunku Ismail ketika ini ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Bagaimanapun penulis pojok, Awang Selamat menerusi akhbar ini baru-baru ini berharap Tunku Ismail tidak menerima pencalonan itu sekiranya dicalonkan untuk mengelak golongan pembesar istana menjadi sasaran kritikan dan cacian penyokong sukan bola sepak.

Awang Selamat merasionalkan hujahnya bahawa dalam landskap sukan yang jauh berubah dengan rakyat semakin kritis sekali gus gagal mengawal emosi apabila menyentuh sukan popular seperti bola sepak. Kerana itu golongan istana tidak sesuai lagi menerajui FAM.

Jawatan tersebut akan mendedahkan penyandangnya kepada kritikan yang meluas, pedas dan tidak kurang menghina. Sepatutnya kita, termasuk FAM bertekad memperkukuhkan dan melindungi institusi raja daripada serangan dan tohmahan yang sukar untuk dikawal. Caranya jangan melibatkan Sultan atau Tengku Mahkota secara langsung dalam sesebuah persatuan sukan.

Saya sependapat dengan Awang Selamat dalam perkara ini. FAM menerusi badan gabungannya perlu berfikiran jauh ke depan dan mempunyai keazaman untuk memperkuatkan FAM tanpa bergantung kepada pengaruh golongan pembesar istana. Malah mereka perlu menjarakkan golongan pembesar istana daripada sesuatu yang mendedahkan simbol institusi raja kepada penghinaan oleh sesetengah pihak.

Apa lagi FAM sebuah persatuan sukan yang sangat kontroversial akhir-akhir ini. Isu utama prestasi bola sepak yang sangat buruk dan tidak ada kebebasan bersuara dalam kalangan badan gabungan. Bagi penyokong bola sepak, FAM sangat autokratik apabila bertindak mengantung mereka yang mengkritik FAM.

Ini mencetuskan kemarahan penyokong bola sepak. Mereka melihat ini sebagai tidak adil tambahan pula berlaku hukuman antara dua darjat. Kemarahan ini diluahkan di media sosial hingga ke tahap menyinggung Presiden FAM yang juga Sultan Pahang.

Tentulah ini suatu yang sangat tidak elok dan tidak beradab apabila pembesar istana diperlakukan sedemikian rupa. Tetapi penyokong bola sepak yang mengkritik barangkali menggunakan ruang demokrasi untuk menyuarakan pandangan walaupun tidak wajar terhadap pembesar istana.

Inilah konfliknya apabila presiden persatuan sukan adalah daripada golongan istana; Sultan atau Tengku Mahkota misalnya. Walaupun menjadi Presiden FAM atau persatuan-persatuan lain, kita jangan lupa kedudukannya sebagai Sultan atau Tengku Mahkota yang tidak sepatutnya dihina.

Pada masa sama golongan pembesar istana perlu berusaha untuk menjarakkan diri daripada terdedah kepada kritikan dan cacian penyokong terutama bola sepak. Caranya dengan menjauhkan diri daripada terlibat secara langsung dalam persatuan sukan yang disertai oleh rakyat.

Golongan pembesar istana mempunyai kuasa mutlak untuk menolak sebarang pencalonan dan tidak ada siapa yang boleh mempersoalkan tindakannya.

Institusi raja perlu terus dijunjung. Ketinggian institusi ini telah dibuktikan apabila termaktub dalam Perlembagaan. Tentulah suatu yang sangat tidak wajar apabila Sultan, Tengku Mahkota atau kerabat mendedahkan diri kepada sasaran kritikan rakyat yang tidak berpuas hati atas kedudukannya sebagai peneraju sesebuah persatuan sukan.

Dengan tahap kesedaran kebebasan bersuara sudah tinggi, pemikiran rakyat juga jauh lebih kritis terhadap sesuatu. Tambahan pula pada era media sosial menjadi wadah untuk mengkritik tetapi terlajak sebagai cacian. Kita tidak mempunyai kemampuan untuk menyekatnya. . Maka cara terbaik kita sama-sama melindungi simbol institusi raja dengan cara tidak mendedahkan mereka sebagai sasaran kritikan dan cacian tidak puas hati rakyat dalam hal ehwal sukan.

Ku Seman Ku Hussain Utusan Rencana 20140323

Tags: istana, sukan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments