kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Selamat hari jadi ke-8 Twitter

JUMAAT lepas, 21 Mac ialah hari ulang tahun kelapan kelahiran Twitter, media sosial yang mengehadkan pernyataan anda di alam maya kepada 140 huruf. Secara kebetulan, pada hari yang sama Turki mengharamkan penggunaannya di negara itu.

Merrepak hari ini tidak berminat mengulas keputusan Turki kerana yang pasti Turki belum seteruk China yang sejak Jun 2009 telah mengharamkan Twitter (dan lebih 2,600 laman web lagi termasuk Google, YouTube, Facebook dan Wikipedia).

Warganegaranya adalah paling kuat mencemuh Malaysia kononnya ‘menyorok maklumat’ dalam usaha pencarian pesawat MH370. Kita nak sorok apa? Ada petunjuk pesawat dari radar berusia empat hari, maka itu mewajarkan tuduhan wujud konspirasi di pihak Malaysia? Walhal Malaysia mahu mengesahkannya terlebih dahulu.

Australia mengumumkan kepada dunia gambar satelit berusia empat hari tidak pula kena? Dwistandard? Ramai anggap Malaysia ini lekeh sangat, sesuka hati sahaja nak cemuh. Lihat stesen CNN. Begitu asyik membidas Malaysia, hingga buat kesilapan geografi - ‘Kuala Lumpur, Indonesia’ tertera semasa Atika Shubert membuat laporan. Sudahlah. Takkan tengok CNN lagi.

Permainan tuduh menuduh yang berlaku sekarang tidak langsung membantu misi mencari pesawat MH370. Hormatilah setiap individu yang bertungkus-lumus sejak pagi Sabtu 8 Mac ketika pesawat itu dikesan hilang, yang belum menikmati rehat demi semata-mata untuk mencari MH370. Dedikasi dan pengorbanan mereka haruslah dihargai. Paling tidak, berhentilah mencemuh.



21 Mac ialah hari ulang tahun kelapan kelahiran Twitter
Mengkritik ala Simon Cowell sehingga menyinggung perasaan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam misi MH370, patut dihentikan. Tetapi kita ini hendak mengkritik misi MH370, apakah kita pakar penerbangan? Pakar misi mencari? Pakar satelit? Pakar mengkritik sembrono dalam media sosial itu duduk dalam kelas terbawah ‘pembinaan minda’.

Semua rakyat Malaysia tahu bahawa kerajaan tiada rancangan untuk mengharamkan penggunaan media sosial walaupun berdepan dengan hakikat bahawa media sosial digunakan begitu bebas untuk menyebar apa sahaja perkara yang diragui kesahihannya. Tindakan Turki dan China, adalah menentang arus kebebasan bersuara yang diamalkan di seluruh dunia demokrasi hari ini.

Menurut Twitter, kira-kira 500 juta tweet diposkan oleh lebih 241 juta pengguna aktif sebulan. Adakah anda seorang daripadanya? Berikut ialah lima tweet yang dianggap melakar sejarah.

KEAJAIBAN DI SUNGAI HUDSON

Pesawat US Airways penerbangan 1549 melanggar sekawan angsa semasa meninggalkan New York pada 15 Januari 2009. Kejadian mengakibatkan kerosakan enjin dan Kapten Chesley B. “Sully" Sullenberger berjaya mendaratkan pesawat di Sungai Hudson.

Pengguna Twitter Janis Krums, @jkrums, berada dalam feri semasa kejadian. Dia mengambil gambar pesawat yang hampir tenggelam dan mengeposnya dalam Twitter. Gambar tersebut, yang kini menerima tanda hak cipta, disaksikan meluas ke seluruh dunia.

Januari lepas, ulang tahun kelima kejadian itu, Krums retweeted gambarnya yang kini menjadi ikonik.

PEMBUNUHAN OSAMA BIN LADEN

Juruperunding teknologi maklumat Sohaib Athar tanpa sedar mengepos tweet tentang serangan ke atas Osama bin Laden di Aboottabad, Pakistan. Athar terdengar bunyi helikopter pada tengah malam dan mengepos “Helikopter berlegar sekitar Abbottabad pada 1 am (jarang berlaku)," tulisnya.

Dia terus mengepos tweet beberapa jam lagi tentang apa dilihat dan didengarnya. Hanya selepas berita tersiar mengatakan Osama mati dibunuh tentera elit Amerika Syarikat, Athar mengepos tweet ‘Uh oh, sekarang saya orangnya yang melapor langsung pembunuhan Osama tanpa mengetahuinya’’.

KASIH MAIRA

Para penyokong Liverpool berkongsi doa dan harapan dengan anak perempuan Ketua Pramugara Malaysia Airlines yang juga penyokong tegar LFC, Andrew Nari, selepas dia menyiarkan mesej memilukan tentang bapanya dalam Twitter.

Andrew ialah seorang daripada 239 orang di dalam penerbangan MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang pada 8 Mac lalu.

PELANTIKAN SEMULA PRESIDEN OBAMA

Presiden Barack Obama memecah rekod tweet paling tinggi pada 6 November 2012, apabila dia menerbitkan gambarnya memeluk isteri, Michelle Obama dengan ayat “Empat tahun lagi". Pernyataannya itu menerima retweet lebih 800,000 dan dihantar ke lebih 200 negara, menurut Twitter.

SELFIE ELLEN DEGENERES DI MAJLIS OSCAR

Pada majlis Anugerah Oscar 2014, juruacara Ellen Degeneres memecah rekod retweet paling tinggi. Dia memasukkan seramai mungkin selebriti Senarai A dan pelakon Bradley Cooper mengambil gambar selfie. Gambar itu mencatat rekod tertinggi, tiga ganda berbanding rekod Obama.

Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.comUtusan Rencana 20140323
Tags: twitter
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments