kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

6 Tabiat songsang

KETIKA ratusan ribu orang membanjiri Dataran Putrajaya bagi menghadiri Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul malam semalam, Reformasi 2.0 anjuran PKR diadakan di Kajang berlangsung suram.

Menurut pemerhati sekitar 5,000 orang hadir walaupun portal pembangkang seperti biasa melaporkan jumlah yang berganda.

Putrajaya dan Kajang cuma 15 minit perjalanan dengan kenderaan. Ramai penduduk Kajang memilih menghadiri program Selawat Perdana berbanding Reformasi 2.0.

Pada masa umat Islam di Dataran Putrajaya bersama-sama berselawat ke atas Rasulullah SAW, Anwar tampil mengagungkan diri menerusi pentas reformasi.

Seperti dijangka, beliau sekali lagi mengambil kesempatan mengheret rakyat dengan isu moralnya apabila membela diri dalam himpunan tersebut. Pada 7 Mac lalu Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman lima tahun penjara setelah didapati bersalah meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Lebih memalukan beliau menjadikan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sebagai modal politik untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Ini bukan kali pertama Anwar menjadikan krisis yang melanda negara sebagai bahan politik termasuk peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Sejarah dunia menyaksikan bagaimana para pemimpin politik termasuk pembangkang bersatu hati setidak-tidaknya untuk seketika apabila negara mereka ditimpa ujian besar atau musibah.

Amerika Syarikat (AS), negara paling berkuasa di dunia, pernah dikejutkan dan dimalukan dengan peristiwa serangan 11 September tetapi semua parti politik dan rakyat teguh di belakang kerajaan.

Kepentingan negara mengatasi persoalan politik.

Bagaimanapun Anwar terus memperlihatkan tabiat songsang terutama dalam menyalahkan kerajaan. Awang sudah tidak larat geleng kepala. Apa jenis Ketua Pembangkang yang Malaysia ada?

Sedangkan pada hakikatnya, banyak negara termasuk AS mengiktiraf dan memuji Malaysia dalam penyelarasan operasi mencari.

Awang bersyukur kerana agak ramai pemimpin pembangkang tidak sealiran dengan Anwar dalam isu MH370.

Antaranya Presiden Pas, Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr. Haron Din dan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menghargai usaha-usaha kerajaan menangani krisis tersebut. Mereka lebih rasional, matang dan patriotik.

Reaksi positif mereka telah menyelamatkan imej pembangkang yang dirosakkan dalam banyak bentuk oleh Ketua Pembangkang itu sendiri.

Apa hendak jadi kepada Anwar dengan sikapnya berterusan seperti itu? Awang sekadar boleh menjawab, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya.

5 Bersama MAS

BEBERAPA pakar Barat merumuskan bahawa misi mencari pesawat MAS MH370 adalah antara paling sukar dalam sejarah penerbangan dunia.

Setelah 15 hari, misteri kehilangan pesawat tersebut masih belum terungkai.

Operasi mencari yang melibatkan 26 negara turut mencatat rekod kerjasama terbesar dunia.

Sudah beberapa kali berlaku, petunjuk-petunjuk baharu yang diharap membawa kepada penemuan pesawat, berakhir dengan tiada hasil.

Memang benar operasi mencari MH370 amat mencabar termasuk dari segi teknikal dan diplomatik. Situasi seperti ini belum pernah terjadi dalam sejarah.

Selain mengharapkan pesawat tersebut ditemui, sudah tentu yang dinanti-nantikan adalah hasil siasatan. Peristiwa kehilangan MH370 akan memberi kesan besar kepada landskap baru industri penerbangan.

Apa sekalipun keputusan siasatan, Awang menyertai rakyat Malaysia tetap bersama MAS lebih-lebih lagi dalam saat-saat sukar.

Pasca peristiwa kehilangan MH370 akan lebih mencabar dan menguji syarikat penerbangan negara itu - daripada isu pampasan hinggalah kepada melonjakkan imej.

Pastinya banyak pengajaran bernilai yang perlu diambil oleh MAS dan pihak-pihak berkenaan.

Dalam Awang berdoa mengharapkan yang terbaik buat penumpang dan petugas MH370 serta keluarga mereka, nafas keyakinan kepada MAS sedikit pun tidak goyah apatah lagi terhenti.

Rekod kecemerlangan MAS selama ini tidak harus dibiarkan termusnah dengan hanya satu kejadian yang boleh dianggap kes terpencil.

Jika berkemampuan dan berkesempatan, Awang sendiri mahu menyertai 1,000 lagi penerbangan MAS kerana sentiasa bangga dengan syarikat penerbangan nasional itu.

Begitu juga penumpang-penumpang di seluruh dunia yang tahu tradisi kecemerlangan penerbangan, tanpa ragu akan memilih MAS.

Kepada pihak pengurusan, juruterbang, jurutera, krew dan seluruh kakitangan MAS - anda tidak akan bersendirian melalui dugaan berat ini.

4 Gambar Najib

GAMBAR Datuk Seri Najib Tun Razak duduk di dalam Masjid Putra, Putrajaya, sementara menanti waktu solat Maghrib baru-baru ini menjadi perbualan dan perbincangan dalam laman-laman sosial.

Pelbagai komen diberikan oleh pengunjung dan antara yang paling menarik perhatian ialah komen seorang pemuda, Syarul Harfizi yang mendakwa penyokong kuat Pas dalam facebooknya.

Syarul menulis:

‘‘Aku penyokong Pas… tetapi aku pun turut tersentuh tengok gambar ini, sebagai (seorang) Islam, aku tak nak terikut cara penyokong lain yang banyak mengutuk dan melemparkan pelbagai kata-kata kesat pada dia, nanti merangkak cari dia kat (Padang) Masyar...seksanya rasa sebab pelbagai kutukan dan cacian yang pernah dilemparkan, sentiasa ingat pesan Nabi dan nasihat ulama haruslah bersangka baik, aku tetap hormat DS Najib walau berlainan parti sebab kita tetap bersaudara… saudara sesama Islam...Nabi tidak ajar kita melayan ‘musuh’ dengan buruk… Nabi tak pernah ajar kita buat bukan-bukan kepada sesiapa walaupun berbeza pendapat."


3 Khalid tetap MB!

SESIAPA sahaja boleh syok sendiri mahu menjadi Menteri Besar Selangor. Tetapi realitinya, majoriti rakyat negeri tersebut cukup selesa dan yakin dengan pentadbiran Khalid Ibrahim.

Awang harap beberapa pemimpin PKR terutama Timbalan Presiden, Azmin Ali yang mahu Khalid diganti supaya bersikap realistik.

Suara rakyat Selangor dan kehendak segelintir pemimpin PKR yang anti-Khalid, tentu berbeza.

Atas kertas Khalid masih lagi popular di negeri itu. Ini termasuk kajian terbaharu Universiti Selangor (Unisel) mengenai persepsi pengundi Kajang tetap mahukan beliau kekal sebagai Menteri Besar.

Kejayaan pakatan pembangkang mempertahankan Selangor pada PRU-13 adalah antara lain disebabkan faktor kepimpinan Khalid. Pada Awang, beliau lebih matang berbanding Azmin. Terbaharu Azmin menggelar pemimpin negara sebagai binatang tanpa beliau mahu mencermin diri sendiri.

Ramai juga akui imej Khalid lebih bersih berbanding pemimpin-pemimpin utama PKR yang menghadapi masalah integriti dan moral.

Khalid tiada kes liwat, tiada kes aksi lucah dalam tandas dan tiada anggota keluarga terlibat dalam skandal seks dengan pemimpin parti.




2 RBA hebat?

TRUPER siber Red Bean Army (RBA) yang banyak membantu parti pembangkang terutamanya DAP dalam PRU-13, mengganas lagi.

Selain melakukan banyak fitnah seperti pengundi hantu Bangladesh semasa PRU-13 dan peristiwa pencerobohan Lahad Datu, RBA terus melakukan tohmahan kepada kerajaan dan negara.

Isu keselamatan diperkotak-katikkan selain penghinaan ke atas pemimpin negara.

Ada gambar dan berita pemimpin negara diharapkan mati menaiki pesawat.

Setiap hari, ada sahaja badan bukan kerajaan (NGO) buat kenyataan membidas RBA. Sayangnya seperti biasa, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia lesu.

Awang tahu apa jawapan yang akan diberi. “Kami tunggu jika ada aduan."

Nampaknya kita perlu belajar daripada Singapura jika pun bukan daripada China. Jika di kedua-dua negara itu, pasti semua anggota RBA sudah terdedah dan didakwa.

Awang bimbang gejala RBA ini jika tidak ditangani dengan berkesan akan menyemarakkan ekstremisme. Jangan biar pihak ekstrem lain yang memburu mereka, lebih bahaya.

Mengapa RBA hebat, tidak lain kerana kita yang lemah dan takut bertindak. Jadi salah siapa?




1 Telkomsel

AWANG tertarik dengan iklan syarikat telekomunikasi Indonesia, Telkomsel dalam Liga Bola Sepak Perdana Inggeris (EPL).

Sudah acap kali dalam perlawanan utama EPL, iklan produk Telkomsel antaranya Simpati dipaparkan dalam bahasa Indonesia.

Walaupun Telkomsel turut menggunakan bahasa Inggeris dalam sebahagian promosi, namun syarikat itu lebih mendaulatkan bahasa rasmi negara menerusi pengiklanan.

Rakyat Indonesia tentu bangga.

Berbeza dengan syarikat telekomunikasi kita termasuk Celcom, yang komitmen terhadap pengiklanan Bahasa Kebangsaan bagai melepas batok di tangga.


6 Tabiat Songsang Utusan Rencana 20140323
5 Bersama MAS
Utusan Rencana 20140323
4 Gambar Najib
Utusan Rencana 20140323

Tags: mas, najib, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments